Bukan tak mahu tapi memang tak terlintas dalam fikiran aku hendak kembali ke sana. Sekurangnya dalam masa terdekat.
"Takkan tak nak ikut? Semua anak-beranak kita ada nanti. Kalau nak tunggu hari raya, berjanggut dulu nak berkumpul ramai-ramai macam ini."
Umi yang tidak jemu memujuk mengangkat keningnya ke arah aku. Seperti sebelumnya, aku memuncung bibir sambil menggeleng.
"Umi faham. Myra belum bersedia nak pulang. Tapi kalau asyik lari daripada ketakutan itu, sampai bila-bila pun, Myra akan terperuk di takuk yang sama. Gelap dan kelam. Kadangnya, Myra kena angkat muka dan buka mata. Lawan rasa itu. Hadap segala perkara yang mengganggu Myra. Lari tidak menyelesaikan apa-apa."
Kata-kata umi menghenyak jiwa yang sudah lama dibendung 'zon selamat' ciptaannya. Ucapan umi ada benarnya.
Aku merasa seperti selamat jikalau jauh daripada kampung. Tapi apa yang menghantui aku sepertinya tidak terbatas pada tempat juga waktu. Makhluk itu ada di mana-mana dan bila-bila masa saja.
Satu keluhan berat aku lepaskan sebelum tanpa sedar aku mengucapkan kata setuju untuk ikut umi balik kampung esok hari.
Melebar senyuman wanita itu. Dia kemudiannya menghadiahkan aku pelukan hangat seperti selalu.
Liur aku teguk paksa meski kerongkong dirasakan berpasir.
Keluarga besar kami bakal adakan majlis tahlil untuk ahli keluarga yang sudah tiada di rumah pusaka peninggalan arwah atuk. Hati yang mula disuntik rasa gelisah aku tenangkan dengan istighfar.
Tak ada apa yang berlaku. Ahli keluarga besar kami ramai. Nak takut apa?
Umi sendiri ada 13 adik-beradik. Tidak dicampur dengan sepupu-sepapat aku yang bertambah setiap tahun. Boleh naik pusing jika aku congak pula anak-anak kepada barisan sepupu aku yang sudah melangsungkan perkahwinan.
Aku sendiri anak bongsu daripada enam beradik. Dua kakak dan seorang abangku juga sudah berkahwin dan punya cahaya mata.
Tidak semena, aku ketawa kecil mengingatkan betapa meriahnya keluarga kami lebih-lebih lagi pada hari raya.
"Myra okey? Anak umi okey?"
Aku menyengih lagi. Risau benar umi dengan keadaan aku.
"Nae. Nan gwaenchanayo."
(Ya, Myra okey)Mendengar saja bahasa asing yang aku tuturkan, paha aku dicubit umi.
"Nok keno kutey budok ni! "
(Nak kena cubit budak ini!)Berdekah aku ketawa dengan ujaran umi.
"Ala, umi! Myra tak faham dialek Kelantan," kata aku sambil memaut lengannya.
"Habis itu, ingat umi faham ke bahasa geng Ji Chang Wook?"
Kali ini berguling aku di atas katil. Tidak pernah pula aku melihat umi menonton drama Korea kerana dia merupakan peminat tegar cerita tempatan.
"Lupa pula. Umi kan geng mek kelate."
Aku mengusik lagi.
* * *
Apabila pulang ke kampung dengan rakyat jelatanya yang berduyun-duyun, sudah tentu ada saja masalah yang timbul. Seperti sekarang, sudah kelam dunia aku hendak memikirkan masalah yang satu itu.
"Anak-anak dara pi tidoq rumah Mak Nab. Yang lelaki boleh tidoq kat anjung rumah dan ruang tamu. Keluarga yang anak beranak sikit pi sumbat dalam bilik-bilik yang ada. Yang lain-lain boleh saja tidoq dari ruang tamu, terus ke laluan nak pi dapur."
![](https://img.wattpad.com/cover/132204801-288-k942562.jpg)
YOU ARE READING
Rumah Puaka
HorrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...