🌸 BAB 8 🌸

32 2 0
                                    

Aisha senyap sahaja sepanjang perjalanan. Dia sibuk memerhatikan jalan dari dalam kereta. Dibiarkan Zayyan memandu tanpa bertanya apa-apa. Hari ini dia dan Zayyan akan berpindah ke rumah milik jejaka tersebut.

Beberapa kali papa dan mama memujuk untuk dia dan Zayyan tinggal bersama mereka tetapi Zayyan tetap menolak. Dia mengikut sahaja kata-kata Zayyan. Malas nak bergaduh.

Seketika kemudian, Zayyan membelok masuk ke satu jalan kecil dan memasuki satu kawasan perumahan yang agak terpencil. Aisha memerhatikan kawasan tersebut. Hatinya terus menyukai kawasan perumahan itu, damai dan tidak sibuk.

"Mungkin di sini tempat Zayyan tinggal." Bisik hatinya.

Dia melihat sekitar dari dalam kereta dengan penuh minat. Tiba-tiba Aisha terpandang beberapa orang anak kecil sedang bermain di taman permainan di seberang jalan. Tanpa disedari satu senyuman terukir di bibirnya. Gelak ketawa kumpulan kanak-kanak itu membuatkan hatinya senang.

Aisha terlalu asyik melihat pemandangan di depannya sehingga tidak menyedari Zayyan memberhentikan kereta Myvinya tepat di depan satu rumah teres setingkat berwarna putih. Zayyan memerhatikan sahaja gelagat Aisha di sebelah apabila melihat Aisha masih terpaku di kerusinya.

Dalam diam Zayyan mengakui yang Aisha memang mempunyai wajah yang lembut dan mempersonakan. Apatah lagi jika gadis itu tersenyum, lesung pipit yang timbul di pipi kanannya menambahkan seri di wajah Aisha.

Sebentar kemudian Zayyan menggelengkan kepalanya, tersedar yang dia terlalu asyik memandang gadis itu.

"Zayyan, kau jangan terpedaya dengan wajah manis perempuan ni. Kau kan tahu perangai dia yang sebenar. Muka je nampak innocent." Bisik hati Zayyan. Dia terus mematikan enjin kereta.

Aisha masih tidak berganjak, tidak menyedari yang dia sedang diperhatikan Zayyan. Aisha terbayangkan memori semasa dia kecil. Dia juga suka bermain di taman permainan seperti itu. Di usia itu dia tidak perlu memikirkan apa-apa masalah selain dari main, makan, minum dan tidur.

Dia tersenyum sendirian.

"Pooooooonnnnnnnn!!!!!!"

Tiba-tiba satu bunyi hon yang kuat dan panjang mengejutkan Aisha.

"Ish!!" Aisha terus memandang ke arah Zayyan. Lelaki itu sedang menekan hon kereta melalui luar tingkap kereta. Entah bila Zayyan sudah keluar dan berdiri di luar.

"Tak nak turun lagi ke? Saya dah siap bukak pagar ni." Zayyan menegur dingin sambil membuka pintu kereta di belakang.

Aisha menjeling ke arah Zayyan. Macam tak boleh cakap elok-elok. Senyumannya terus menghilang. Aisha menggigit bibirnya, geram. Dengan malas dia membuka pintu dan mengambil begnya di belakang. Hanya satu beg pakaian yang dibawanya. Kesemua barang-barangnya yang lain masih ada di rumah sewa yang dikongsi dengan Suraya.

Nantilah dia pergi ambil.

Dia menarik beg bajunya dan mengikut Zayyan dari belakang. Sejurus dia melepasi pagar, kelihatan halaman depan rumah yang kosong dan agak tidak teratur. Hanya ada rumput-rumput liar yang entah bila kali terakhir dipotong.

Kawasan halaman itu agak kecil, mungkin myvi Zayyan pun tak muat nak masuk ni.

Zayyan membuka kunci pintu rumah dan melangkah masuk. Aisha terus mengikut lelaki itu.

Sebaik sahaja berada di dalam rumah, matanya terus liar memerhatikan sekeliling. Rumah teres itu kecil sahaja. Terdapat dua bilik dan satu dapur di hujung ruangan. Satu meja makan berbentuk bulat di dapur. Satu sofa dan satu tv di ruang tamu.

Dindingnya yang berwarna putih kelihatan kosong tanpa ada apa-apa hiasan. Terdapat satu tingkap di ruang tamu menghadap ke arah jalan dan ditutupi langsir kosong berwarna biru tua. Cahaya matahari hanya samar-samar yang dapat tembus ke dalam rumah. Suram.

Aisha tergamam. Tidak sangka suasana rumah ini sedingin hati tuan rumahnya.

