Saat itu, terhenti.
Ruang itu, bersembunyi.
Pertanyaan itu, kunci.
Jawapan itu ... mati.
Aku duduk bersimpuh. Kepala melentok ke dinding dengan bahu yang terasa sarat hingga membuatkan tubuhku mengendur lemah. Namun masih lebar senyumanku.
"Kau ... mendatangiku."
Suara itu berbisik keras. Terasa seperti ia menghembus kasar jiwaku yang sedang menganyam ketakutan.
"Tuan, kau mendatangiku." Suara ini sepertinya pernah menyapa cuping telingaku. "Apakah ini maknanya aku sudah bertuankan engkau?"
Dalam gelak sinisku, aku menggeleng. Tubuh ini aku paksa untuk bangkit namun sia-sia. Ada beban yang memberatkan kedua-dua bahuku.
"Aku si khadam. Setia aku pada tuanku sehingga akhir hayatnya."
Aku menggeleng lagi. Bibir seakan dikunci tak mampu melafazkan apa-apa. Senyumanku pudar. Beban yang menindih bahu semakin menenggelamkan warasku. Mahu sahaja bangun, aku lemah melorot kembali.
Belakang tubuh bergerak merapat kasar ke dinding di luar sedarku. Tubuh seperti ditolak kasar seakan mahu menembusi dinding bilik itu.
Ada jemari kasar mula melingkari leherku. Ia mencengkam dan menarik batang leher ini daripada balik dinding bilik. Nafasku tercungap.
Aku memegang leher sendiri. Cuba menolak dan meleraikan kekasaran jemari asing itu yang semakin mengganas. Namun tiada apa yang aku sentuh kekecewaan yang sedang bermukim. Mataku bergenang. Dalam pada itu aku mengharamkan satu titis air mata sekalipun daripada gugur.
Cukuplah kejadian sebelum ini membunuh separuh jiwaku. Meninggalkan hanya pedih dan perih.
Cengkaman itu memaksaku mendongak sebelum ia menarik leher ke atas. Aku melepaskan batuk tanpa henti saat kaki tidak menjejak tilam. Tubuh ini seakan dipaksa menembusi dinding kayu hingga aku merasakan tulang temulang sedang dicucuk serpihan kayu tanpan henti.
"Aku si khadam." Bisikan keras itu mencium rapat belakang telingaku. "Setia aku pada tuanku sehingga akhir hayatnya."
Duniaku berputar dan berbalam. Ingatan seperti sedang memanggil memori yang aku sembunyikan sejauh yang mungkin. Memori yang menyimpan suara yang pernah hadir pada hari tersebut. Hari aku diburu kengerian dan ketakutan.
Mengapa mereka berkehendakkan aku sedang aku tak punya apa-apa. Hanya jiwa yang saban hari menangis dalam kegelapan dek dikejar makhluk yang tidak nampak dek mata kasar.
"Myra!"
Pergelangan tangan aku dicengkam kuat sebelum ditarik lekas menuruni katil. Aku terhuyung-hayang mengekori figura yang bergegas menarik aku melewati ruang tamu sehingga riuh lantai papan berkeriuk.
"Aku ...."
Aku ....
Kami terhenti di anjung saat aku meluncurkan bait kata yang seterusnya.
"Aku nak mati."
Aku nak mati.
"Masuk kereta, cepat."
Amirul membuka pintu sebelum menolak bahuku yang layu.
Sebaik sahaja aku menghenyakkan punggung ke dalam kereta, Amirul bagai orang gila menghempaskan pintu lalu berlari ke tempat pemandu.
"Aku nak ...."
Mulut aku segera diikat kasar dengan selendang yang kupakai tadi oleh Amirul.
"Kau diam. Kita balik. Kau jangan sebut apa-apa dan jangan buat apa-apa." Tangan kirinya kemas mengunci pergelangan tanganku.
YOU ARE READING
Rumah Puaka
HorrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...