SIAPA DIA DAN DIA?

290 32 2
                                        

(Amaran. Mungkin akan ada perkataan yang tak menyenangkan pembaca. Sebagai makluman, ia bukan tujuan untuk mencarut. Hahahha.)

Selamat membaca!

***

Azan Asar berkumandang.

"Allahuakbar Allahuakbar."

Titisan jernih sayu melimpah di birai mata.

"Allahuakbar Allahuakbar."

Lutut aku bawa rapat ke dada. Aku peluk.

Dalam sebak menghuni jiwa, bibir tidak alpa menjawab seruan itu. "Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah."

Air mata aku seka namun belum sempat pipi kering, cecair jernihnya sudah bertali arus. Tiada tanda mahu berhenti.

"Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Aku menarik nafas panjang. Pandangan kosong yang aku tala ke arah pintu aku biarkan. Jauh di sudut hati masih berharapkan keajaiban.

"Dan tiada Tuhan melainkan Allah."

Kesunyian yang terpatri pada mental dan fizikal seakan diapungkan daripada hati. Mungkin kerana hati ini sedar. Menyedari bahawa ia tak pernah berkeseorangan.

Tuhanku Yang Maha Melihat.

Tuhanku Yang Maha Mendengar.

Tuhanku Yang Maha Mengetahui.

Keajaiban lain yang aku harapkan, lain pula yang datang.

Lelap bertandang dalam kepenatan. Aku menyandarkan tubuh ke penjuru dinding. Segala lumut selamba aku tenyeh dengan bahu.

Aku pejamkan perit dunia. Mahu lena sekejap cuma.

"Myra."

Si kebaya merah berbisik.

"Jangan kacau aku. Aku penat."

"Aku akan bantu kau hapuskan si khadammu itu seandainya kau mahu menghulurkan tanganmu yang sudah sekian lama mahu kugapai."

Aku mendecit.

Aku bukan bola yang disepak ke sana sini hanya untuk kepentingan mereka.

"Aku uruskan sendiri. Kau jangan sibuk."

"Tidak, Myra."

Hatiku mula kurang senang. Suaranya tidak pernah selembut ini dan begitu memujuk.

"Aku sememangnya memerlukan kau. Dan kau juga, memerlukan diriku."

Aku dengan perlahan membuka mata. "Apa?"

Wajah si dia tepat di depanku. Dan langsung dia menyeringai.

"Dia meminta kau menjadi tuannya, bukan?"

Aku diam. Terasa bodoh pula dalam perbicaraan dengan makhluk ini.

"Seandainya kau terima, bukan dia yang bertuan, Myra."

Nafasku terhenti.

"Tetapi engkau, Myra. Engkau yang bakal bertuan. Engkau yang seharusnya tunduk kepada dia. Kerana dia ... tidak akan tunduk kepada sesiapa."

Bebola mata Leyla berurat merah sebelum ...

"Saat hayatnya juga setelah kematiannya."

... cecair merah pekat menitis daripada hujung matanya.

Rumah Puaka Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang