BUNGA KEKWA UNTUKNYA

233 28 2
                                    

Laju aku berdiri tegak. Sapu tangan dalam genggaman aku campak bersama uncangnya. Kepala menggeleng perlahan cuba untuk menidakkan andaian yang menggila menyerbu fikiran.

Sambil memicit kepala yang berdenyut, aku terus berlari keluar bilik sehingga ke tengah ruang tamu. Langkahku serta-merta terhenti saat kepala terasa seperti bergegar sehingga pergerakanku dikunci.

Kaki aku seret jua sehingga ke pintu utama.

"Ya Allah, sakitnya." Aku cuba mengurut dahi dan belakang kepala namun tentu sahaja tidak berkesan. Terasa seperti aku sedang memuatkan puluhan makhluk asing ke dalam tempurung kepala.

Baru sahaja aku menjejak tangga untuk turun, aku mula terbatuk-batuk kerana saluran pernafasan aku seperti sedang dicekik. Tanganku meraba ke leher dan saat itu, telapak tangan ini menyentuh sepasang tangan asing yang aku dapat rasakan tulang jemarinya.

Tubuhku melayang ke belakang dan pernafasanku mula singkat.

Hati, sedaya upaya aku tekalkan. Segala surah yang aku hafal aku ulang-ulang di dalam hati dan aku bayangkan dalam fikiran setiap ayat dan barisnya.

Aku cuba untuk menarik cengkaman jemari itu di leherku seraya kaki berlari ke muka pintu yang terbuka luas. Namun bekalan oksigenku sudah berkurangan dalam pada aku sedang mengerah tenaga untuk melawan kekuatan makhluk ini. Tidak sekilas pun aku berpaling pada makhluk laknatullah ini.

Memori memanggil kembali kisah yang Amirul bagitahu aku beberapa bulan lepas. Bagaimana Mak Nab meninggal n ninggal kerana sakit tua.

Lehernya patah.

"Myra!"

Mataku mula kelam pandangannya ketika detik itu seakan dejavu padaku. Suara yang menyeru nama aku itu sayup menyapa pendengaran sebelum angin kuat menyerang ruang tamu dan semua tingkap yang aku buka tadi terkatup rapat begitu juga dengan pintu utama.

Kau tidak akan lepas daripadaku kerana kau ...!

Makhluk itu berbisik rapat pada cuping telingaku namun ia sangat membingitkan dalam kepala ini.

... tuan kepadaku yang menjadi milikku.

Kaki tidak lagi menyentuh lantai dan pada saat itu juga, berkeriuk tulang leher tatkala kepalaku berpusing ke belakang memandang makhluk yang menyerang aku.

Aku dapat merasakan tubuhku panas seakan dibakar. Jauh di sudut hati, aku rasa seperti ada jisim yang membawa ia jauh ke dasar kegelapan. Gelap yang diisi dengan sarang kekecewaan. Nafas derita yang aku hembuskan pada makhluk di hadapanku ini melepaskan molekul derita ke udara.

"Kau ... binatang!"

Seandainya kau terima, bukan dia yang bertuan, Myra.

Aku, bukan lagi aku.

Tetapi engkau, Myra. Engkau yang bakal bertuan. Engkau yang seharusnya tunduk kepada dia. Kerana dia ... tidak akan tunduk kepada sesiapa.

Suara Leyla berdesup masuk ke dalam kotak memori. Bebola mataku terasa hangat berurat merah sebelum ...

Saat hayatnya juga setelah kematiannya.

... cecair merah pekat menitis daripada hujung mataku. Pedih dan perit aku rasakan sehingga ke lubuk hati ini.

Dia tidak akan tunduk kepada sesiapa. Dan kau, selamanya miliknya. Saat itulah, mawar merah milikmu juga akan berdarah, Myra.

Aku mengerang saat cuba melawan.

Bantu aku, Myra. Dan aku akan membantu kau memusnahkannya.

Aku seakan berada dalam pertarungan tiga penjuru. Aku dan lelaki tua yang sedang menyeringai bengis padaku serta aku dan gadis kebaya merah yang cuba meracuni diriku untuk mengambil alih kewarasanku.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now