Perit yang berantai, menular.
Dan aku ... terjaga.
Mataku celik. Tapi aku buta.
Telingaku mendengar namun hanya dengungan tak berkesudahan.
Di mana?
Persoalan itu timbul.
Wajah Fai yang ketakutan melayang ke ruang fikir. Tangan aku gawangkan ke udara. Posisi berbaring ini sungguh membataskan pergerakan. Tetapi tubuh tak mampu bangkit.
"Aku mahu khabarkan sesuatu kepada kau, tuan hamba."
Tangan yang terangkat tinggi aku bawa ke sisi kembali. Suara lunak lagikan merdu itu buat aku terpaku. Namun pada intonasinya terpalit kepiluan yang menyucuk hatiku.
"Apakah yang terbuku di dalam hatimu itu? Khabarkanlah. Ingin sekali aku mendengar."
Ada suara garau yang membalas.
"Mahukah engkau jikalau aku katakan yang aku mahu pergi jauh dari sini bersama kau, tuan hamba? Marilah kita pergi mengikat pertalian suci di mana tiada orang yang cuba memutuskan tautan kasih ini."
Ada esakan kecil menyusul.
Aku menopang tubuh dengan siku. Aku mahu keluar daripada kegelapan ini. Aku mahu lihat si dia yang sedang mengongoi itu. Aku ingin tahu. Aku terlalu ingin tahu.
Dan saat aku cuba berdiri tegak, mata berpinar kejap.
"Kau masih punya wali. Mengapakah kau berkata begitu?"
Tubuh terasa ringan melayang.
"Kerana yang sedarah sedaging itu ...." Bicara wanita yang teresak itu tergantung.
Aku rebah kembali. Suara-suara itu hilang seakan ditelan kegelapan yang menemaniku sedari tadi.
Mataku terpejam rapat. Bibirku membisikkan sesuatu. "Yang sedarah sedaging itu, seakan duri yang menusuk hati yang mencintai."
Air mataku mengalir lesu.
Otak berputar ligat menyatukan titik yang bersilang pada halaman pertemuan ini.
Entah suratan atau kebetulan.
Aku membuka mata sepet. Kali ini cahaya berlegaran pada pandangan.
"Dia sudah buka mata."
Anak mata lurus memandang mak. Aku dalam posisi berlunjur. Dia di hadapanku sedang menggenggam ibu jari kakiku.
"Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar."
Zikir itu dihembus ke cuping telingaku. Kini baru aku sedar bahawa bahuku dirangkul seseorang.
Ulu hati terasa panas mencucuk. Tubuh aku kemudiannya ditolak perlahan dan bersandar ke dinding berlapikkan sebuah bantal.
"Myra." Aku menoleh ke sisi. "Myra dengar suara mak cik?"
Mata, aku kerdipkan satu kali.
"Ini tasbih. Mak cik hadiahkan pada Myra."
Seutas tasbih kayu ditolak masuk ke dalam genggaman. Kepalaku terasa serabut benar tatkala itu.
Mak cik itu mengurut perlahan kakiku. Daripada paha sehingga ke buku lali. Wajahnya menala pada mak.
"Nanti ajak Myra buat solat hajat sama-sama. Suruh dia minum air zam-zam selalu. Ajak dia baca Al-quran sekali. Kalau ada silap bacaan, tegur. Dia sendiri kena buat. Ajak baik-baik. Jangan pula memaksa."
"Baik, Kak Ros. Terima kasih sudi rawat Myra."
Mereka berbual santai dalam pada aku sedang menekur lantai. Jiwa masih terikat pada kejadian beberapa minit yang lalu. Ayat itu. Ayat-ayat yang dilafazkan oleh dua insan itu.
YOU ARE READING
Rumah Puaka
TerrorKisah ini bermula setelah aku memilih untuk menginap di kampung untuk beberapa hari. Atau lebih tepatnya, bermalam sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah atuk 15 tahun lalu. Niat mahu menjejak zon hijau di kampung berubah tragis apabila aku mul...