JENAZAH Intan selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Aman. Setelah segala urusan selesai, Putra Raiyan memandu kereta ke hospital untuk menjaga anaknya yang masih dirawat kerana kecederaan di bahagian kepala.
Dia terus memandu. Keadaan jalan raya lengang di waktu ini. Tatkala dia memandu, wajah serta suara Intan menjengah fikirannya. Secara tiba-tiba mengungkit kenangan dahulu bersama insan yang membuatnya diulit perasaan cinta.
Dia khayal. Dia benar-benar rindu mendengar setiap celoteh, setiap kata manja, setiap butir bicara yang keluar dari bibir Intan.
Putra Raiyan terpempan. Matanya terbuka luas, dia tersedar apabila sinaran cahaya terang sebuah treler menyambar matanya. Hanya beberapa jarak sahaja treler itu bakal merempuh keretanya.
Dia menggelabah. Dia berusaha menukar lorong namun treler tersebut laju merempuh. Keretanya dihentam treler itu. Remuk teruk apabila tiang besi pada treler itu menusuk keretanya.
Beberapa saat kemudian, penuh darah mula memancut kusyen kereta. Lengannya tertusuk besi. Dia mengerang kesakitan.
Beberapa kereta lalu-lalang di kawasan itu segera memperlahankan kereta mereka apabila menyaksikan kemalangan dahsyat berlaku di depan mata. Mereka segera berhenti. Ramai yang keluar daripada kereta dan menghampiri.
Salah seorang daripada mereka menghayun langkah pantas menuju ke kereta Putra Raiyan. Lelaki itu berusaha untuk membuka pintu kereta Putra Raiyan namun terbatas kerana pintu kereta itu sudahpun remuk.
"Astaghfirullah..."
Terdengar suara Putra Raiyan mengerang. Rupanya Putra Raiyan masih sedarkan diri. Lelaki itu terasa jarinya perlahan dipaut.
Dia segera menggenggam jemari Putra Raiyan yang terjuntai keluar. Ingin memberi kekuatan kepada Putra Raiyan untuk terus bertahan sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.
Badan Putra Raiyan sudah berlumuran dengan darah. Kakinya juga tidak mampu lagi untuk bergerak. Dadanya sesak.
"Intan..." Saat-saat bersama arwah isterinya berlegar-legar di ingatan.
Tidak lama selepas itu, wajah anaknya terlakar di fikiran.
"Anak ayah..." Sekali lagi Putra Raiyan menyebut, semakin lemah.
Ya Allah... Anak ayah. Dia mesti kuat. Demi anaknya.
Namun kesakitan yang menjalar membuatkan dia tidak mampu lagi bertahan.
"Sabar, bang. Mengucap. Ikut bacaan saya, saya bantu abang." Lelaki itu berpesan.
Mata Putra Raiyan semakin mengecil. Akhirnya dia mengangguk. Maafkan ayah Daneen Inara, ayah tak mampu lagi bertahan.
Terkumat-kamit mulut Putra Raiyan mengucapkan dua kalimah syahadah dengan bantuan lelaki itu.
Matanya semakin mengecil. Nafas juga tersekat-sekat. Selesai sahaja mengucap kalimah Allah itu, Putra Raiyan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
YOU ARE READING
Isteri Teristimewa
RomancePerpisahan tanpa diduga membuatkan gadis bernama Daneen hidup berseorangan. Dia tiada arah tuju. Di dalam hujan lebat, tanpa tidak sengaja dia menjadi tawanan seorang lelaki misteri. "Buka mata nampak ayah, macam mana Daneen tak peluk. Ayah kan ayah...