B E R T E M A N

409 29 0
                                        

Seharian aku berdiri dek membantu para ibu di dapur. Mahu menjamu keluarga sendiri pun tidak menang tangan inikan pula sekampung dijemput ke majlis tahlil ini. Usai Asar, aku mencicit bersembunyi ke ruangan solat geng perempuan. Anak dara yang lain sudah lama mengangkat bendera putih dan melepak di situ sedari tengah hari. Contohnya, si gadis genit yang aku cubit lengannya yang sedikit berisi.

"Auch! Cedera parah aku dengan sepit ketam kau!" Alia menolak bahu aku jauh dan hanya julingan mata aku balas padanya.

"Kau boleh tengok drama Korea?" Kening aku membina jambatan.

"Iyalah. Pinjam data internet kau, kan?"

Alia menekan ikon Wifi. Nama hostpot daripada telefon aku iaitu Myra4Flat terpampang pada skrin yang dihadapkannya pada aku.

Kali ini jalur pada dahi berlumba terbit seakan tiada hari esok. Aku menggagau ke dalam poket seluar. Tiada. Objek berpetak warna rosegold itu tiada. Aku bangkit dan mencapai beg pikul bersaiz sederhana yang selalu aku bawa. Zipnya lekas aku buka sebelum tangan menyelongkar isi.

Tidak berpuas hati, aku mengintai ke dalam. Aku meneguk liur resah.

"Kau cari apa, Myra?" Alia menegur. Mungkin dia aneh melihat kekalutanku.

"Sejak pukul berapa kau guna internet aku itu?"

Alia tersengih seperti kerang busuk. Debarku memuncak melihat jemarinya naik turun sambil bebola mata bergerak ke atas ketika mulut terkumat-kamit mengira.

"Daripada pagi tadi lagi. Mungkin ... 8 jam lepas?"

"Ouh ... lamanya. Seingat aku, aku lupa cas telefon itu kelmarin. Boleh kau dail nombor telefon aku, tak? Aku tak ingatlah aku letak kat mana."

Alia mengangguk. Laju saja tangannya berlari di atas skrin sebelum telefon dibawa melekap ke telinga. Bilik itu menjadi sunyi seketika ditemani dengkuran halus beberapa anak dara yang bergelimpangan kepenatan.

Hanya kami yang masih bersama alam nyata ditambah lagi aku yang meladeni gelojak rasa aneh yang bertakhta.

Tolonglah jangan ada benda pelik-pelik lagi.

"Tak bolehlah, Myra. Mak cik ini cakap di luar kawasan apa entah."

Kepalaku naik pusing dan fikiran menjadi nanar seketika. Tanpa sedar, aku mengangguk bersama kaki yang sudah menolak tubuh untuk tegak berdiri.

"Kau nak cari telefon ke?"

"Iya. Aku takut betul-betul hilang," aku mengadu gusar seraya menguakkan pintu ruangan itu.

Aku segera melawati kawasan yang kerapkali aku berada pada hari itu. Kaki dibawa ke dapur, bilik air dan juga ruang tamu. Tidak menjumpai nyawa keduaku itu, aku lekas memeriksa tempat yang sama.

"Cari apa ini, Myra?" Suara umi yang menegur langsung saja buat hati merengek mengemis belas umi.

Hidungku mula dicalit kemerahan. Terjuih bibir menahan sebak di dada.

"Telefon Myra, umi. Hilang. Tak tahu kat mana. Alia ada cuba dail tapi tak dapat."

"Sudah cari betul-betul? Kat anjung rumah ke? Kan tadi Myra ada duduk lama di situ berbual dengan sepupu sepapat semua."

Aku menggeleng dengan wajah sedih.

"Pergi cari kat situ dulu. Manalah tahu ... kotnya ada."

Berat langkah yang aku aturkan ke anjung. Tetamu sudah berkurang. Lebih selesa untuk bergerak ke sana ke sini. Di muka pintu, aku berpaling kiri dan kanan.

Di anjung sebelah kanan, ada sekumpulan lelaki yang terdiri daripada bapa saudaraku sedang rancak membuka meja cerita. Entah isu apa yang diperkatakan sehingga mereka terkekeh ketawa. Aku mendekat dengan rasa bersalah dek mengganggu kemeriahan yang hangat mencacah suasana.

Rumah Puaka Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang