Bab 1

508 28 16
                                    


Pandangan ditebar jauh ke arah runtuhan bangunan berkembar yang berada tidak jauh daripada bangkai pesawat yang kini dihuninya. Kolar baju ditarik menutupi separuh wajah. Angin hangat membawa seiring debu-debu halus daripada sisa runtuhan di kawasan sekitar.

Nafas ditarik Arif lama. Siapa sangka Malaysia juga akan mengharungi fasa dystopia suatu hari nanti? Fasa 'suatu' hari yang telah menjadi kini.

Kertas sekeping yang dikepit di hujung jari di antara jari telunjuk dengan jari tengah diangkat ke hadapan muka. Warna yang terpamer di permukaan kertas tersebut kelihatan lusuh. Gambar moyang mereka yang telah diturunkan untuk setiap pewaris keluarganya setelah sekian abad dan kini dia memegang amanah tersebut.

Memberi makna apa dengan hanya sekeping gambar itu? Gambar menara berkembar yang cantik disimbah cahaya bulan dan turut dikelilingi lampu neon yang galak berkerdipan di malam hari. Cantik.

Gambar tersebut kembali dilurutkan ke bawah. Kini visualnya jatuh ke arah runtuhan bangunan di hadapannya. Jauh jarak antara dia dan runtuhan bangunan itu namun, masih tetap jua terjangkau di ruang matanya. Iya, bangunan di dalam gambar tersebut dan bangunan yang kini telah menyembah bumi di hadapannya itu merupakan bangunan yang sama.

Keindahan yang pernah diceritakan oleh keturunan nenek moyang mereka melalui gambar mungkin hanyalah fantasi semata. Sudah lebih sepuluh dekad. Suasana seumpamanya yang digembar-gemburkan tentang keharmonian sejagat itu langsung tidak membenih.

Kelopak mata dipejam seketika sebelum kembali dibuka, menyerlahkan sepasang anak mata yang berwarna hitam pekat.

Dia cuba mencari kehangatan dan kecantikan yang dibayangkannya di dalam minda. Keindahan di sebalik sisa runtuhan bangunan yang sebelumnya tegak berdiri, mencecah langit tinggi.

Hampa. Hanya deruan bayu yang menyapa segenap urat saraf di wajahnya di kala itu.

"Arif! Kau curi berus gigi aku lagi?" Laungan seseorang dari bawah memecahkan dinding ketenangan Arif yang hanya bertahan buat beberapa ketika. Wajah spontan dihadapkan ke arah sahabatnya yang mulai menyinga.

Keth mendongak tinggi memandang jasad si sahabat yang tinggal sebumbung dengannya yang masih tenang berdiri tegak di atas bumbung bangkai pesawat. Tangan kiri dan kanan sudah dibawa ke sisi, mencekak pinggang. Bagai mahu terbalik bangkai pesawat, saat dia mundar-mandir di dalam perut kenderaan tersebut semata-mata kerana mahu mencari berus gigi.

Dagu dilurutkan Arif ke bawah sedikit lagi sebelum kornea digerakkan ke kiri memandang gerangan tersebut. Riak tidak bersalah ditayangnya tenang.

"Bila masa pula aku...," bicaranya tergantung saat sesuatu mencerap ruang ingatan. "Oh! Ya... aku guna untuk cuci singki tadi."

Terbeliak besar kelopak mata Keth. "Kau buat apa?" Naik seoktaf suara Keth dek kejutan tak terduga itu.

Arif tersenyum senget sambil menggaru hujung keningnya. Gambar di pegangan dilipat empat sebelum dimasukkan ke dalam poket seluar. 

Dia memang spesies kalau terdesak mahukan sesuatu tapi tiada di hadapan mata. Tangan automatik akan menggagau mencari benda lain yang boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Macam dia cari berus tembaga pagi tadi, yang dia jumpa cuma berus gigi Si Keth. Pengakhirannya? Arwahlah berus gigi Keth jadinya.

"Yang kau pergi guna berus gigi aku tu dah kenapa? Berus tembaga ada betul-betul bawah singki tu. Sekarang ni aku nak berus gigi aku pakai apa ni?" omel Keth sudah berapi-api marahnya.

Dia yang sudah berura-ura mahu turun dari bumbung pesawat hanya mampu tertawa kecil melihat telatah sahabatnya itu. Duduk dilabuhkan di atas palang besi yang membentuk tangga paling atas. Dagu ditongkat selamba dengan pandangan melurut nakal ke arah Keth. "Beruslah pakai berus tembaga," lancar Arif menjawab.

