🌸 BAB 61 🌸

17 1 0
                                    

--FLASHBACK: 1 FEBRUARY 2023-SEHARI SEBELUM AKAD NIKAH--

Aisha menutup pintu kereta. Dia menelan air liur. Hatinya amat gemuruh dan berdebar-debar. Selepas kejadian malang yang menimpa dia dan Zayyan seminggu lalu, dia tidak pernah lagi berhadapan dengan jejaka itu.

Hari ini, dia harus mendapatkan kepastian. Dia tidak mahu jika permulaan antara mereka, menjadi beban kepada Zayyan. Mungkin sahaja Zayyan bersetuju untuk bernikah hanya kerana ingin menutup malu. Walaupun papanya terus memaksa mereka berdua, tapi hati Aisha tidak senang.

Bukan dengan cara begini dia ingin memiliki Zayyan.

Aisha melangkah menuju ke bengkel Zayyan dengan penuh keberanian. Dia mengigit bibir. Hatinya berdegup pantas seperti hendak terkeluar.

Langkah Aisha terhenti apabila dia betul-betul berdiri di depan pintu bengkel.

"Salam, kak. Ada apa-apa yang boleh bantu?" Seorang anak muda datang menghampirinya. Mungkin salah seorang pekerja di situ.

"Hmm Encik Eiman Zayyan ada?" Tanya Aisha, serba salah.

"Oo abang Zayyan tengah cakap dengan bos dekat pejabat. Nak saya panggilkan?" Tanya pekerja itu sambil menunjukkan ke arah pejabat yang berada agak jauh.

"Eh tak apa. Saya tunggu kat luar je." Balas Aisha pantas. Dia terus memandang ke arah yang sama.

Di sebalik sebuah cermin yang besar, Aisha dapat melihat kelibat Zayyan sedang berbincang dengan seseorang di dalam ruang pejabat. Kemudian jejaka itu menutup cermin tersebut dengan menarik sebuah tirai. Kini cermin besar itu tertutup sepenuhnya.

"Err macam ni kak, apa kata akak tunggu je atas kerusi tepi pejabat tu? Takkan nak tunggu kat sini. Panas kat luar ni." Anak muda di depannya tersengih.

Aisha mengangguk bersetuju. Aisha membuka langkah dan menuju ke kerusi yang dimaksudkan. Kerusi itu berada agak tersorok dan betul-betul di sebelah pintu pejabat.

Dengan rasa gemuruh, Aisha terus meletakkan punggungnya. Tangannya dikepalkan untuk menghilangkan rasa seram sejuknya.

"Kau dah betul-betul bersedia ke untuk esok?" Kedengaran suara seorang lelaki dari sebalik pintu.

Aisha terus berpaling. Rupanya pintu pejabat tidak tertutup rapat.

Suasana senyap sebentar.

"Aku harus bersedia. Dah lama aku rancang untuk saat ni, dah terlambat untuk aku berhenti." Kedengaran pula suara Zayyan yang amat dikenali Aisha.

"Kau tak kesiankan dia?"

"Siapa maksud kau? Aisha?"

Aisha terhenti seketika apabila namanya disebut jejaka tersebut.

"Ya, Aisha. Esok kau akan menjadi suami kepada orang asing."

Suasana diam seketika.

"Dia bukan orang asing. Dia anak kepada lelaki yang mungkin menjadi penyebab kematian abah aku." Kata-kata Zayyan jelas di telinga Aisha.

Aisha tercengang.

"Ya aku tahu, sebab tu kau sanggup kena tangkap basah dengan dia. Macam mana kalau dia tahu, kau sendiri yang rancang semua tu?"

"Dia takkan tahu. Ini adalah jalan yang paling cepat untuk aku masuk dalam keluarga Datuk Muzaffar. Lagipun lepas aku dapat apa yang aku cari, aku akan lepaskan Aisha."

Mata Aisha terkedip-kedip. Kata-kata yang didengari itu bagaikan mimpi buruk baginya.

"Ok. Aku tahu kau memang tekad. Aku cuma tanya kalau kau rasa ragu-ragu, Zayyan. Mungkin sahaja kau akan rasa kesian kat Aisha. Dari perasaan kesian, boleh lahir rasa cinta."

"Aku takkan ragu-ragu, Amir. Dan tak mungkin aku akan cintakan dia. Kalaulah Datuk Muzaffar memang musuh aku, begitu juga dengan anak perempuan dia." Kedengaran suara Zayyan tegas.

Aisha terus menekup mulutnya dengan telapak tangan. Hujung matanya mula bertakung air mata.

Gadis itu bingkas bangun dan melangkah keluar pantas.

Dia berhenti sebentar apabila berselisih dengan anak muda yang sama tadi.

"Saya tak jadi jumpa Encik Zayyan. Jangan bagitahu dia yang saya ada datang." Katanya laju sambil cuba tersenyum.

Hati perempuannya hancur. Langkahnya terus menuju ke kereta. Apabila dia masuk ke perut kenderaan itu, dia terus menyalakan enjin dan memandu laju.

Untuk seketika, fikirannya kosong dan dia tidak tahu ke mana ingin dituju. Aisha menarik nafas panjang. Dia terus membelok ke tepi jalan dan menekan brek. Kereta terhenti.

Aisha menghembuskan nafas melalui mulut beberapa kali. Matanya berkaca tetapi mulutnya tergelak kecil. Dia mentertawakan dirinya sendiri kerana terlalu bodoh.

Selama seminggu ini, dia berasa amat bersalah terhadap Zayyan. Dia mengganggap dirinya adalah penyebab mereka berdua tertangkap basah.

Rupanya Zayyan yang merancang semuanya. Dan ada muslihat di sebalik perbuatan Zayyan mendekati papanya.

Betapa manipulatifnya seorang lelaki yang bernama Eiman Zayyan. Aisha ketawa kecil dalam kesedihan yang teramat. Kedua bahunya tersengguk-sengguk kerana esakan. Hatinya bagaikan dirobek-robek.

Seketika kemudian, Aisha mengeluarkan telefonnya. Nombor Suraya didail dan telefon diletakkan di telinga.

"Hello?" Suara Suraya kedengaran.

"Suraya. Aku tak boleh kahwin." Balas Aisha pantas.

"Aisha? Kau ok ke?"

"Aku tak ok, Suraya. Aku tak ok! Aku tak boleh kahwin dengan Zayyan!" Ucap Aisha dengan suara yang gementar.

Dia terus mematikan telefon tanpa menanti balasan Suraya. Seketika kemudian, kedengaran telefonnya berdering beberapa kali. Dia lantas menekan butang power di telefon dan mematikannya.

Hatinya tidak mahu diganggu. Sekarang, dia seperti mahu lari sejauh-jauhnya.

--DONE FLASHBACK--

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now