Doaku malam ini begitu panjang. Segala kejadian yang menimpaku hari ini aku luahkan di dalam doa. Tiada yang lain yang menjadi tempat aku mencurahkan segala rasa sedalam ini.
Usai mengaminkan doa, aku mencapai senaskhah Al-Quran pemberian umi. Aku membuka helaian terakhir pada bacaanku yang lepas.
Aku terus mengalunkan ayat-ayat suci daripada mukjizat Rasulullah SAW itu sehingga berbelas helaian. Kejayaan yang agak besar yang pernah aku ada setakat ini. Selalunya jika mahu mencapai tahap ini, haruslah di dalam bulan Ramadhan. Satu tempoh di mama semua umat Islam berebutkan pahala bacaan Al-Quran.
Kelopak mata mula sedikit memberat. Aku kemudiannya mengangkat sedikit kain telekung ke atas bahu seraya mengengsot ke sisi katil dan menyandarkan tubuh yang terasa pegal.
Suasana sepi begini membuatkan fikiranku melayang dengan senang.
"Kalau tak suka, kenapa selalu ada bila aku susah. Kalau tak suka, kenapa tunjuk muka risau depan aku kalau aku sakit ke apa ke. Kalau tak suka, kenapa nak buat aku yang jatuh suka pada dia."
Kepala memutarkan perihal yang sama. Pedih yang sama menjalar di dalam jiwa. Aku mula tersedu-sedan saat terbayangkan pertama kali perjumpaan kami yang kemudiannya menjadi titik tolak kepada pertemuan yang sentiasa tak terjangka dek akalku.
Hai, Myra! Nak pergi mana?
Dia yang memulakan perkenalan kami.
Myra, kenapa ini? Pak Cik Malik, Myra ada kat sini!
Masih terngiang dalam fikiranku suaranya yang panik ketika aku hampir pitam di rumah Mak Nab.
Kau kenapa menangis pula ini? Sudahlah. Nak sampai rumah pun kau tak berhenti menangis lagi.
Dia, yang selalu memulakan langkah pertama. Melangkah masuk ke dunia aku yang tidak ada apa-apa kecuali topeng dingin yang menyembunyikan kecelaruan dan ketakutan. Persona yang aku tampilkan, tidak pernah dia endahkan.
Namun, mengapa saat aku sudah mampu menafsirkan semua perilakunya di atas sebuah perasaan yang dinamakan cinta, dia pula yang menjauh?
Kenapa aku terasa seperti begitu terhegeh-hegeh padanya sedangkan dia, memilih untuk diam dan melarikan diri daripada membincangkan perihal 'kami.'
"Kenapa bodoh sangat ini, Myra?"
Buku limaku naik menumbuk dada yang terasa amat perit.
"Kenapa kau buat aku macam ini."
Telekung solatku basah dengan air mata. Bayu dingin saat malam semakin larut menyapa lembut mutiara jernihku membuatkan aku mendongak ke tingkap. Barangkali aku lupa tutup sebelum bergegas keluar tadi.
Saat daun tingkap mahu aku tutup, hujung mata tertangkap sesuatu. Ada sebuah kereta yang berada di halaman rumah. Aku memanjangkan leher cuba memerhati.
"Kenapa dia tak balik lagi?"
Aku menapak ke belakang dan mengunci jendela sebelum mencapai telefon.
"Dah pukul 10."
Langkahku ringan ke ruang tamu. Malahan pantas mengejar pintu yang kaku pada posisinya. Tangkas aku memulas tombol pintu dan pintu terkuak.
Dia, aku lihat sudah mengundurkan kereta dan deruman enjinnya memecah sunyi larut malam saat dia meninggalkan perkarangan rumah.
"Tengoklah mak, anak lelaki mak yang seorang itu. Kalau dah tak suka kita, buatlah macam tak suka."
Pintu aku hempas geram sebelum laju kembali dalam bilik. Langsung aku buat terjunan ke atas katil yang menghitung hari untuk hancur rangka kayunya. Aku kemudiannya meniarap sambil memerhatikan sekeliling bilik.

ANDA SEDANG MEMBACA
Rumah Puaka
TerrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...