Melewati saat-saat yang sukar di dalam hidupnya namun aku, terpaksa jua meninggalkan Merah dan Leyla kerana saudaraku bakal mengadakan majlis pernikahan puterinya.
Sudah aku menitipkan pesan kepada Ali supaya ke rumahku untuk memasak dan menghantar makanan yang dimasak oleh Ali setiap pagi sepanjang tiadanya keberadaanku di sisi dua beranak itu.
Ali, puteraku yang satu itu, langsung dia mengiyakan sahaja permintaanku. Semoga menjadilah dia anak yang baik-baik buat aku, ibunya dan juga ayahnya.
"Inang Sari."
Aku usai berkemas saat Leyla memanggil namaku setelah sekian lama.
"Aku mendengar kebelakangan ini, orang-orang kampung bercerita. Suamiku telah pergi meninggalkan kami berdua. Semuanya kerana bapaku. Apakah Inang Sari mengetahui perihal ini?"
Dia begitu sebak berkata-kata.
"Tidak, Leyla. Tiada aku bersapaan dengan khabar yang sedemikian rupa. Aku sudah mahu berangkat. Berbaiklah dengan Merah kerana sepanjang ketiadaanku, dialah yang akan menjagamu."
Aku melangkah keluar dengan berat hati. Cuba aku memujuk diri yang telah berkata bohong kepada Leyla.
Seminggu lamanya aku tidak bersua muka. Berkobar-kobar perasaanku saat mahu pulang. Merah dan Leyla juga sudah menjadi keluargaku malahan, sebahagian hidupku.
Namun, saat aku pulang, tiada siapa yang menyambutku waima Merah mahupun Leyla. Pantas kaki ini menuju kebun Halimah di hujung kampung dek maklum Merah mengambil upah bekerja di situ. Tangannya mungkin sahaja tiada namun kakinya pantas bekerja di samping bergeliga otaknya. Buah pendapat Merah sering menjadi rujukan. Anak istimewa itu dilayan selayaknya dia.
"Inang Sari, kau sudah pulang?"
"Leyla tiada di rumah. Ke mana dia?"
"Waktu sebegini barangkali ke sungai seperti rutinnya. Tetapi tidak juga Merah pasti kerana akhir-akhir ini dia juga jarang keluar rumah, Inang. Sikapnya juga bertambah berang."
Rintihan Merah aku cuba redakan sambil mengusap rambutnya yang separas bahu. Tidak mahu menyusahkan aku saat menyikat rambut dia, katanya.
"Dia juga kerap melempar barangan jikalau Merah mahu menjenguknya di dalam bilik. Merah khuatir namun tidak berani berbuat apa-apa tanpa Inang Sari."
Merah berpamitan dengan Halimah sebelum kami beriringan pulang.
"Dan ada juga hal yang lebih aneh, Inang."
"Apakah itu?"
"Merah menghidu bauan yang busuk daripada kamarnya mak. Mahu menjenguk ke dalam, dia sama sekali tidak membenarkanku."
Hati sudah mula tidak enak mendengar. Langkahku mula pantas. Semoga tiadalah perihal yang aku bayangkan, terjadi.
Berharap. Seandainya hanya dengan berharap itu, ceritera yang dilambung ombak perjalanannya berakhir bahagia, pasti mengundang kelegaan.
Namun, harapan yang menyesakkan dadaku itu akhirnya musnah berkecai di saat jemariku yang terketar menyelak tirai dan menolak pintu kamar Leyla. Bau yang busuk mencucuk-cucuk hidungku.
Mayat seorang lelaki yang sudah berulat, kepalanya yang berdarah di bahagian belakang kelihatannya menembusi dinding kamar Leyla. Jemarinya juga dibenamkan ke dalam kayu.
YOU ARE READING
Rumah Puaka
HorrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...