"Amirul mana, mak?"
Berlari perasaan ingin tahuku di dalam kepala. Selepas kejadian dua hari lepas, mak memaklumkan bahawa aku pengsan sebaik sahaja dibawa ke sini. Dan selama tempoh itu juga, aku tidak sedarkan diri.
Dan sebaik saja membuka mata, ada mak yang menemaniku. Kadangkala ada Aina yang menjadi temanku berborak di dalam bilik memandangkan aku terlalu penat hendak bergerak.
"Dia keluar," jawab mak sambil memerah tuala kecil sebelum diletakkan perlahan ke dahiku.
Langsung sedikit reda bahang tubuhku.
"Tapi dari pagi tak nampak dia," aku menyoal lagi.
"Dia ada kerja." Mak membelai pipiku.
"Mak, Amirul pernah bagitahu mak tak yang dia nak putus tunang dengan Myra?" Selamba badak sahaja aku bertanya dengan wajah tidak berperasaan.
Kami saling bertatapan. Lama. Aku dengan wajah tanpa riak dan mak, sedikit tegang namun sukar ditafsir apa yang tersirat di sebalik raut mukanya itu. Kami diam sahaja sebelum mak menghadiahkan senyuman manis.
"Tak pernah. Mirul sayang sangat pada Myra, tau."
Getaran anak mata mak aku balas dengan renungan kosong.
"Tapi kenapa dia jauhkan diri daripada Myra? Kenapa dia buat Myra macam tak wujud dalam hidup dia? Myra telefon dia tapi selepas dia dengar saja suara Myra, dia terus matikan panggilan. Kenapa, mak?" Tangan mak di pipi aku genggam kemas dan belakang tangannya aku usap. Renunganku pada redup pandangan mak semakin tajam. "Sebab Myra bela setan ke?"
Mata mak langsung terbeliak. Dia menarik tangan dan mengurut dadanya. Aku mendengar bait-bait istighfar daripada bibirnya.
"Ya Allah, Myra. Tak elok cakap macam itu."
"Habis itu, apa salah Myra pada dia?" Suaraku mendatar dan keningku bertaut sebelum garisan di dahi mengendur. "Oh, Myra lupa."
Aku ketawa sinis sambil tangan menekan perut yang mula terasa senak dek jenaka yang bertandang dalam fikiran.
"Myra ini cuma beban dalam hidup dia, mak. Anak mak itu, tak suka Myra susahkan hidup dia."
Dari hujung mata, aku melihat mak memandangku dengan lidahnya yang kelu. Senyumanku kendur. Hatiku tersentap melihat mak yang kehilangan kata.
Mana tidaknya, aku memanah kutukan bagai nak rak tentang si anak tepat ke wajah mak.
"Maaf, mak. Myra tak berniat nak sakitkan hati mak."
Aku melukakan hati mak sekali lagi.
"Tak apa."
Ringkas sahaja jawapan mak. Dan begitulah selalunya. Aku buat hal dan mak yang akan menenangkan aku dan memujukku. Kemaafan yang tak pernah dia lokek untuk tuturkan.
"Terima kasih sebab jaga Myra."
Dia mengukir senyuman dan mengangguk perlahan.
"Umi tahu ke tentang apa yang terjadi?"
Dapat aku bayangkan betapa kebasnya telingaku dicubit umi jika dia tahu apa yang terjadi walaupun berkali-kali aku diberi amaran olehnya.
"Tak. Amirul cakap jangan bagitahu umi lagi selagi Myra tak bangun. Dia cakap, biar umi tahu daripada mulut Myra sendiri."
"Hmm. Okeylah kalau macam itu."
"Ehem."
Kami berdua berpaling ke muka pintu. Di sebalik tirai, aku melihat kabur bayangan seseorang yang tinggi lampai.
YOU ARE READING
Rumah Puaka
УжасыKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...