Aku mula membelek setiap helaian kitab.
"Kat mana, ya? Tapi masalahnya, tempat Leyla ditanam saja yang dicatat. Di mana Leyla tanam bapanya, macam tiada siapa yang tahu," ujarku dengan wajah yang semakin rapat ke buku.
Bukan.
Selak lagi.
Sesekali mataku dengan penuh rinci bergerak pada setiap baris bagi mengembalikan ingatan terhadap jalan cerita di dalam kitab ini. Aku pastikan tiada satu ayat pun yang tertinggal.
"Kalau tak jumpa, cuba Myra gali balik apa yang Myra pernah baca. Manalah tahu ingatan itu muncul?"
Tubuh bersandar ke sofa. Kepala aku rehatkan dengan senang sambil memandang atap rumah.
"Inang Sari bagitahu yang mayat Leyla tak boleh ditanam di tanah perkuburan sebab orang kampung tak terima jasadnya sebab mereka cakap yang Leyla itu gila." Aku melirik pada Amirul yang sudah mengiring ke arahku.
"Okey. Tak dapat tanam di tanah perkuburan. Jadi, apa pilihan yang mereka ada? Sama ada hutan atau ... kawasan rumahnya juga."
Laju telapak tanganku naik menekup mulut Amirul. "Shh!"
Melihat kening Amirul terangkat tinggi, aku lantas menepuk dahi. Aku merapat padanya dengan mata melilau ke sana sini.
"Kan Myra pernah bagitahu dulu. Pondok yang mereka tinggal itu, pernah terbina di atas tapak rumah pusaka ini."
Mata Amirul membulat dan tangannya turut naik dan melekap pada tanganku yang masih menutup mulutnya. Dia langsung membiaskan senyuman pada mata yang menyepet.
"Lupalah itu."
"Tapi tetap ada kemungkinannya, kan?"
Nampaknya Amirul cuba mengasakku dengan kemungkinan yang satu itu. Jantungku mula berubah rentak degupannya.
"Agaknya kat mana?"
Aku menyentuh leher yang terasa panas. Mula berasa tidak selesa.
"Kalau standard cerita hantu, kat belakang rumah."
Aku mengangguk perlahan sambil jari telunjuk berlari pada daguku yang runcing. Berkira-kira untuk bersetuju atau tidak dengan apa yang Amirul sampaikan.
Buku lima langsung aku genggam di sisi menahan haba yang merayap ke segenap inci tubuhku. Panas.
"Atau kalau mengikut standard cerita kita ini, mungkin ditanam bawah ...."
"Mana?" Laju aku bertanya dek dahagakan jawapan namun Amirul hanya memuncungkan mulutnya ke dinding.
"Cakap sajalah. Ada mulut, kan."
Hampir sahaja aku memanah jelingan maut padanya.
Amirul menyeringai sebelum sengihannya kendur dan dia lekas mencengkam bahuku.
"Myra okey? Kenapa muka pucat ini?"
Tangan Amirul aku tepis. "Apa yang Amirul nak cakap tadi? Kat mana dia tertanam?"
"Myra, Amirul agak saja. Tak tahu pun betul ke tidak." Rambutku dibelainya perlahan.
"Bagitahu sajalah. Bukannya mati pun kalau cakap."
Kitab Inang Sari aku tutup sebelum aku hempasnya ke sisi.
"Amirul agak, dia ditanam bawah bilik misteri itu." Amirul langsung menyambar tanganku saat aku sudah tegap berdiri. "Lagipun, Myra pernah bagitahu yang Inang Sari sendiri minta pada tuan tanah bahawa bahagian bilik Leyla itu dikekalkan kalau nak bina rumah baharu."
YOU ARE READING
Rumah Puaka
TerrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...