MAKNA KEBEBASAN

306 30 1
                                    

Kaki mendaki berat anak tangga menuju ke ruang tamu. Susuk tubuh mak dan abah di atas sofa sudah menggoncang keberanianku. Susuk kecil Fai tidak kelihatan. Aku tak tahu dia ke mana.

Gusar.

Ketika menjejak lantai ruang legar, aku mengheret kaki kanan. Mata pula asyik menekur lantai mengukir laluan ke arah mak. Wajah Tok Penghulu atau panggilan yang mak suruh aku gunakan, walid, langsung tak mampu aku pandang. Marahkah dia. Bencikah dia padaku kerana berlaku biadab pada isterinya.

Di hadapan mak, aku melutut. Bahuku jatuh seakan menampung dosaku pada mak.

"Mak," panggilku tanpa mengangkat wajah. Mana mungkin aku menatap mak dengan rasa bersalah yang bersarang di hati. "Myra minta maaf."

Kakinya aku sentuh lembut dan digenggam kejap. "Myra minta maaf."

Aku semakin membongkok. Kepalaku menunduk dan rambut panjangku jatuh memagar pandangan. Yang aku nampak hanya kaki mak untuk aku mendaratkan ciuman hangat. Lama.

"Myra, jangan macam ini!" Tegur wanita itu barangkali tidak menyangkal sedemikian tingkahku. Dia mencengkam bahuku kemas cuba menarik aku untuk tegak.

Namun tubuh ini aku pegunkan seakan tugu. Ciuman aku hadiahkan berkali-kali pada kakinya sehingga hati ini berdetik puas.

"Myra minta maaf, mak." Ayat itu jua aku ulang dan ulang.

"Jangan macam ini, Myra. Mak maafkan Myra."

Kata putus daripada mak membawa dongakanku padanya. "Tapi Myra berdosa pada mak. Myra jahat. Myra pukul mak. Mak macam umi Myra. Myra sayang mak macam Myra sayang umi. Tapi Myra pukul mak macam ini."

Bibir sendiri aku tampar dan aku cubit sekuat hati. Dan perbuatanku langsung terhenti saat satu rasa menerjah hati dan fikiran. "Sakit. Mesti lagi sakit Myra buat pada mak, kan?"

Berlinangan air mataku. Telapak tangan naik menutup wajah di kala aku tersedu-sedu menangisi apa yang terjadi.

"Mak maafkan Myra, sayang." Mak membawaku ke dalam pelukannya.

"Myra tak layak untuk mak maafkan."

Dakapan mak semakin erat.

"Demi Allah, nak. Mak maafkan Myra. Mak sayangkan Myra. Mak akan cuba lindungi Myra. Daripada sesiapa dan apa-apa sekali pun."

Pelukan mak, aku balas. Erat.

* * *

Ruang tamu sunyi tatkala semua orang menyepikan diri. Malam semakin larut dalam melodi sang cengkerik. Aku bersimpuh di sisi mak. Melabuhkan kepala pada pahanya. Membiarkan rambutku dibelai olehnya.

"Walid nak bawa Myra pergi berubat. Myra nak?"

Dan dinding sepi terlebih dahulu walid runtuhkan sepertimana runtuhnya hati ini.

"Kenapa nak bawa Myra pergi berubat? Myra tak sakit."

"Myra faham kan, maksud walid? Kita pergi jumpa ustaz. Bukan kerana Myra sakit. Tapi untuk dapatkan doa-doa untuk jadi pendinding kita daripada mereka yang tak nampak dek mata kasar."

Duduk aku tegak. Bibir yang terasa kering aku kulum kejap sebelum mengangguk perlahan.

"Tapi abah Myra sudah bawa Myra jumpa kawan ustaz dia. Perlu lagi ke nak jumpa?" soalku dengan nada mendatar sebelum berpaling ke belakang dan berbisik, "buang masa saja."

"Tak apa. Jumpalah selalu. Dapatkan rujukan, nasihat daripada orang-orang yang lebih arif. Walid pun selalu jumpa dengan mereka. Kadang untuk menuntut ilmu. Kadang minta doa kerana doa orang-orang beriman dimakbulkan. Seronok, tau."

Aku senyum ala kadar.

"Okey, walid. Myra masuk tidur dululah, ya. Lewat malam sudah. Selamat malam mak." Tangan mak aku capai dan cium lama. Kemudian aku berpaling pada walid dan menunduk hormat padanya. "Selamat malam, walid."

