J A N J I

238 31 2
                                        

Hening Subuh menyapa aku dengan nyaman dan ketenangan. Udara bersih aku hirup sedalamnya. Bulan yang masih berkhidmat di kanvas langit melambai padaku sebelum tugasnya diambil oleh sang matahari.

Aku memeluk tubuh sendiri yang sedikit kedinginan. Malah nyamuk pun sedang menderu masuk ke dalam bilik dek jendela ini aku buka seluasnya.

Hendak menikmati suasana pagi pun tidak begitu lancar. Namun aku tetap melakarkan senyuman. Hati meratib rasa syukur yang tidak terhingga untuk segala nikmat yang aku kecapi sehingga ke saat ini.

"Dah siap?"

Teguran itu membuatkan aku lekas berpaling dan aku segera mengangguk. Dan juga untuk dia yang dipinjamkan Tuhan kepadaku, aku ucapkan syukur daripada lubuk hati yang paling dalam.

Tingkap aku tutup kembali sebelum mara ke sejadah yang aku hamparkan di sebelah kiri belakang Amirul.

"Allahuakbar allahuakbar."

Amirul iqamat sebelum kami melaksanakan solat Subuh pada pagi ini. Wirid yang diketuai Amirul aku ikut satu persatu. Selalunya wiridku pendek-pendek sahaja. Tunggu bulan Ramadhan barulah aku panjangkan sedikit.

Permulaan doa, Amirul memuji-muji Tuhan Yang Maha Esa. Doa dipanjatkan kepada-NYA disusuli ucapan rasa syukur yang tidak terhingga untuk nikmat dan rezeki yang kami perolehi sehingga ke saat ini.

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, aku berterima kasih kepada-MU, Ya Allah . Kerana Engkau telah memakbulkan doaku selama ini untuk memperisterikan seorang wanita yang bernama Myra Malik sebagai suri hatiku."

Doa Amirul berjeda. Tatapanku pada tangan yang bertaut sudah sedikit kabur. Tanpa aku sedar, tangan yang menadah doa itu turut menadah titisan mutiara jernih milikku.

"Berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk menjadi perisainya andai dia ditimpa sebarang musibah. Aku mahu menjadi orang pertama yang mendengar rintihannya." Suara Amirul bergetar dan mula kedengaran serak basah. "Aku mahu menjadi orang yang pertama dipeluknya seandai dia tidak lagi kuat untuk melangkah. Izinkan aku untuk menjadi suami yang terbaik untuk isteriku. Izinkan aku, Ya Allah. Izinkan kami melakar kebahagiaan sehingga akhir hayat kami dan sehingga ke syurga milik-MU, Ya Allah."

Tubuh aku menggeletar. Aku cuba untuk tidak membuat sebarang bunyi waima air mata sudah berlinangan dan aku mahu melepaskan tangisku semahunya.

Saat mengaminkan doa, lama aku lekapkan telapak tangan ke wajah sambil menunduk. Bahuku terhenjut tanpa aku mampu ucapkan sebarang kata.

Kami diam di atas sejadah masing-masing. Amirul juga tidak berpaling padaku malah dia hanya menunduk.

Lalu aku merapatinya. Tangannya aku capai untuk bersalaman.

"Terima kasih sebab terima Myra."

Myra.

Langsung kepala aku dipeluk Amirul sebelum dia berdehem beberapa kali.

"Hmm."

"Amirul, Myra nak bercerita sesuatu ini. Jangan marah, tau," ujarku sedikit teragak-agak. Aku mendongak untuk melihat reaksinya.

Begitulah panggilan yang mampu aku guna tanpa memualkan tekak sendiri.

Pelukan dilonggarkannya. "Apa?"

"Myra betul-betul nak tamatkan rantaian gangguan ini. Myra yakin, kita kena usaha sikit saja lagi."

"Kan sudah pesan? Jangan nak memandai ikut suka hati. Kita boleh ikhtiar cara lain."

Laju aku menggeleng. Bahunya aku tampar perlahan beberapa kali.

"Iya, tahu. Tapi Myra nak ikhtiar dengan cara Myra juga. Setiap malam tau, Amirul mengigau sampai sesak nafas lagi. Mesti mimpi ngeri lagi dan lagi. Ingat Myra tak risau, ke?"

Rumah Puaka Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang