[ POV: AMIRUL ]

369 25 4
                                    

Di atas batuan besar itu, aku lompat setempat sambil meregangkan badan.

Dalam kiraan tiga, aku membengkokkan lutut, menujah udara dan melenturkan tubuh ke hadapan dengan tangan mengapit tinggi ke atas kepala sebelum air sungai menelan aku ke dasarnya.

Saat aku diselimuti air dingin, aku membuat putaran bebas sehingga satu detik di mana aku merasa puas.

Kakiku menghayun laju untuk menolak kepala merapati permukaan sungai.

Wajah yang disimbah terik mentari daripada celahan pepohonan di tebing sungai mengundang senyuman lebarku.

"Hebat gila, Mirul! Kau kat Kelantan ada masuk kelas untuk belajar berenang ke apa?"

Bahuku ditepuk perlahan saat aku berenang ke gigi sungai dan berpaut pada batang pokok yang tumbang secara melintang sekaligus digunakan sebagai jambatan.

"Taklah. Kat sana tiap hari mandi sungai juga. Adalah cuba belajar sendiri." Kemudian hanya sengihan lebar aku berikan pada lelaki yang berdiri tegap di sisiku dengan air sungai di paras dadanya sekaligus tepat dengan ketinggianku.

"Mirul, macam mana setakat ini tinggal kat kampung ini? Okey, tak? Seronok?"

"Seronok. Dapat ramai kawan baru. Ada abang Ashraf, ada ...."

Gedebush!

Gedebush!

Kami berpaling ke belakang dengan serentak.

"Ashraf! Mirul!"

Aku lihat seorang budak lelaki yang agak tinggi lampai berlari melawan arus sungai menuju ke arah kami yang sedang bersantai.

"... abang Pauzi juga."

"Tolong .... Ada budak menangis kat sana."

Terlihat kemengahan lelaki itu sebelum dia merebahkan diri ke dalam sungai.

"Penatnya."

"Siapa suruh kau lari, Pauzi. Kan senang kalau berenang saja," ujar Ashraf yang sudah mula masuk ke dalam air dan menguakkan tangannya. "Kat mana budak itu?"

Ashraf sudah melepasi Pauzi yang terlentang di permukaan air saat tangannya disambar Pauzi.

"Dik, baik kau tak payah pergi. Kau takkan dapat bantu dia. Macam aku, aku tak dapat bantu dia," kata Pauzi tenang sambil matanya terpejam.

"Kenapa pula? Apa yang terjadi? Habis itu yang kau bersusah panggil aku kenapa?"

Aku yang melihat gelagat dua beradik ini hanya mampu berdiam diri. Jikalau mereka yang lebih tua daripada aku juga tak dapat menolong, apatah lagi aku.

Tangan langsung melekap pada jambatan lalu menolak tubuhku ke udara sebelum aku akhirnya dapat melabuhkan duduk di situ. Semilir yang melewati kawasan ini menyapa kulit menghantar kedinginan pada setiap incinya.

"Selain nama kau, aku ada seru Amirul juga." Pauzi menjeling aku dari hujung matanya sebelum tersenyum sumbing. "Mirul, kau pergilah cepat selamatkan budak itu. Aku rasa dah pengsan dah dia. Ashraf, tugas kau adalah untuk bawa Amirul dengan ke-atlet-an kau sebagai perenang. Aku ini pelari pecut. Dalam air, aku mampu tidur saja."

"Kau ini, membebel saja panjang. Tak tahulah apa yang dah jadi pada budak itu sekarang. Jom, Mirul." Sebaik sahaja nama aku diseru, aku langsung terjun ke sungai dan berenang merapati Ashraf. "Pauzi, budak itu kat mana?"

"Kat hujung sana. Kau ikut saja haluan sungai. Dia menangis sambil jerit. Aku rasa kau pergi depan sikit saja, dah dengar kot suara dia. Cepat-cepat! Nanti dia pengsan."

Rumah Puaka Where stories live. Discover now