F A I

303 30 0
                                    

"Kenapa kau datang sini?"

Paha ayam masak merah aku letakkan ke dalam pinggan dalam proses menghabiskan baki nasi yang ada.

"Saja. Datang nak jejak kasih dengan keluarga aku dan jenguk ... bakal keluarga aku kat sini."

Lengan aku disiku-siku oleh Fai. Aku menjelingnya tajam dengan hidung berkerut. Tidak cukup dengan itu, aku menjegilkan mata sepenuh hati. Ada-ada saja si Fai ini.

Dia sudah tergelak kecil.

"Elok juga Fai datang. Sudah lama Mak Su tak jumpa Fai."

Mak yang duduk di hadapan aku tersenyum saja pada Fai.

"Rindu juga nak datang sini jumpa Mak Su dan Ayah Su. Kami pun, lepas ayah meninggal, tak ada nak berhubung dengan keluarga belah sini."

Fai mula bermukaddimah.

Acara makan-makanku mula perlahan.

"Eh, rindu kami berdua saja ke? Abang Mirul kamu itu tak rindu? Dulu, dengan Aina dan abang Mirul itulah kamu berkepit ke hulu ke hilir."

Mataku menekur pinggan yang hampir licin. Ayam tinggal rangka dek aku yang melahap sakan. Tiga jari sunnah mengutip butiran nasi sebelum aku suakan ke dalam mulut.

"Iyalah. Rindu juga. Kita kan suka main kahwin-kahwin dulu." Aku lihat Fai dan Amirul berpandangan. Seleraku mati. Apa pun, nasib baik perutku sudah kenyang. "Ingat, tak? Aina yang jadi pengapit masa itu. Lepas itu, ada seorang lagi budak perempuan yang jadi pengapit kita. Apa entah nama dia."

Fai berdekah ketawa. Mak pula sudah tersengih sumbing. Layan saja celoteh Fai. Aku mengerling Amirul dengan hujung mata.

Lelaki itu pun sama. Macam kerang busuk aku tengok.

Akhirnya, aku bangkit menuju sinki. Pinggan aku basuh laju dengan niat mahu keluar daripada kebingitan yang buat hati ini panas.

Kaki ini sedaya upaya aku bawa tanpa terhentak-hentak ke lantai mengalahkan anak kecil. Enggan mak melabel aku sebagai seorang yang biadab. Hilang mata penilaiannya pada seorang aku.

Tandas berdekatan aku masuk. Pintu aku katup perlahan tidak mahu menghempas.

Sabar.

Sabar.

Sabar.

Gigi aku gosok dan wajah aku cuci. Imejku pada cermin sederhana besar aku tenung lama. Aku okey.

Kawal emosi kau, Myra.

"Apakah kau tidak menyukainya? Apakah kau membenci dirinya, tuan?"

Bisikan keras itu mencuit telinga dan jiwaku.

Mata redup kelam pada wajah tua itu turut merenung aku pada cermin yang sama. Riakku kosong.

Aku menggeleng kecil. "Kau jangan kacau Fai."

"Perempuan itu mengganggu kau."

"Dia tak ganggu aku," ujarku tegas.

Lelaki tua itu tersenyum menayangkan barisan gigi hitam. Jemarinya yang tinggal tulang menyelak rambutku ke belakang.

"Dia mengganggu hatimu, tuan."

"Tak."

"Tuan, aku boleh menghapuskannya andai itu yang kau mahu. Aku akan ...."

"Berambus!" Aku bertempikan seraya air di dalam kolah kecil di sebelah aku cedok dan percikkan ke cermin.

Bayangan lelaki tua itu menghilang.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now