DLM 2 : 41

4.1K 191 20
                                    

“KAU punca Tok Mek serangan jantung!” jerkah Hayden berang. Tangan Aidan yang mencekak bajunya ditepis kemudian tubuh Aidan didorong ke dinding.

“Kamu yang punca Tok Mek kena serangan jantung!” Tajam pandangan Puan Sri Hana ke arah Hayden. Kakinya diatur lebih rapat, setelah mendekat, satu tamparan hinggap di pipi anaknya itu.

Hayden terngadah. Dia benar-benar tidak menyangka tindakan itu, situasi ini tepat sekali dengan peribahasa orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah.

“Kamu yang mulakan dulu Hayden! Kalau kamu tak tolak Andara abang kamu takkan pukul kamu!” Semakin kuat suara Puan Sri Hana dilantunkan. Hayden mengesat bibirnya yang mengalir darah dek tamparan Puan Sri Hana.

Mata Hayden berkaca-kaca. Sebak Hayden ketika itu. Tamparan itu benar-benar mengguris hati dan perasaannya. Dia menghampiri Puan Sri Hana, riak wajah mamanya itu tidak nampak sedikitpun rasa bersalah. Dia menundukkan wajahnya di depan Puan Sri Hana, tidak sanggup bertentangan mata dengan mamanya. Hatinya ketika itu hancur lebur. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa pilunya hatinya menanggung situasi itu.

“Setiap kali Hayden cuba defend diri Hayden daripada Along, setiap kali tu jugak mama pasti datang defend Along. Tell me mama, how can I defend myself?” tanya Hayden pilu. Sedaya upaya dia mengangkat wajah memandang wajah Puan Sri Hana meskipun hatinya berat untuk berbuat sedemikian.

“Hayden ni cuma berstatus anak angkat je ke depan mata mama?” tanya Hayden lagi. Matanya yang berkaca sejak tadi terus mengalirkan air mata.

“Sepanjang mama besarkan Hayden, pernah tak sekali mama anggap Hayden ni macam anak kandung mama sendiri? Pernah tak mama?” Lebat air mata Hayden. Tiada respon daripada Puan Sri Hana membuatkan gerimis mengundang hatinya.

“Aku tahu Along, aku tahu sangat kau dan Andara layan aku atas dasar simpati. Macam tu jugak mama dan Tok Mek.”

Aidan dan Puan Sri Hana bagai terpegun di situ. Mereka terdiam.

Andara menggeleng. Dia cepat menggerakkan kerusi rodanya mendekati Hayden. Tangan Hayden digoyangkannya.

“Angah abang Andara. Andara tak pernah anggap abang orang luar, Andara sayang Angah,” pujuk Andara sambil memegang wajah Hayden. Dia sayang kedua-dua abangnya, dia sangat-sangat sayang. Saat ini dia benar-benar sebak mendengar bicara yang diluahkan oleh Hayden tadi.

“Along, mama... Angah bukan orang luar, Angah keluarga kita. Janganlah diam saja, cakaplah mama, Along.” Andara merayu.

Andara memeluk tubuh Hayden. Dia tak membenarkan Hayden pergi. Cukuplah dia Hayden pergi tanpa khabar 3 tahun lalu, dia tak mahu Hayden mengulang ianya lagi. Dia tak sanggup!

Hayden mengesat pipi Andara. Dia sempat melirik ke wajah mama sebelum mama memboloskan diri masuk melawat Nek Dara. Wajah itu jelas tidak menghiraukan dirinya.

“Angah tahu Andara sayang Angah.”

Aidan mendekati Hayden.

“Angah, Along tak bermaksud...”

Hayden mengelak daripada bahunya disentuh oleh Aidan. Wajah itu dipandang jelek.

“Kau jaga Andara, mama dan Tok Mek baik-baik. Hanya kau dan Andara layak jadi anak mama. Kau jugak harapan mama,” ujar Hayden dingin kemudian tangan Andara dilepaskannya.

“Angah!” Kuat suara Andara meneriak memanggil Hayden. Namun langkah Hayden tetap diteruskan. Masih kedengaran suara Andara bersama esak dan tangisan mengiringi.

Hayden melintas kemudian keretanya dihampiri. Pintu kereta dibuka kasar. Air mata yang masih terasa basah di pipi, tidak dikesat.

Dia terus masuk dan menghidupkan enjin. Laju keretanya dipandu membelah jalan raya yang sunyi.

Isteri TeristimewaWhere stories live. Discover now