JANGAN PERGI

227 28 2
                                    

Terjaga, pantas aku membuka mata. Gelap. Walaupun aku dan kegelapan semakin akrab, tak pernah aku terbiasa dengan keadaan ini. Terasa seperti aku benar-benar ditinggalkan sendirian. Aku meraba ke sekeliling namun hanya menyentuh lantai dingin.

"Aku masuk ke dalam memori dia lagi ke?"

Terus sahaja diri ini bangkit dari pembaringan. Lengan naik mendarat ke atas kepala lutut. Rambut aku serabaikan sehingga sekusut fikiranku kini. Kain yang menutupi sebahagian tubuh aku genggam.

"Selimut?"

Seketika itu, bunyi pintu berkeriuk mencapai pendengaran.

"Siapa itu?"

Dan pintu dihempas kuat.

"Jangan main-mainlah, gila! Kau siapa?"

Dadaku turun naik. Buku lima tergenggam kemas.

Angin yang kuat melewati sebelah kiri membuatkan aku laju berpaling. Tubuh mula menguncup dan aku dibaham kedinginan. Peluh bermanik di dahi.

Kau ....

Suara halus itu berbisik pada cuping telinga kananku. Pantas aku tepis. Benci.

"Diamlah."

... sudah bangun, Myra!

Bau hanyir yang meloyakan itu menerkam rongga nasal saat tempikannya menujah tepat ke wajahku.

"Argh!"

Aku tercungap-cungap mengejar nafas yang terasa semakin singkat capaiannya.

Automatik tubuhku bangkit. Aku memerhati keadaan sekitar. Disambut oleh ruangan yang aku kenali, dada terasa lebih lapang. Wajah, aku raup berkali.

Mimpi.

Aku berpaling ke belakang lalu menarik keluar telefon yang aku tolak ke bawah bantal sebelum tidur tadi.

Lima empat puluh pagi.

Masih awal.

Aplikasi yang memaparkan waktu solat aku buka. Imsak akan masuk pada jam enam lima minit. Lambat lagi nak Subuh. Aku kemudiannya turun daripada katil lalu meregangkan sedikit tubuh yang terasa pegal.

Selimut langsung aku lipat sebelum meletakkannya di atas bantal. Cadar katil juga aku kemaskan serba sedikit.

Kaki kemudiannya membawa aku yang separuh mamai ini ke bilik air. Aku membersihkan diri dan berwuduk. Kembali ke bilik, telekung solat aku sarungkan. Solat sunat Tahajjud dua rakaat dan solat sunat hajat yang juga dua rakaat aku laksanakan sementara menantikan azan Subuh berkumandang.

Matahari belum pun memunculkan diri saat aku sudah siap memakai pelitup muka bersama sebatang penyapu dan juga mop. Aku menyapu lantai bawah katil sejauh mana mampu penyapuku ini mampu capai. Melakukan kerja ini di waktu pagi adalah lebih senang kerana debu tidak mudah merebak ke udara. Bak kata umi, debu-debu ini masih 'berat' di waktu pagi.

Kemudian, aku mop pada setiap inci lantai. Tidak cukup dengan itu, aku mengelap lantai bertikar getah ini dengan kain buruk walaupun tidak terlalu meluas kerana tanganku tidaklah begitu panjang.

Cukup sahaja tahap sederhana bersih, aku menyusun alatan pada dinding.

"Fuh .... Bismillahirrahmanirrahim."

Tubuh meniarap. Kedua-dua lengan merapat ke dada kemudian dengan perlahan-lahan aku mengengsot ke tengah katil. Maju lagi. Maju dan maju sehinggalah aku tiba di kawasan di mana ia di luar radius pembersihan olehku.

Kotor sikit saja. Aku memujuk diri.

Kunci di dalam poket aku pancing keluar lalu aku masukkan ke dalam mangga pada pintu kecil ini. Terbuka. Pintu itu aku tolak. Daunnya naik ke atas. Ia persis pintu haiwan peliharaan yang dibina bagi memudahkan pergerakan keluar masuk.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now