Keth betul-betul dah keluar asap dari corong telinganya. Nafas ditariknya dalam, memenuhi rongga paru-paru dengan oksigen.

"Arif!" Baru Keth mahu memetir ada suara ketiga yang mencelah perbualan mereka. Mulut yang sudah terlopong untuk bersuara dikatup Keth kembali.

Arif yang perasan ada gerangan lain langsung menala visual penglihatannya ke arah timur. Pandangan Keth juga tertuju ke arah yang sama. Kelihatan seorang budak lelaki berusia di dalam lingkungan lapan tahun berlari-lari anak ke arah mereka.

Terkebil-kebil Keth memandang budak lelaki itu. Arif melompat turun dari atas sebelum berpaksikan tanah. Kolar baju ditariknya sedikit ke bawah sebelum berjalan ke arah budak lelaki tadi.

Nafas yang tercungap-cungap langsung tidak dihiraukan budak lelaki itu. Hujung baju Arif dicengkamnya kuat.

"To... tolong. Tolong Iman," ucapnya separuh merayu. Matanya sudah berkaca menahan sebak.

Bahu Iman dipegang kejap. Belakang badan dilurutkan Arif ke bawah supaya tingginya selaras dengan adik angkatnya itu. "Shhh... Arif janji akan tolong tapi kena beritahu dulu. Kenapa ni?"

Arif berpaling sekilas untuk memandang Keth tanda dia juga tidak tahu akan perkara sebenar yang terjadi. Keth sekadar memeluk tubuh sebelum mengangguk tanda dia memahami.

"A... Abang." Terkulai jatuh jasad Iman saat perkataan sepatah itu keluar dari bibirnya. Arif menangkap cekap tubuh Iman sebelum jatuh ke tanah.

Keth yang hanya memandang dari kejauhan kini menapak mendekat saat menyedari ada yang tidak kena dengan situasi di hadapannya. Tubuh Iman diserahkan Arif kepada Keth untuk dicempung. Kolar diangkat Arif menutup separuh wajahnya kembali. Anak mata memanah pandang betul-betul ke arah teman yang berdiri bertentangan dengannya.

"Tolong bawa Iman masuk. Aku nak pergi rumah dia. Mungkin ada apa-apa yang terjadi dekat abang dia," arahnya tegas sebelum melangkah setapak untuk berlalu.

Keth menahan tubuh sahabatnya itu dengan bahu kanan. "Kau jangan nak buat bukan-bukan macam yang kau pernah buat sebelum ni, Arif."

Cahaya di matanya langsung tenggelam. Bahu Keth yang menghalang jalannya ditolak sedikit ke tepi sebelum dia kembali mengorak langkah.

"Memang aku akan membunuh kalau mereka berani kacau orang dekat sekeliling aku lagi," ujarnya rendah tetapi masih tertangkap dek salah satu pancaindera Keth.

Keluhan berat bercampur risau dilepaskannya. Kalau sudah itu yang dikatanya memang tiada punat untuk undur kembali ujaran kata-katanya. Keth tahu betapa degilnya kawannya yang satu itu.

"Kau tak patut pergi."

Tiada jawapan.

"Arif, aku tak nak benda yang sama jadi lagi."

Langkah masih diteruskannya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

"Arif!"

Masih sama. Tiada petanda untuk lelaki itu berpaling atau menghentikan langkah.

Dia mendengus geram apabila berterusan dipulaukan begitu. "Rumah budak ni dekat mana?" laung Keth mencuba taktik berbeza.

Derap langkah terhenti. Arif cuba merasionalkan rasa yang mulai menggelegak di dalam dadanya. "Area Chow Kit."

Keth menarik nafas lega apabila soalannya bersambut.

"Pastikan kau balik dalam keadaan 'sekeping' kalau tidak aku sendiri yang akan halau kau keluar."

Ibu jari yang diluruskan dengan penumbuk yang digenggam diangkat tinggi ke udara sebagai tanda setuju. Keth menghela nafas lega.

'Macam manalah aku boleh bertahan dengan kau sepanjang lapan belas tahun ni, Arif?' Susuk tubuh temannya itu kian menghilang. 

Nafas dihela berat. Anak mata kini melurut ke arah kedua-dua tangannya yang semakin kebas gara-gara mencempung adik angkat Arif itu terlalu lama. Kening kiri diangkatnya tinggi.

"Paling penting sekarang ni aku nak buat apa dengan budak ni?"

AksaraWhere stories live. Discover now