"Rehat ya, Myra."
Dahi aku dicium umi hangat. Kemudian, aku terus bersandar tenang dengan kepala lutut naik dan didakap aku. Mata aku memaku ke siling kereta. Lama.
Tubuh yang masih lesu aku biar disapa bayu dingin pagi. Bunyi pintu ditutup oleh umi tidak mengganggu hibernasiku. Tetapi satu suara sedikit kasar yang menyapa umi di luar kereta mengundang bukaan luas mataku.
"Myra dah nak balik, ya?"
"Ya, Mak Nab. Tak boleh lama nampaknya dia kat sini. Lagipun cuti sem dah nak habis. Kami bawa dia balik sajalah." Balasan umi kepada soalan tadi menjengah cuping telingaku.
Aku melirik ke luar kereta. Dan saat itu empat mata bertemu. Sepasang milikku bersabung dengan sepasang mata Mak Nab.
"Tak lama pun dapat jumpa kamu. Nanti datanglah sini lagi." Mak Nab melemparkan senyuman manis buat aku.
Automatik aku turut melakar segaris senyum agar tidak terasa hati orang tua itu jika aku abaikan saja sedekahnya itu.
Namun garisan senyum aku segera saja mengendur tatkala mendengar sambungan ayatnya.
"Datang dengan bawa balik teman kamu itu, ya."
* * *
Tipu.
Benar tipu jika aku katakan bahawa tiada aku peduli dengan apa yang Mak Nab katakan. Hati sudah mendendangkan rasa kurang senang.
Aku cuba meluahkan ketidaksedapan hati kepada umi namun aduan aku tidak menjadi fokusnya. Jadi, dikatakan aku saja yang berlebihan.
"Myra kenalah fikir benda yang elok-elok saja. Jangan fikir benda pelik, okey. Tidurlah dahulu. Jauh lagi nak sampai. Bila dah dekat dengan kawasan rumah, umi kejutkan, ya."
Dan begitulah berakhirnya sesi aduan aku. Umi mengarahkan aku tidur sahaja. Dan aku cuba. Cuba untuk melelapkan mata. Namun, kantuk tidak mengunjung tiba walau mata memberat dan penat.
Tak ada apa kot. Mak Nab saja nak takutkan aku.
Tak ada pun, Myra. Kau je yang melebih.
Tak ada apa.
Tak ada apa.
Aku memujuk hati.
Dek masih belum mahu tidur, aku mencapai telefon pintar milikku. Sudah beberapa hari tidak dibuka. Tentu penuh notifikasi nanti.
Dan perkara pertama yang aku lakukan sebelum buka data internet adalah aku ke bahagian tetapan telefon. Nada dering yang menandakan ada panggilan masuk terus aku tukar daripada Cindai kepada lagu Korea kegemaran iaitu Pretty Girl nyanyian kumpulan Crazy daripada rancangan Produce X 101.
Kemudian aku buka aplikasi Wattpad. Notifikasi daripada penulis berkenaan bab terbaru yang diterbitkan berjujukan disusuli pula dengan votes dan komen daripada pembaca untuk buku yang aku tulis.
Aku ke profil utama dan membelek di bahagian buku hasil tulisan aku. Ada tiga kesemuanya. Dan ketiga-tiga buah merupakan buku yang bergenre horror. Sebenarnya antara asbab utama aku pulang ke rumah pusaka atuk adalah kerana mahu mendapatkan feel menulis cerita hantu. Mahu menikmati pemandangan hijau kampung sudah jatuh sebagai asbab keduaku.
Mataku kemudiannya tertancap pada buku yang merekodkan bacaan paling tinggi berbanding dua buku yang lain. Hampir satu juta bacaan.
YOU ARE READING
Rumah Puaka
HorrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...