DANEEN menutup semula pintu bilik yang ditempatkan Maisara sementara. Tangannya yang masih pegun memegang tombol pintu, dilepaskan perlahan-lahan bersama keluhan berat. Ke mana arah tujuan mereka pula selepas ini? Ya Allah, aku buntu. Aku tak ada sesiapa selain abah untuk menjadi tempat bergantung harap.
Abah tak pernah sesekali pun menyukainya. Takkan dia hendak berkelakuan tidak tahu malu seperti dulu. Cukuplah dia terlalu mementingkan dirinya sendiri sehingga arwah umi menderita. Demi kasih sayang yang didamba, keperitan yang dilalui arwah umi di depan matanya, tidak pernah dihiraukan. Asalkan dia dapat merasai kasih sayang arwah umi.
Dia mendongak. Tingkat atas dipandang lama. Ingin sekali dia melihat gambar arwah umi. Setelah kematian arwah umi, semua gambar umi dibawa naik ke tingkat atas. Dia langsung tidak memiliki walaupun sekeping gambar arwah umi.
"Jangan sesekali kau jejakkan kaki kau dekat rumah ini! Apatah lagi jejak sampai ke bilik aku dan isteri aku!" Herdikan Tuan Amsyar masih berdesing di telinganya.
Luka di dahinya disentuh. Daneen menunduk menahan pilu. Pasu bunga hiasan di atas meja tepi bilik itu terletak indah lagi di situ. Pasu bunganya berlainan namun bunga itu kekal sama. Pasu bunga setahun lalu yang dibaling ke arahnya. Meskipun pasu bunga itu plastik, tapi cukup menyakitkan apabila dibaling dengan kuat.
"Sampai bila kau nak ingat apa yang jadi dulu? Daneen, semua tu dah berlalu." Daneen menasihat dirinya sendiri. Air mata yang mengalir ke pipi dikesat berulang kali.
Sakit. Tipulah sekiranya dia tidak tersiksa setiap kali mengingatkan setiap perbuatan abah agar arwah umi tidak memberi sepenuh perhatian terhadapnya.
"Daneen," panggil satu suara tua. Daneen memalingkan wajahnya. Kelihatan Pak Seman sedang menghidangkan makanan dan sesekali melihat ke arahnya.
Daneen mengukir senyuman nipis lalu merapati Pak Seman.
"Pak Seman, apa khabar? Tak sempat Daneen bertanya khabar dengan Pak Seman." Daneen mula berbahasa. Lama juga dia tidak berbual dengan Pak Seman.
"Alhamdulillah. Pak Seman sihat. Kamu tu baru kena hujan, Daneen. Makan sini sebelum kamu dan kawan kamu beredar. Dan usah risau kalau Daneen tak tahu mana nak tinggal, rumah adik Pak Seman ada bilik kosong. Daneen dan Maisara boleh tinggal situ."
Pelupuk mata Daneen penuh dengan air mata yang menunggu saat berlinang ke pipi. Pak Seman terlalu baik.
"Terima kasih Pak Seman."
"Daneen tak pernah susahkan Pak Seman." Lelaki tua itu menggeleng perlahan.
Daneen tersentuh dengan kebaikan Pak Seman. Libu hatinya saat itu. Pak Seman sering membantu dia dan arwah umi. Tak pernah mengungkit setiap pertolongannya.
"Marilah makan dulu," ajak Pak Seman lagi lalu mengisi nasi ke dalam pinggan. Nasi penuh diisi ke dalam pinggan itu.
"Cukup, kan?" Pak Seman senyum penuh makna. Dia tahu anak itu selalu mengambil nasi dalam portion yang banyak.
"Lauk Daneen ambil sendiri." Daneen gelak kecil. Pak Seman masih ingat.
Dia sebak. Pak Seman sering mengusiknya selepas umi menegur.
"Daneen, umi tahu sayang umi ni lapar, tapi ambil sikit dulu." Teguran umi menyentuh hatinya bila teringatkan semula.
Andai umi ada di sini lagi, teguran itu akan dia sanggup dengar selalu.
Pak Seman mengangguk. "Daneen makan dulu puas-puas, Pak Seman keluar sekejap."
Daneen mengangguk sayu. Umi, Daneen rindu umi.
YOU ARE READING
Isteri Teristimewa
Roman d'amourPerpisahan tanpa diduga membuatkan gadis bernama Daneen hidup berseorangan. Dia tiada arah tuju. Di dalam hujan lebat, tanpa tidak sengaja dia menjadi tawanan seorang lelaki misteri. "Buka mata nampak ayah, macam mana Daneen tak peluk. Ayah kan ayah...