Waktu yang dinanti-nantikan akhirnya tiba jua. Aku sudah siap berkemas pada malam sebelumnya. Segala persiapan telah aku siapkan. Perasanku sedikit gementar namun aku yakin ini adalah permulaan untuk hidup aku yang lebih indah.
"Kau dah siap?" Irwan yang berdiri di hadapanku bertanya sambil membantu mengangkat beg di hadapan pintu.
Aku mengangguk selepas merenung tajam setiap sudut rumah yang banyak terisi kenangan sepanjang aku menetap di rumah ini. Tempat persinggahan yang sedikit sebanyak menyembuh luka di hatiku ini.
Irwan tersenyum memandang Abang Seman yang berdiri di samping keretanya. Dia menghulurkan beg pakaianku kepadanya. Abang Seman menyambut beg galas itu dengan senyuman.
"Abang Seman, saya mintak tolong abang jagakan kawan baik saya ni elok-elok ya. Dia ni sorang je kawan rapat yang saya ada. Apa-apa berlaku, tolong bagitau saya dulu ya."
Irwan menoleh memandangku. Aku tersenyum lalu menyiku lengannya.
"Kau janganlah risau. Pandai-pandailah aku jaga diri nanti."
Abang Seman mengangguk. "InshaAllah. Nanti abang jaga Aizat elok-elok. Makan, pakai, tidur dia, abang akan pastikan dia dapat dengan cukup. Kalau ada apa-apa yang penting nanti abang akan terus telefon kamu."
Abang Seman mengambil beg yang dijinjing di tanganku.
"Nanti dah sampai jangan lupa telefon aku tau." Irwan menarik aku ke dalam pelukannnya.
"Iya. Faham. Kau pun janganlah sedih-sedih. Kau kan dah janji nanti kau nak melawat aku kat sana? Bila kau nak balik semula dekat KL?" Giliranku bertanya kepadanya.
"Minggu depan kot. Nanti sampai je sana aku terus pergi lawat kau dengan Abang Seman." Ketawa Irwan sambil menolak badanku, memaksaku untuk masuk ke dalam kereta Abang Seman.
"Dah lah. Ni pergilah cepat. Nanti jalan sesak, hujan, lambat pula sampai kan."
Abang Seman mengangguk bersamaku.
Aku menarik nafasku sedalam mungkin sebelum melepaskan genggaman tangan Irwan. "Terima kasih Wan. Sepanjang kau jadi sahabat aku, sepanjang tu juga kau setia dengan aku. Sepanjang itu juga kau faham sikap aku dan sekarang bila kita terpisah macam ni, aku harapkan yang terbaik untuk kita berdua. Aku harap kau juga dapat bina masa depan yang kau impikan selama ni."
Irwan menepuk lembut bahuku. "Selamat mulakan hidup baru."
Aku melangkah masuk ke dalam kereta Abang Seman. Aku memandang Irwan yang melambai-lambaikan tangannya. Abang Seman mula menggerakkan kenderaannya. Pandanganku masih melekat pada Irwan sehinggalah bayangannya mengecil dan terus hilang.
Tingkap kereta kubuka. Aku mengeluarkan jari jemariku, membiarkan angin di jalanan menyelimuti jari jemariku. Sensasi dingin di jariku sedikit sebanyak menenangkan diriku yang masih berdebar untuk memulakan hidup yang baru. Senyuman dibibirku masih terpakai. Aku mahukan kebahagiaan dan senyuman sahaja selepas ini.
Telefon bimbit kukeluarkan dari poket seluarku. Aku menaip beberapa perkataan lantas menghantarnya kepada Hakimi.
'Saya dah bertolak ke KL.'
Telefonku berbunyi menandakan beberapa mesej masuk daripada Hakimi. Aku melirik pada skrin telefonku dengan senyuman panjang.
Abang Seman memandangku dengan senyuman sahaja. Aku menyimpan semula telefon bimbit ke dalam poket seluarku dan menyambung semula menikmati pemandangan kampung di luar tingkap.
Aku membuka mataku setelah merasa bahuku disentuh.
"Aizat. Bangun. Kita dah sampai."
"Oh kita dah sampai eh!" Tanyaku yang masih terbuai dalam kemamaian.
ANDA SEDANG MEMBACA
Pelacuran Cinta(boyxboy)
RomantizmKehidupan Aizat tidaklah seindah dongeng putera raja. Dilahirkan dalam keluarga yang tidak kenal erti kasih sayang menyebabkan dia dijual oleh keluarganya kepada bapa saudaranya. Beribukan seorang pelacur dan berbapakan seorang kaki judi, menjadi pe...
