PILIHAN AKU

251 30 2
                                    

Tangan naik menutup wajah. Berdenyut kepalaku dek cahaya yang menerobos ruang mata. Semilir yang menderu menerbangkan dedaunan kering menyentuh hujung jemariku.

Posisiku masih berbaring kerana tubuh merasa pegal. Aku berpaling ke sisi. Aku berpaling ke sisi. Pohon sebesar dua pemeluk menyambut ruang pandanganku.

"Dah siang hari. Aku nak balik," bisikku kepada bayu yang menyentuh dingin renik peluh pada wajahku.

Saat aku menggagau akar kayu pada pohon besar ini, aku terpegang kepada satu objek yang aneh di bawah karpet dedaunan kering di sekitar ini. Telapak tangan bertapak ke tanah lalu perlahan-lahan menolak tubuh untuk mengengsot ke hadapan.

Aku merapat. Daun-daun kering aku sapu dan sapu sehingga debu tanah menyelaputi tangan.

Badan aku langsung mengeras. Aku bungkam sendiri tanpa sebarang kata. Jantung seakan terhenti degupannya ketika hujung mataku menangkap beberapa tulang jari yang timbul daripada tanah.

Namun aku menggeleng perlahan sebelum getar suara melantun di hujung bibir, "imaginasi kau saja, Myra. Kau tak nampak pun semua itu. Tidak."

Aku berundur sebelum berpusing dan membawa langkah menjauh pergi dengan kaki yang selembik jeli. Larianku terhuyung-hayang dek kepala masih berdenyut hebat. Pandanganku seperti lensa kamera telefon lama yang walaupun difokuskan, tidak mendapatkan resolusi imej yang jelas.

Sedang derapanku ke kiri dan kanan tanpa hala tujuan, kaki ini tersadung pada akar tumbuh-tumbuhan yang separas pinggang di sini. Aku terjelopok di situ dengan satu petanda yang sering aku rasakan sejak kecil. Ada sesuatu sedang mengejar.

Semakin lama semakin dekat namun kakiku sepertinya tidak mahu memberi kerjasama. Aku menutup mata serapat mungkin dalam menggagahkan kaki untuk terus melangkah.

"Jangan. Jangan pandang belakang, Myra. Jangan pandang belakang," berulang kali aku mengingatkan diri sehinggalah aku kembali menapak meredah semak yang entah ke mana hujungnya.

Mengapa kau mencari aku, Myra?

Aku diam. Bisikan keras itu tidak menggoyahkan aku yang hanya mahu keluar daripada hutan ini.

Mayatku mengapa dicari-cari? Tidakkah aku ditanam selayaknya oleh Inang Sari?

Aku cuba untuk memekakkan telinga waima jelas bicara itu penuh dengan tanda tanya. Mata terus meliar ke sekeliling. Entah mengapa aku merasakan semakin jauh aku berjalan, semakin jauh aku daripada jalan keluar.

"Amirul!" Nama itu aku jeritkan sekuat hati.

Apa akhir hayatku tidak sesempurna yang lain, Myra?

"Amirul! Amirul kat mana?" Tempikanku sengaja aku kuatkan kerana aku mahu mengaburi persoalan demi persoalan si dia.

Dijawab pertanyaanku!

Dia muncul.

Jauh di hadapanku.

Dengan kebaya merahnya.

Siang hari di sini semakin mendung barangkali dek awan hitam mula berarak ke mari.

Si dia, tidak lagi merah bak delima bibirnya kecuali hanya rekahan dan berlendir hitam di hujungnya. Dia, tidak lagi putih melapak kecuali wajah pucat dan berulat di pipi kanannya. Ulat-ulat yang aku lihat keluar daripada kulitnya dan menggeletik memasuki telinga dan matanya yang bertakung dengan cecair merah.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now