P E N A T

283 30 4
                                    

Angin yang menderu menampar dingin tubuhku yang mentalnya semakin koyak namun secara fizikalnya, aku tegar membongkok berhadapan tiga insan yang menggeletar meraung meratapi rakan mereka dalam genggamanku.

Aku menjeling ke sisi tidak berperasaan. Rambut yang berjuntaian memagar pandangan tidak aku usik. Sekujur tubuh yang tidak sedarkan diri aku tolak dengan hujung kaki.

Aku tolak kuat sikit.

"Jangan!" Tiga sekawan itu menjerit.

Aku tolak lagi sehingga kaki si mangsa terjuntai daripada bumbung bangunan lapan tingkat ini. Dia yang aku baringkan di atas bangku, sangat polos berbaring menghadap kanvas langit malam.

"Tolong jangan apa-apakan dia." Si bedebah itu mendekat. Terketar dia cuba menggapai temannya.

"Nama kau?"

"Nam ... nama aku?"

Dia berpaling ke belakang. Barangkali meminta pendapat untuk menjawab soalanku.

"Iya."

Dia membisu.

Hujung keningku terjongket sinis padanya.

"Lara. Nama dia Lara," sampuk rakan di belakangnya.

Tubuhku yang membongkok 90 peratus ini terhenjut ketawa. Aku menggamitnya mampir. Aku melihat kedua kakinya yang diseret berat. Enggan dan barangkali takut benar mendekatiku.

Saat dia di sisiku, aku menarik tangannya untuk merendahkan tubuh separas ketinggianku. Lehernya kupaut membawa cuping telinga Lara ke bibirku.

"Kau ambil dia pergi." Kuku tajamku mula membenam ke dalam leher jinjang itu sedalamnya. "Kemudian kalian lari."

Dia berteriak. Lara menggapai lenganku mahu melepaskan cengkamanku namun kuku milikku semakin dalam terbenam.

"Wei, tolong aku!" Dia melolong pada kebisuan malam.

Bangsa langit pastinya mentertawakan dia seperti mana aku yang berdekah mendengar. Dan kepalanya aku tujahkan ke dahiku dan bersatu. Automatik dia melutut dan dia, pegun serta-merta.

"Tinggalkan Myra. Dia jangan kau sentuh. Jangan ditangan-tangankannya. Dia milikku. Selamanya ... milik aku."

Anak matanya aku lihat bergetaran naik menyamakan paras pandanganku.

"Pergi kalian jauh-sejauhnya!" Aku menengking garau pada wajah itu dengan bauan mulutku yang berpuaka.

"Ahhh!"

Lara menjerit dan wajahnya yang sedia pucat kini ditoreh tak berdarah. Dia meronta-ronta saat air matanya yang berjuraian sudah mampu membanjiri bumbung bangunan ini.

Mungkin kerana dia sedang memandang seorang aku ... yang bukan aku.

"Andai ada yang tertoleh ke belakang, ini malam terakhirlah kalian menatap bulan dengan sepasang mata jelik itu!"

Pautan pada lehernya aku longgarkan dan dia, aku tolak kasar.

Lara dengan pantas menarik temannya yang masih belum sedarkan diri waima diri sendiri sudah tidak siuman melepaskan tangis ketakutan. Ketiga-tiga mereka memapah gadis itu bersama.

Langkah mereka sudah merapati pintu untuk menuruni anak tangga ke tingkat paling atas bangunan. Aku kemudiannya menyeringai tajam kepada salah seorang daripada mereka yang bodoh sombong menjeling aku yang masih membongkok di penjuru bumbung ini.

Dan saat itu terlihat Lara menegah si pelaku.

Namun sayang seribu kali sayang.

"Jangan," ucapku perlahan. Lemah.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now