Itukah jawapannya?
Berlegaran persoalan itu dalam fikiran aku sehingga ke malam hari. Di meja makan, fikiranku melayang memutarkan hal yang sama sedang suapanku laju dek jus gastrik yang sepertinya semakin aktif menghakis dinding perut.
"Seronoknya tengok anak mak makan. Myra ada nak tambah nasi?"
Dengan mulut yang penuh dengan lauk, aku mengukir senyum sambil menggeleng. Jari telunjuk menuding ke pinggan yang masih berbaki sedikit nasi sebelum aku mengangkat ibu jari.
Mak mencebik bibir dan menggeleng perlahan dengan tingkah aku.
Usai makan, aku berehat terlebih dahulu sambil menggosok perut yang penuh diisi.
"Ah." Langsung kepala tiga yang lain di meja ini naik menatap wajah aku. "Umi datang ambil Myra esok."
Mereka langsung mengangguk serentak.
"Umi tahu tentang hal itu?"
"Tahu."
Berat sekali mulutku untuk mengucapkan apa-apa. Esakan umi di corong telefon masih terngiang-ngiang dalam kepala. Sambil dileteri, umi meluahkan betapa dia merasa tersisih daripada duniaku. Mengingatkannya sahaja, boleh sahaja berair mata. Namun, perahuku sudah terlajak jauh dengan pelbagai liku yang aku lalui dan itu tidak memungkinkan aku untuk berundur.
Dayung patah sekalipun, akan aku maju jua walau terpaksa menggunakan tangan.
"Umi datang waktu pagi ke petang?"
Soalan umi menarik aku kembali ke paksi realiti.
"Petang rasanya. Selepas abah balik daripada kerja."
"Abang, nanti beli udanglah. Saya nak masak butter prawn untuk umi Myra. Dia suka."
"Hmm." Walid hanya mengiyakan sambil meratah ayam.
"Macam mana mak tahu itu feveret umi?"
"Umph. Bukan kaki gosip saja dia orang ini. Kaki masak, kaki baca buku, kaki peminat apa itu, drama Jepun yang selalu tayang kat tivi malam-malam dulu?" omel abah selamba.
"Rin Hane Konma," selit mak pantas sebelum suaminya membuka mulut lagi.
"Ha, iyalah. Semua kaki ini, kaki dia oranglah."
"Banyaknya kaki!" Sambut Aina dengan wajah teruja bersilih ganti pada mak dan aku sebelum kami meledakkan tawa kecil.
"Biasalah zaman muda mudi. Memanglah macam itu. Sekarang, tak adanya nak buat macam itu. Hiburan pun relevan dengan umurlah sekarang ini."
"Betullah itu. Saya pun setuju saja kalau awak nak tengok banyak-banyak drama Korea itu. Untuk melepaskan stress ke apa."
"Mak tengok k-drama?" Aku menyoal sedikit teruja.
"Sikit-si ...."
"Iya. Itu haa, hantu yang mempengaruhi mak kamu ini." Mulut abah yang memuncung ke satu arah membawa bersama sorotan mataku.
Di sisi aku, Aina sudah bergegar bahunya menahan ketawa. "Mana ada! Mak yang tanya dulu pasal cerita Korea yang pasal lelaki tua kembali muda itu. Aina pelik juga sebab ingatkan mak nak tengok drama yang pernah ditayangkan zaman 90-an ke apa sebab Aina tak tahu."
Mendengar penjelasan Aina, terjungkit tinggi hujung bibir aku.
"Rupa-rupanya, drama yang baru saja keluar. Aina tanya mak macam mana mak tahu. Mak cakap ...," jeda Aina sambil melirik padaku. "Umi yang suruh dia tengok."

ANDA SEDANG MEMBACA
Rumah Puaka
TerrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...