" Macam-macam !"
Suara wanita berusia awal 50-an itu kedengaran dari sebalik kaunter membuatkan Ara menoleh.
Melalui kaca skrin televisyen yang terpampang di dinding dapat Ara melihat wajah seorang lelaki berwajah bujur dengan kaca mata yang bertenggek pada batang hidungnya.Berdiri diapit oleh beberapa orang lelaki lain yang masing-masing kemas dalam balutan kot yang licin.
Manakala tepat di hadapannya berdiri tegak satu mimbar kecil yang jelas memaparkan jata rasmi Jabatan Pentadbiran sementara di bahagian belakang mereka berlatarkan satu skrin putih dengan bertuliskan huruf-huruf besar yang berbunyi 'SIDANG MEDIA KHAS'.
Dengan mikropon yang beratur di atas mimbar kecil itu, Ara sedar pasti ia adalah sidang media berkenaan arahan perintah berkurung seperti yang dikatakan oleh Ryo awal pagi tadi.Denyar lampu kamera menyambar seperti kilat di siang hari dan bisik-bisik yang tidak tentu butir bicara memenuhi pendengaran Ara.
Dia tidak perlu mendengar seluruh isi sidang media khas Datuk Bandar itu kerana memang Ara sudah mendapat tahu lebih awal melalui Ryo.Apa yang penting baginya adalah mencari tahu apa yang menjadi punca sehingga Jabatan Pentadbiran melalui Datuk Bandar terpaksa mengumumkan penguatkuasaan perintah berkurung yang bermula dari jam 1900 HRS sehingga jam 0800 HRS standard waktu tempatan .
" Tak ada angin tak ada ribut,tiba-tiba perintah berkurung.Apa nak jadilah bandar ni !!"
Suara sang majikan jelas kedengaran merungut tidak senang.
" Kiyo,panggil semua orang ke depan."
Ara yang memang sudah berada di ruang hadapan menghampiri sang majikan yang menumpahkan penglihatannya kepada setiap wajah yang satu demi satu terpancul dari sebalik pintu.
Jelas sekali pengumuman penguatkuasaan perintah berkurung yang dibuat oleh Datuk Bandar itu membuatkan suasana hati sang majikan mendadak mendung kelabu.
Kedai yang ditutup awal bermakna penghasilan harian restoren kecil itu juga akan berkurangan dan sudah pasti ia merunsingkan hati wanita tersebut.
" Mulai hari ini sehingga perintah berkurung ditarik semula,kita akan tutup kedai jam enam petang setiap hari." Begitu katanya masih mempamerkan raut wajah jengkel bukan kepalang." Semua orang boleh mulai berkemas."
Tidak ada yang menyahut dan apabila wanita itu menekan dengan geram punat pada alat kawalan jauh televisyen yang membuatkan skrin dengan saiz 60 inci itu gelap,masing-masing faham dan mulai bersurai bagi memulakan kerja mengemas seperti yang diarahkan sang majikan kepada mereka.
" Kiyo.."
Darius mencuit bahu Kiyo yang sibuk dengan kain lembap dan cecair pembersih dan kelihatan sedang membersihkan meja dengan senyap.
"Malam ni kita balik ke istana.Aku rasa tak sedap hati tentang perkara ni"
" Perlu saya maklumkan Puan Ertha lebih awal ?"
" Tak perlu." Darius menjawab pantas dalam wajah yang serius.
" Baik,Tuan Muda."
Darius beralih menuju ke dapur semula dan demi melihat Ara terbongkok-bongkok dengan penyapu, dia kembali memasang wajah komedinya dalam kiraan hanya beberapa saat.
Wajah tegas yang dipamerkan kepada Kiyo sirna sekelip mata dan digantikan dengan raut wajah yang tersengih-sengih bagaikan minta ditenyeh dengan mop.
Ketika dia hampir tersandung akibat terpijak hujung mop yang digunakan Ara, dia sempat meringis sambil cepat-cepat melarikan diri sebelum Ara memarahinya seperti selalu.
YOU ARE READING
LAST HUNTER II : VARTRA
FantasyAra-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantaian makanan ! Manusia : Pemburu atau diburu? Mangsa atau pemangsa? # Ini adalah sekuel kepada Last Hu...