Aku bangkit sebelum sedikit membongkok melewati mereka. Kaki kanan yang masih terasa berat aku hayunkan jua.

"Kenapa jalan macam itu? Kaki kau ada terseliuh ke apa?" Suara Amirul yang menerjah dari depan buat aku kaget seketika. Masih belum tidur rupanya lelaki ini. Sekarang nak menyibuk tentang aku pula.

"Tak ada apa."

Aku menolak Amirul ke tepi sebelum menyambung perjalanan ke bilik yang hanya bersebelahan ruang tamu tetapi jaraknya terasa seperti daripada selatan ke utara.

"Tunggu sekejap aku ambilkan ubat."

Dia sudah berura-ura hendak beredar.

"Tak payah. Bukannya terseliuh pun."

"Habis itu?"

"Kau kisah apa? Tak payah nak prihatin sangat." Aku menolak daun pintu malas melayan borak kosongnya.

"Kaki kau itu. Sakit ke tidak? Kalau tak sakit, kenapa heret kaki macam itu?" Amirul melutut di sisiku.

"Bangun." Elok pula dia menurut. "Kau nak tahu kenapa?"

Terjongket kening lelaki itu menanti jawapanku. Aku mengisyaratkan dia supaya dekat lalu aku berbisik, "aku bawa atuk dengan aku."

"Apa maksud kau?"

"Aku cucu yang baik, kan?" Aku terus melangkah masuk ke dalam bilik meninggalkan Amirul yang pastinya terpinga-pinga.

Masuk sahaja ke kamar, aku lihat Fai sudah terlelap di atas sejadah. Meringkuk dia dalam kain sembahyang. Separuh wajah Fai yang terdedah aku tatap. Matanya sembab dan kemerahan. Bulu matanya yang lentik kelihatan basah. Baru habis menangis barangkali.

Kain sembahyang yang menutupi wajah itu aku selak perlahan. Fai masih lena. Setiap inci keindahan dunia itu aku perhatikan. Bibirnya merah bak delima dan pipinya putih mulus.

Kenapa baru aku sedar aku punya sahabat secantik ini. Walhal sudah beratur panjang kawan lelaki kami di universiti tergilakan dia tanpa aku tahu asbabnya. Surat cinta atau mesej di media sosialnya tidak pernah putus. Mungkin kerana si rupawan Faira Ilhami.

Aku melakarkan senyum. Wajarlah dia berpasangan dengan si Amirul sedari kecil. Kerana pastinya si kecil Fai juga tampak manis dan indah dipandang. Pastinya sedari dahulu Fai sudah mencuit hati lelaki itu.

Tapi kenapa Fai?

Kenapa dalam berbilion perempuan dalam dunia ini, orang yang rapat dengan Amirul ialah Fai?

Tuan ....

"Shh."

Bising.

"My ... Myra."

Fai terjaga. Membulat mata Fai tika wajahku berjarak seinci dengannya. Dia pantas bergolek ke dinding.

"Bila kau masuk?"

"Kenapa kau nampak takut?"

Aku mendekatinya sambil menampilkan sinis pada hujung bibir. Tubuh terasa panas sejuk tika ini.

"Ja ... jangan dekat."

Dia mengengsot hingga ke penjuru bilik. Anak matanya jelas bergetar memanah aku yang selamba.

Jemariku menggapai rahang Fai dan ibu jariku menggosok lembut pipinya. "Kau cantik sekali anak muda."

Fai menekup mulutnya sambil berusaha berundur sedaya upayanya. Aku menghamburkan tawa. Bodoh. Sudah dia merapat ke dinding, masih mahu melarikan diri.

"Pantas sahaja Myra mencemburuimu. Kecantikan kau hampir sahaja menandingi paras rupaku. Tetapi sayang. Di sini aku ratu." Aku bersimpuh rapat di sebelahnya yang mengecil di penjuru bilik. "Takhtaku tak tercapai olehmu, sayang. Bukan kau. Bukan juga Myra. Sampaikan pesanku kepada temanmu itu. Katakan padanya, Leyla yang menitip kata."

Usai menuturkan bicara, nafasku tercungap. Urat leher menegang. Aku mengerang saat merasakan segala urat ditarik-tarik kuat.

"Aku ... argh!" Tubuh ini menggelupur. Lontaran suara entah dari mana ini aku paksa keluar daripada kerongkong, " ... akan kembali!"

Aku terbaring lemah menghadap siling. Badanku mengeras tak berdaya bergerak hatta seinci.

Air mata lesu mengalir sebelum realiti dikaburkan mimpi ngeri.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now