CERITA BERCERITA

300 32 0
                                        

Di penjuru anjung rumah arwah Mak Nab, aku melabuhkan duduk. Termenung menjadi aktiviti pilihan.

"Myra okey?"

Bahuku disentuh lembut sebelum ada haba bergeseran pada paha membuatkan aku automatik berpaling pada mak yang sudah ada di sisi.

"Okey."

"Myra, malam nanti datang makan rumah mak, tau. Mak dah bagitahu umi dengan abah Myra."

Aku menghadiahkan mak dengan senyuman dan anggukan kecil.

"Myra betul ke okey ini? Nampak sedih muka itu."

"Mana ada. Myra senyum ini."

Benar. Aku sedang tersenyum lebar padanya.

"Tapi macam tak ikhlas."

"Mana ada. Myra memang senyum separuh hati macam ini."

Mata mak meruncing pada aku. Bibirnya terjuih seakan menolak mentah-mentah apa yang aku kata.

"Myra fikir pasal makhluk yang mengganggu Myra lagi, ya?"

Soalan mak seakan memerangkap wajah sebenarku di sebalik topeng senyuman. Tanpa sedar aku menggapai tangannya. Anak mata bergetaran mendengarkannya.

Sudah sesak jiwa aku membuat timbang tara sama ada mahu menyoal tentang itu atau tidak kepada mak. Risau andai penolakannya masih sama seperti dulu. Gusar andai dia rimas dengan persoalan demi persoalan yang berjela dalam fikiran.

Dan apabila dia sendiri yang menyuarakan, aku seakan tidak percaya.

"Myra?"

"Iya?"

"Betul ke apa yang mak cakap? Myra masih fikir pasal makhluk yang mengganggu Myra. Mirul ada cerita pada mak."

"Semuanya?"

Mak mengangguk. Jadi, dia pun tahu tentang ....

"Amirul takkan dapat hidup dengan Myra sehingga akhir hayat kami. Mak tahu tentang itu?"

Menyebut tentangnya sahaja hati aku berdetak perit. Liur aku telan kesat. Air mata aku tahan agar tidak menitis. Di dalam rumah masih ramai saudara mara dan jiran tetangga yang sedang melakukan pembersihan rumah.

Hendak harapkan anak-anak arwah, hanya muncul pada hari kematian. Majlis tahlil juga diadakan dengan kesepakatan abah dan umi serta beberapa keluargaku yang lain.

"Iya, mak tahu."

Jangan menangis, Myra.

"Mak berhak untuk tolak Myra daripada menjadi ahli keluarga mak."

Aku menarik nafas singkat. Sebak di dada tidak bersembunyi.

"Myra tak layak untuk Amirul. Myra cuma asbab derita dia nanti."

Aku menggeleng. Genangan sudah di hujung birai mata. Dinding empangan menghakis laju.

"Tak, Myra. Semua itu tak betul. Kenapa percaya pada ucapan roh yang dalam kalangan syaitan, sayang? Sedangkan takdir yang mengikat dua hati ini ketentuan Allah."

Hati yang rapuh tak mampu menampung sebak. Gugurlah mutiara yang aku kedekut sangat tadi. Tak berkira langsung aku mengalirkannya.

Segera aku menunduk. Janganlah sesiapa nampak. Malu woi.

Belakang tubuh sudah ditarik masuk ke dalam dakapan mak. Hangat.

"Allah Maha Kuasa. Kebesaran-NYA tiada tandingan. Dua roh yang menaruh dendam antara satu sama lain tidak akan dapat melawan Allah Yang Maha Pengampun. Dua makhluk itu jua ciptaan-NYA."

Rumah Puaka Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang