"Jangan ganggu dia!"
Aku kemudiannya bertempik dengan harapan dia tergugah dan pergi daripada sini.
"Pandang jelitawan di hadapanmu ini, Myra. Pandang aku."
Dagu aku dipagutnya lembut. Tolakan lembut itu yang memaksa aku mendongak padanya. Pada lekuk wajahnya yang ... cantik. Hembusan nafasnya menyentuh roman wajahku.
Hidungnya mancung sekali. Pelipisnya berbentuk sabit dan tajam di hujung seperti mata bulatnya. Anak mata yang hitam pekat itu menujah ke dalam bias kabur pandanganku dek esakan yang tak tertahan.
"Jangan ganggu aku. Pergi."
Bibir kecil merah bak delima itu mencalit senyuman sinis padaku sambil mendecit. Dia mengerdipkan mata berkali seolah belas padaku. Kadang pandangan aku berlari ke bahunya menghindari indah rupa si dia yang punya bulu mata yang begitu lentik dan dagunya yang meruncing.
Segala tentang dia, boleh aku katakan sempurna. Selendangnya yang merah membuatkan paras rupa putih melepaknya itu menyerlah. Jauh lebih rupawan berbanding pertama kali aku melihatnya dahulu.
"Aku Leyla Sari si cantik rupa. Mengemis ihsan kau wahai manusia." Dia melagakan pipi dingin yang disuntik kebekuan antartika pada pipiku. "Kisahku belum habis bercerita, kau sahaja yang mampu carikan aku noktahnya."
Tangisanku semakin menjadi-jadi. Auranya merindingkan bulu romaku. Tubuh sudah longlai untuk berganjak. Hanya kaku pelukan dinginnya.
Leyla.
Sepertinya aku pernah mendengarkan nama itu.
"Pergi. Jangan ganggu aku."
Hanya rintihan pilu yang aku palu pada udara pagi hari baru yang bertandang.
Tangannya yang mungkin hanya tinggal tulang-temulang naik mencengkam leherku. Semakin lama semakin kuat sehingga aku terbatuk-batuk mengejar nafas yang semakin pendek.
"Usah aku kau usir jauh. Bertandang aku tidak menghisab waktu dan tempatmu. Kerana aku bayang-bayangmu, Myra."
Dia menolak tubuhku ke lantai. Aku dicekiknya lagi dan lagi. Jika berlarutan, boleh biru wajah aku barangkali.
"Aku bayang-bayangmu!" Dia menjerit tepat pada wajahku.
Aku tidak melawan dan hanya tahu menjerit ketakutan.
Aku tidak punya keberanian untuk mengangkat kaki walau seinci walau hati meronta mahu menerajangnya.
Namun aku lemah.
Aku tak berdaya.
Allah, bantu aku. Engkau pemilik alam semesta. Engkau yang menciptakan kami. Dan hanya Engkau yang berhak ke atas kami melebihi diri kami sendiri.
"Allahuakbar." Mulut aku terkumat-kamit menyebut. Dalam hati meratib zikir dan surah lazim.
Air mataku mengalir laju mengalahkan Niagara Falls. Kulit pada leherku terasa pedih seperti dibakar. Aku mengerang kesakitan.
Dan tatkala itu, pintu tandas dikuak daripada luar.
"Ya Allah, awak! Kenapa ini?"
Ada suara seseorang menegur. Aku dapat rasakan dia merapati dan meletakkan kepalaku pada pahanya.
Soalannya tidak aku jawab. Tenaga aku yang bersisa hanya aku gunakan untuk bernafas. Kelopak mata yang memberat mengundang gelap duniaku.
Walaupun begitu, aku masih agak peka dengan perubahan sekeliling. Gadis yang mendatangiku menjerit pada pelajar lain untuk datang menolong. Dalam waktu sekejap cuma, aku mendengar orang berlari-lari dan bunyi bising mengerumuni aku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Rumah Puaka
HorreurKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...