🌸 BAB 72 🌸

32 2 0
                                    

"Pulse?"

"Palpable."

Palpable... palpable... palpable...

Kedua mata Aisha tidak dapat dibuka tetapi perkataan itu tergiang-ngiang jelas di telinganya. Palpable... bermaksud yang nadi Zayyan masih berdenyut dan masih ada.

Bermaksud juga.. yang suaminya masih ada harapan. Kelopak mata Aisha masih belum dapat dibuka tetapi hatinya menangis semahunya. Aisha berusaha sedaya upaya untuk membuka matanya.

Bagaimana cara sekalipun, dia harus melihat wajah suaminya.

Seketika kemudian, Aisha mula membuka matanya perlahan-lahan. Cahaya pagi di sebalik langsir menghala terus ke matanya membuatkannya sedikit silau. Secara spontan jari jemari halusnya cuba menghalang dari cahaya itu tembus ke anak matanya. Dia mengerutkan muka.

Dia dapat merasakan kedua matanya pedih dan masih basah. Dia terbaring dan diselubungi selimut.

"Zayyan!" Aisha terus bangun terduduk. Air matanya mengalir semula, cemas memikirkan keadaan suaminya sekarang.

"Aisha?" Suara Suraya membuatkan Aisha terus berpaling.

Suraya sedang berdiri di depan pintu bilik. Sahabatnya itu berambut pendek separas telinga. Aisha mengerutkan muka. Suraya berambut pendek!

Aisha terus liar memandang keliling. Dia baru tersedar yang dia berada di rumah sewa Suraya dan sedang berada di atas katil sahabatnya.

Hatinya berdegup pantas. Air matanya terus mengalir dengan laju di kedua belah pipinya. Jangan! Hati Aisha berbisik. Ya Allah. Jangan biar apa yang ada dalam fikirannya sekarang sedang terjadi.

Tangan Aisha menggigil mencapai telefonnya di sebelah bantal dan terus membuka skrin.

9:29 AM
3 FEBRUARY 2013.

Gementar tangannya semakin kuat.

2013??

Aisha terus memandang Suraya.

"Suraya.. se.. sekarang tahun berapa?" Terketar-ketar suara Aisha, cuba mengeluarkan suaranya sepenuh daya.

"Hari ni? 3hb. Semalam kan kita sambut birthday kau?" Balas Suraya kehairanan.

"Bukan, Suraya." Air mata Aisha mengalir tidak berhenti. "Tahun.. tahun berapa?"

"2013. Sekarang tahun 2013, Aisha." Jawab Suraya, kaget dengan air mata Aisha yang membasahi pipi.

"Ya Allah, Zayyan.." ucap Aisha penuh dengan rasa pilu. Jawapan Suraya menyiat-nyiat perasaannya. Kenapa takdirnya bermain dengan hatinya begini. Kepalan tangannya menumbuk-numbuk dadanya dengan cucuran air mata. Aisha terasa takdirnya amat kejam. Dadanya kini terasa sangat sesak dan amat sakit.

Dia terus terbaring ke sisi dan membengkokkan lutut rapat ke dadanya. Dia memegang dadanya yang kini dirasakan seperti hampir meledak.

"Argghhhhh!!" Aisha terus menjerit kesedihan semahunya, melepaskan semua di dalam hatinya. Wajah suami kesayangannya terus terbayang-bayang di fikirannya sekarang. Aisha menangis semahu-mahunya dan esakan kuat gadis itu memenuhi ruang bilik.

"Zayyan.." Aisha menyebut nama lelaki itu berulang kali seperti hilang arah. Tangan Aisha meramas erat selimut di sebelahnya. Bagaimana dia hendak menerima semua yang terjadi mungkin hanya mimpi? Aisha memejam matanya erat dan terus menangis seorang diri.

Aisha meraung sekuat hatinya. Dia tidak sanggup menanggung ujian yang terlalu berat baginya. Hatinya bagaikan dihempap-hempap.

Ya Allah, bagaimana dia dapat bertenang apabila hatinya dipermainkan begini??

Suraya yang sedang berdiri di muka pintu tercengang melihat keadaan Aisha yang menangis seperti hilang akal.

"Aisha?" Suraya terus menghampiri Aisha dan merangkul tubuh sahabatnya. Tidak pernah dia melihat Aisha meraung kesedihan sebegitu. Tangan Aisha menggigil-gigil mengenggam selimut dengan lututnya dipeluk rapat.

Suraya memeluk badan Aisha erat. Badan gadis itu dapat dirasakan terlalu sejuk. Tangisan Aisha juga tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

"Zayyan.. Zayyan, Suraya.." Suara Aisha tersekat-sekat.

"Zayyan?" Tanya Suraya kehairanan. Kenapa tiba-tiba Aisha menyebut nama itu. Kali terakhir dia mendengar Aisha menyebut nama itu ketika mereka masih di Sekolah Sains Permata.

Suraya ingatkan Aisha menangis kerana gadis itu masih marahkan papanya. Pergaduhan Aisha dan orang tuanya semalam menyebabkan Aisha lari dari rumah dan datang ke rumah sewanya.

Aisha memandang mata Suraya dengan pandangan yang hiba. Matanya terus dibasahi air mata. Dia tahu yang Suraya tidak akan mengerti perasaannya sekarang. Sahabatnya itu tidak akan faham jika dia menceritakan apa yang terjadi antara dia dan Zayyan.

Bagaimana dia ingin memberitahu Suraya yang dia sedang berada di tahun 2013 tetapi memorinya penuh dengan kehadiran Zayyan dan peristiwa yang berlaku sehingga sepuluh tahun yang akan datang? Akankah Suraya percaya dengan kata-katanya nanti?

Aisha kemudian memegang perutnya dengan tangan yang gementar. Hatinya amat pilu. Tanda cinta antara dia dan Zayyan juga sudah tiada. Aisha mengenggam tangannya sekuatnya dan hanya mampu menangis semahunya.

Kini, dia betul-betul sudah kehilangan Zayyan.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now