Perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tenang petang itu. Melalui jalan yang lurus, ditemani ladang kelapa sawit di kiri dan kanan. Cuaca redup mendamaikan. Sedamai hati Orked yang ditemani Cempaka disebelahnya. Fokus memandu. Sesekali dia menoleh pada Cempaka yang sememangnya tidak banyak bicara. Bila semalam Orked memberitahu niatnya ke Palestin, dilihatnya wajah Cempaka berubah. Orked tahu Cempaka juga risau, tetapi dia cuma lagak bersahaja. Malah menyokong penuh usaha Orked.
Saja Orked berangkat awal, seusai majlis doa selamat di rumah ibunya tadi. Dan sengaja juga dia tidak mahu sesiapa pun daripada ahli keluarganya menghantar pergi ke KLIA. Lebih kuat rasanya sendiri. Nanti kalau terlihat air mata ibunya, pasti hati berbelah bahagi.
"Terima kasih hantar saya petang ni" Orked menoleh pada Cempaka.
"Sama-sama." ringkas jawab Cempaka.
"Awak drop saya dekat depan sana nanti pun dah ok" Orked memberitahu. Dia rasa bersalah juga mengganggu waktu kerja Cempaka.
"Tak..saya masuk parking ni..Saya teman awak sampai dalam.." Cempaka melemparkan senyuman pada Orked.
Orked senyum sampai tertunduk. Tak sangka pula Cempaka sanggup menemannya sampai ke dalam. Berbunga rasa hati. Aduh berdebar.
"Terima kasih Cem.." Jawab Orked perlahan. Namun cukup didengari Cempaka.
"Hm." Cempaka cuma buat bunyi dan senyum.
Tingkap diturunkan dan mesin parking ditekan untuk mengambil tiket. Cempaka mengawal sterengnya berhati-hati. Maklumlah parking di KLIA berpusing-pusing sampai ke atas. Orked sesekali senyum sendiri melihat muka Cempaka yang begitu berhati-hati. Sampai sahaja di tingkat 3, Cempaka mula mencari petak parking yang kosong dan berdekatan dengan pintu.
Cempaka menghela nafas lega. Enjin dimatikan.
"Ok dah sampai. Jom." Ajak Cempaka sambil membuka pintu dan bonet kereta.
Sebuah beg bagasi beroda dikeluarkan dan satu beg sandang.
Cempaka membantu menyorong beg masuk ke dalam. Mereka berjalan beriringan perlahan. Tidak tergesa-gesa. Seperti juga Orked, Cempaka juga cuba menghargai saat-saat terakhir bersama. Masing-masing cuma diam. Berjalan terus mengikuti arah yang dinyatakan pada papan tanda.
"Masih awal lagi, kita makan dulu ok?" Ajak Cempaka sambil melihat jam tangannya. Baru melepasi 615 petang. Penerbangan Orked jam 10 malam nanti.
"Boleh. Nanti jam 8.00 nak check in bagasi lagi." Orked bersetuju. Penerbangan antarabangsa, kalau nak rasa selesa, datanglah awal 2-3 jam. Orang pasti akan ramai dan barisan tentulah panjang. Sekurang-kurangnya tidaklah terlalu lapar masa proses check in nanti.
"Kita ke Secret receipe boleh? Teringin nak makan mee sup vietnam." Orked cuba mencadangkan walaupun sebenarnya dia telah melangkah masuk ke dalam kedai.
Cempaka senyum, angguk dan cuma menurut.
Mereka duduk di suatu sudut di bahagian belakang. Bila pelayan datang, makanan terus di pesan.
"Yang lain-lain sampai pkul berapa?" Cempaka bersuara sambil membetulkan duduknya.
"Mungkin lepas Maghrib nanti." Balas Orked sambil fokus mengeluarkan dokumen-dokumen penting daripada beg sandangnya.
"Ada artis ikut tak?" Tanya Cempaka lagi. Orked angkat wajah melihat wajah Cempaka yang polos. Dia tergelak kecil.
"Ada" Jawab Orked ringkas cuba memancing.
"Heliza Helmi ke?" Cempaka teruja. Badannya dirapatkan ke meja. Menantikan jawapan Orked.
"Amboi...laju nya..." Orked mencebik sedikit. Sakit pulak hatinya.
"Habis tu? Faizal Tahir?" Cempaka meneka lagi.
"Taklah.. emm.. selalu Heliza memang sekali dengan saya. Tapi kali ni dia ada urusan lain. Tengah ada projek lain..." Orked menerangkan.
"Kira awak kenal rapatlah dengan dia?" Cempaka teruja lagi.
"Ish awak ni... sekarang saya kan depan mata awak?" Orked tak puas hati. Dahinya berkerut.
Cempaka gelak mengusik. Cempaka menyeluk sesuatu daripada poketnya. Seperti dompet kecil. Diperbuat daripada kain baldu.
"Nah.. ni untuk awak.." Cempaka menolak perlahan dompet kecil itu kepada Orked.
Rasa berdebar pula Orked dibuatnya.
"Apa ni?" Orked mengambil dan dibukanya perlahan.
Seutas rantai leher silver ala-ala rantai yang selalu dipakai oleh askar. Ada juga kepingan empat segi silver yang tertempa perkataan diatasnya. Teruja Orked membelek reka letak yang begitu kemas. Ada tertulis Name, Nationality, Sex dan Blood Type. Bila dibelek dibahagian belakang, tertempa pula bendera Malaysia disitu.
"Wahhh.. Cantiknya..saya suka.." Orked ceria dengan pemberian Cempaka. Tersenyum sampai telinga.
Cempaka bangun daripada duduknya dan membantu Orked memakai rantai tersebut ke leher. Rambut ikal mayang Dr Orked diselak ke tepi. Cempaka cuba menahan debarannya. Menggigil juga mahu kuncikan rantai ni.
"Ok dah" Cempaka kembali ke tempat duduknya,
"Terima kasih Cem.." Orked masih senyum teruja dengan pemberian Cempaka.
"Rantai ni untuk apa? Kalau saya mati senang identify a..?" Orked mengusik Cempaka.
Cempaka terdiam. Wajahnya serius memandang Orked. Orked juga terdiam. Memaki dirinya sendiri kerana bergurau begitu. Suasana sepi.
.
.
.
Cempaka menghela nafas perlahan.
"Rantai tu untuk ingatkan awak.. Kalau jadi apa-apa kat sana, awak tetap kena balik Malaysia. Saya perlukan awak."
Cempaka menuturkan penuh rasa.