Dejavu.
Segalanya terjadi seperti dejavu.
Aku terlantar di atas toto berbantalkan paha umi. Sedikit kendur tegang jiwa apabila merasakan tangan umi mengelus lembut rambutku.
Tubuh terasa sengal mencucuk. Kaki masih terasa pedih dek kesan lecur. Kecederaan pada kulit merenjatkan kesakitan kepadaku sepanjang malam.
Di rumah pusaka atuk, sudah separuh daripada keluarga besarku berduyun pulang ke rumah masing-masing.
"Myra buat apa pergi rumah Mak Nab?"
Aku mengalihkan wajah yang pucat lesi kepada empunya suara yang bertanya. Mak Nab.
Liut diteguk kesat. Jemari naik memicit kepala yang berdenyut. Tanpa sedar bibir aku menghela tawa kecil. Jadi, si muka bengis di jendela petang tadi ialah ....
Ah!
Yang penting bukan Mak Nab yang menggamitku ke sana. Bukan.
Hujung mata sempat menangkap anak mata yang membiaskan gentar Amirul. Di muka pintu, duduknya rapat di sebelah abah.
Pandanganku kembali pada Mak Nab.
"Nak cari telefon Myra. Myra ingat ... Myra tertinggal kat rumah Mak Nab."
Wanita tua itu mengangguk perlahan barangkali mengerti ujaranku. Dia menggapai tanganku saat tubuh dirapatkan padaku.
"Kawan Myra ada ganggu Myra, ke?" bisikan Mak Nab mencium roman wajahku. Seolah tidak dia mahu sesiapa mendengar kecuali kami.
"Siapa? Siapa kawan Myra?"
"Dia."
Jantung aku berdegup kencang melagukan kegugupan.
"Dia yang menjadi penunggu rumah ini."
Mata terbuntang luas. Nafasku tertahan. Dan di kala itu, semakin aku merasakan erat genggaman Mak Nab. Belakang tanganku digosoknya perlahan.
Aku menjarakkan tubuh daripada Mak Nab. Wajahku berbahang. Aku mencari-cari tangan umi yang hangat sebelum menyembamkan wajah pada telapak tangannya. Hujung baju umi aku renyuk kuat.
Mak Nab tahu sesuatu. Tetapi ketakutan dalam diri mendominasi.
"Umi, nak balik."
Aku meminta penuh lirih.
"Umi, Myra nak balik."
Aku mengongoi dalam dakapan umi.
"Ya, kita balik. Kita balik, Myra."
Mutiara jernih mengalir ke pipi. Aku benci. Aku bencikan diri yang selemah ini.
'Myra.'
Dunia seakan bisu saat suara atuk yang memetik lembut namaku menerjah benakku.
'Myra jangan takut. Myra kuat. Atuk tahu yang cucu atuk kuat. Myra kan istimewa. Yang terpilih.'
Suara yang aku rindukan selama hayat ini kedengaran lagi. Menyentuh jiwa yang rapuh diinjak realiti. Lautan realiti yang melemaskan.
Myra tak kuat, atuk. Myra takut. Kenapa semuanya perlu terjadi pada Myra?
"Kau balik sajalah umi. Makin teruk aku tengok Myra ini. Bawalah dia pi berubat."
Suara Mak Long mencelah tangisan peritku. Aku sedia memasang telinga.
"Kasihan dia. Malik itu kan kenal ramai ustaz. Kau cari-carikanlah ustaz untuk ubatkan dia. Baca-baca sikit biar tertutup hijabnya."

ANDA SEDANG MEMBACA
Rumah Puaka
KorkuKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...