H I L A N G

407 32 4
                                        

Kaki memberat saat aku seret ke muka pintu rumah Mak Nab. Sekilas aku menoleh pada Amirul yang tidak reti beredar setia menanti di atas motorsikal di laman.

"Assalamualaikum. Mak Nab? Ooo ... Mak Nab."

Pintu aku ketuk tiga kali sebelum melaungkan salam lagi.

"Mai. Kau bagi salam tiga kali sajalah. Kalau Mak Nab tak muncul juga, balik terus rumah sebelah."

"Mai?"

Dalam kata-kata Amirul yang panjang hanya hal itu yang aku pertikaikan.

Amirul meletakkan helmetnya ke dalam raga motor. Lengan yang bersilang mendarat di atas helmet tika wajah mendongak padaku. Tangga rumah Mak Nab boleh dikatakan dua kali ganda ketinggianku. Nak sampai ke muka pintu ini, termengah dahulu aku dibuatnya.

"Mai itu untuk My. Kan mesra bunyinya?"

Mata aku memanah tajam sengihan Amirul yang pada hemat aku sangat menjengkelkan. Daun pintu Mak Nab aku ketuk sampai nak roboh.

"Assalamualaikum, Mak Nab! Kalau tak buka pintu saya balik!"

Ketukan kesekian kali aku menghentam udara apabila daun pintu terkuak sendiri. Tubuh kaku sekejap cuma apabila aku menjengulkan kepala ke ruang tamu yang gelap dan suram. Kaki automatik melangkah masuk tidak mempedulikan sapaan bisu Mak Nab.

Ke mana agaknya orang tua itu pergi.

"My, nak aku temankan tak?"

"Tak payah," aku membalas dingin.

Kaki terus ke tengah ruang tamu. Aku merapati tiang seri yang dicat dengan warna biru. Namun sudah pudar warnanya. Entah berapa tahun lamanya ia berbaju lusuh begitu.

"Mak Nab?" aku memanggil lagi dan lagi.

Deringan lagu Like Always oleh X1 mencacah sepi mengundang kagetku.

"Telefon. Telefon aku."

Langkah dibawa ke arah punca bunyi. Berkeriuk lantai mengiringi setiap derapanku di atas karpet yang terasa tebal debunya di telapak kaki. Di sebelah kiri ruang, ada jujukan jendela manakala di sebelah kanan ada dua buah pintu bilik. Jarang aku menapak ke dalam. Memang berhabuk tidak berkemas. Buat menempah pakej bersin dan batuk saja kepada aku.

Aku cuba fokuskan pendengaran. Langkah sedikit perlahan. Mata ligat memandang ke sekitar menjamah keberadaan tivi model lama yang besar gedabak sebelum jatuh pada kerusi kayu di mana bantal-bantalnya turut bersarungkan kain lusuh.

Terbit rasa belas kasihanku pada Mak Nab. Ketika susah dan sakitnya, entah siapa yang ambil tahu. Jiran terdekatnya iaitu atuk dan nenek pula sudah lama arwah.

Aku menapak jauh ke dalam rumah. Menjenguk sekejap ke bilik kecil di sebalik dinding bersebelahan ruang tamu. Tiada gerangan yang aku cari. Dan telefonku juga sudah tidak mengeluarkan bunyi.

Aku menuruni beberapa anak tangga menuju ke dapur.

"Mak Nab? Mak Nab ada ke?"

Takkan menghilang pula? Tadi beria sangat panggil aku.

Dapur arang aku dekati. Cerek lama diletakkan di atas para di mana ada api yang sedang rancak menyala. Aku meneguk liur kejap sebelum memberanikan jari telunjuk menyentuh cerek.

"Auch!" Jari telunjukku pantas berlari ke udara.

Panas.

Kreekkk!

Bunyi pintu yang diperbuat daripada zink mengundang tolehan aku pada daun pintu dapur itu.

"Mak Nab pergi mana? Dari tadi lagi saya cari."

Rumah Puaka Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang