Mendengar pintu berkeriut petanda ia dikuak dari luar , empat susuk tubuh yang berada di dalam ruangan tersebut menggeser punggung dengan gelisah.Derap tapak kaki yang kedengaran memantul ke permukaan lantai berjubin yang berwarna merah kehitaman satu-satu.Tenang sahaja dan tidak tergesa -gesa.
Susuk tubuh tinggi lampai yang dibalut kot hitam labuh melepasi lutut tersebut melabuhkan punggung dengan santai ke atas muka sofa dan menyilangkan kakinya dengan lagak yakin dan menghantarkan aura serta ketokohan yang tersendiri.Dingin.Datar.Mencengkam serta menimbulkan rasa hormat yang bukan di buat-buat.Nuansa dan persona khas Tuan Zhenith -Sang pemimpin tertinggi Istana Templar. Ketua kepada Keluarga Artemis.
Lelaki dengan rambut panjang sebahu keperakan itu menatap susuk tubuh di tengah sofa dengan mata yang disepetkan.Wajahnya kaku dengan kening yang hampir bercantum.Dia sudah berkali-kali menggenggam hujung tongkat ditangannya dengan rasa amarah yang mencapai ubun-ubun.
Ruangan itu cerah dengan sinar matahari yang terang menerobos masuk melalui tingkap-tingkap tinggi yang dikuak langsirnya.Daripada lantai yang berwarna merah kehitaman sehingga kepada segenap hiasan dinding yang berwarna keemasan jelas memperlihatkan tingkat citarasa pemilik rumah tersebut bukan calang-calang.
Lampu-lampu hiasan yang besar tergantung dari siling berkubah yang juga berwarna keemasan.Bingkai-bingkai jendela yang berukiran dengan motif aneh dan rumit, langsir baldu dalam warna sama dan setiap inci perhiasan ruangan tersebut termasuklah gambar berbingkai,lampu sudut,bingkai dan ukiran pada daun pintu malahan tempat pendiangannya berukir dan mengerlap dalam warna keemasan.
Begitu juga dengan deretan sofa berukiran unik,meja kopi yang rendah dan bunga hiasan yang memenuhi setiap sudut.Pasu-pasu antik serta perincian kecil hiasan yang berjejer di dalam almari berkaca.Segalanya membiaskan nuansa kemewahan yang sukar dinisbahkan.
Melalui jendela yang terbuka, satu halaman luas berumput hijau memenuhi penglihatan dengan hiasan landskap yang dirancang dan ditata rapi dan sayup-sayup kedengaran ringkikan kuda dan dentingan pedang berlaga.
" Ada apa kalian datang kemari?"
Begitu lelaki berjubah hitam itu memulakan bicara apabila menyedari riak dan gerak-geri gelisah dari setiap susuk tubuh yang berada di dalam ruangan tersebut.
" Hunter !"
Seru seorang lelaki dengan rambut keperakannya kaku disikat licin menjulai hingga ke bahu.Wajahnya datar dan dingin dengan sepasang mata berwarna kelabu kemerahan.Bibir tipis yang melintang kejang pada wajahnya menambah kesan tidak bersahabat lelaki itu.Tampang khas Tuan Kreyo-ketua keluarga Carrow.
" Apa yang Istana Templar sudah lakukan untuk menangkap pemburu sialan tu?!"
Jerkahan lelaki tersebut hanya ditanggapi oleh Tuan Zhenith dengan tersenyum tipis walaupun lawan bicaranya sudah merah padam hingga ke hujung telinga.Tampang lelaki ketua Keluarga Carrow itu yang semakin pucat dalam balutan jaket labuh putih sedikit pun tidak menggentarkannya.
" Sebelum Tuan Kreyo mempersoalkan kredibiliti Istana Templar, saya mahu tuan-tuan nilaikan sendiri hal sebenarnya"
Lambat-lambat Tuan Zhenith bersuara seraya mengisyaratkan sesuatu kepada lelaki yang tegak dan berdiri takzim di sebelahnya.Tanpa bersuara apa-apa,lelaki berkot hitam yang dikancing penuh itu segera mengeluarkan sesuatu dari dalam sampul surat di tangannya.Beranjak dari sebelah sang majikan dan kemudian meletakkan beberapa keping gambar dihadapan setiap tetamu yang mengunjungi Istana Templar pagi itu.
Tuan Zhenith senyap sambil memerhatikan setiap riak wajah lelaki yang dikenalinya sebagai ketua kepada lima keluarga yang menjadi pengasas kepada Persatuan Templar.
YOU ARE READING
LAST HUNTER II : VARTRA
FantasyAra-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantaian makanan ! Manusia : Pemburu atau diburu? Mangsa atau pemangsa? # Ini adalah sekuel kepada Last Hu...