"Ini rumah awak ke?" Aisha bertanya tanpa berfikir panjang.

Zayyan tersenyum sinis mendengar soalan Aisha.

"Kenapa? Rumah ni kecil ke untuk awak? Saya memang tak sekaya awak, tak mampu beli bungalow dua tingkat." Balas Zayyan dengan sinis.

"Awak kan dah tahu yang saya ni tak berharta. Bukan ke sebab tu awak larikan diri tak nak nikah dengan saya?" Sambung Zayyan lagi sambil menghadap tubuhnya ke arah Aisha. Pandangannya tajam.

Aisha mengerutkan dahi. Dia keliru.

"Bukan sebab tu la saya tanya." Aisha segera membalas.

"Rumah ni macam takde orang duduk! Kalau orang lain yang tengok rumah ni, mesti diorang kata hantu je yang tinggal kat sini. Suram dan menakutkan, tau tak?" Suraya menjawab dengan geram. Pandangan mata Zayyan dibalas.

"Eh, awak ni.." Balas Zayyan.
"Awak nak kata saya ni hantu ke apa?" Lelaki itu menggigit bibirnya geram.

"Saya tak kata. Sape yang makan cili, dia yang rasa pedas." Aisha memeluk kedua tangannya.

Zayyan mengetap giginya, geram ingin dibalas ucapan Aisha. Tetapi tiba-tiba terdengar azan Asar berkumandang dari surau berdekatan. Kedua-duanya terus bungkam.

Aisha menarik nafas panjang dan terus duduk di atas sofa di tepinya. Tidak dia sangka begitu tanggapan Zayyan terhadap dirinya. Tidak mungkin dia menolak menikahi Zayyan semata-mata kerana duit. Dia yakin hatinya takkan berubah dalam masa sepuluh tahun ni.

Aisha memejamkan mata untuk menenangkan diri sambil menunggu azan selesai. Kelihatan Zayyan hanya berdiri bersandar di dinding. Tidak sudi duduk dengan dia agaknya.

Sejurus azan selesai Zayyan mencapai beg bajunya.

"Awak tidur di bilik depan, saya tidur di bilik belakang. Saya akan guna bilik air di dapur." Zayyan kemudian terus menuju ke bilik berdekatan dengan dapur.

Aisha tidak membalas. Dia hanya bingkas bangun dan mengangkat begnya masuk ke dalam bilik yang dimaksudkan Zayyan. Hatinya masih panas.

Dia meletakkan begnya di tepi katil sambil merengus.

Sejurus dia mengangkat kepala, dia kaget seketika apabila memandang ke ruangan bilik tidurnya yang baru itu. Suasana di dalam ruangan itu amat berbeza berbanding dengan ruangan di ruang tamu tadi.

Di pandangnya keliling, memerhatikan setiap sudut bilik kecilnya.

Dinding bilik tidurnya itu dicat penuh dengan warna pink muda.

Katil yang bersize queen di sebelah kanannya dibaluti dengan cadar patchwork yang berwarna soft pink dan hijau muda. Di atas kepala katil pula terdapat satu lukisan abstract panjang yang memenuhi dinding. Di depan katil terhampar satu karpet lembut menutup lantai.

Kemudian dia terpandang pada meja solek kecil di sebelah sisi katil. Di atasnya terdapat sejambak bunga lili tiruan berwarna putih, tersusun kemas di dalam pasu kaca. Hmm, bunga lili putih. Entah kenapa hatinya mula rasa berbunga juga.

Di sebelah kiri Aisha pula berdiri satu almari baju berwarna putih yang rapat ke dinding. Di sebelah almari kelihatan langsir yang berwarna pink sedang menutupi tingkap. Langsir tersebut dihiasi corak bunga yang ringkas di tepinya dan terbuai mengikut alunan angin.

Bilik itu juga mempunyai bilik airnya sendiri.

Selepas seketika baru Aisha menyedari yang bilik itu kebanyakannya dihiasi dengan warna pink muda. Mesti di fikiran Zayyan, semuanya harus dihias dengan warna tersebut kerana dia seorang perempuan.

Aisha tersenyum kecil. Hatinya menjadi senang kembali.

Aisha kemudian melangkah ke sisi tingkap dan memandang ke luar. Di sebalik tingkap, dia dapat melihat jelas taman permainan di seberang jalan. Kumpulan kanak-kanak tadi masih bermain di situ.

Rupanya Zayyan sanggup meluangkan masa untuk menghiasi biliknya sebelum dia berpindah masuk. Bertimbang rasa juga rupanya lelaki itu. Mungkin Zayyan tidak sedingin yang disangkanya.

Jika difikir-fikir, menyesal pula dia mengumpamakan Zayyan seperti hantu.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now