Sungguh malang tak berbau. Aku sangka panas berpanjangan rupanya gerimis mengundang. Aku duduk melepaskan lelah. Terbakar kalori yang aku telan tadi. Tayar depan basikal tua ini aku picit lalu ia kempis serta merta.
"Macam mana ini? Rumah atuk jauh lagi. Penat nak menuntun balik rumah. Dahlah belum solat lagi. Aduhai, basikal. Waktu macam ini kau nak buat hal."
Aku melunjurkan kaki dengan senang. Jalan bertar di dalam kawasan kebun getah ini langsung tidak dilalui oleh mana-mana kenderaan.
Skrin telefon aku pandang. Enam tiga puluh. "Ke nak telefon Ashraf? Eii, tak naklah susahkan orang. Nak telefon mak tak, eh? Urgh. Tak bersedia lagi nak jumpa dia orang."
Aku menekup wajah sambil menghentak kaki ke jalan.
"Tak nak. Tak nak. Tak nak!"
Akhirnya, aku bangkit. Kedua-dua pemegang basikal aku genggam sebelum basikal ini aku tuntun sepanjang jalan dengan harapan dapat menemukan mana-mana rumah yang berdekatan.
"Nasib baik dah makan. Kalau tak lembik jatuh tergolek aku kat sini. Kau nak tanggung Myra? Eloklah. Diri yang nak tanggung diri sendiri pun tak mampu nak menanggung diri sendiri."
Aku mula melalut lewat senja.
"Kenapa jauh sangat ini. Tadi aku rasa sekejap saja. Shiuu shiuu je masa aku lalu sini. Orang kampung boikot jalan ini ke apa? Kereta tak ada. Motor pun tak ada."
Terasa lenguh menggunakan tangan kanan, aku beralih posisi lalu kembali berjalan dan berjalan dan berjalan.
"Kenapa aku tak kayuh je? Tayar je yang bermasalah. Bahagian lain masih elok."
Tanpa teragak-agak, aku naik ke tempat duduk dan mula mengayuh. Tak selesa tapi aku tak kisah. Apa yang penting, aku nak sampai rumah sebelum Maghrib. Asbab pertama, aku nak solat Asar. Kedua, tak elok anak dara merayau waktu senja dan lebih-lebih lagi aku seorang perempuan.
Kayuhanku semakin lama semakin laju apabila keadaan sekitar mula suram dan matahari yang megah di kanvas langit biru juga sedang membenamkan diri membiarkan senja mengambil alih.
Liur aku telan kesat di kerongkong. Dahi mula berpeluh.
"Bila nak sampai ini?"
Entah kenapa, aku rasa jalan yang lurus ini sebenarnya membentuk satu bulatan. Aku seperti berada di tempat yang sama. Hanya waktu yang berubah daripada siang ke malam.
Sedang aku panik, basikal ini merempuh batuan jalan yang aku tidak perasan keberadaannya. Tubuhku melayang dan genggaman pada hendal basikal terlepas.
Mataku terpejam saat tubuh bergolek beberapa kali sehingga aku tertiarap di atas jalan. Belakang kepala terasa seperti terhentak sesuatu yang keras membuatkan kepalaku terasa berdenyut hebat. Rasa pedih pada lutut dan pipi pula mula menjalar. Aku cuba untuk bangun dengan sedaya upaya. Namun tolakan tangan pada jalan untuk mengangkat tubuh tidak begitu kuat sehingga aku tertiarap kembali.
Aku menghela nafas pendek saat cuba mengengsot mendekati basikal yang sudah agak jauh daripada kedudukan aku sekarang.
Dalam pada itu, di hujung jalan, aku melihat ada cahaya yang muncul dalam kegelepan kawasan kebun getah ini. Mata aku kejipkan berkali bagi memastikan aku tidak berkhayal dan tiada harapan palsu.
Cahaya itu semakin dekat membuatkan aku terasa silau. Jemari naik menutup mata. Bunyi deruman kereta yang semakin lama semakin kuat menandakan ia di dalam mod kelajuan yang sangat tinggi, membuatkan aku kecut perut. Langsung teringat bahawa aku mengenakan t-shirt hitam dan seluar slack hitam hari ini.
"Ya Allah. Allahuakbar."
Air mata mula bercucuran.
"Allahuakbar."
YOU ARE READING
Rumah Puaka
TerrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...