🌸 BAB 9 🌸

30 2 0
                                    

"Awak.." terdengar satu suara lembut bersama bunyi ketukan di luar pintu.

Zayyan yang sedang menghadap komputer ribanya terhenti seketika. Jam menunjukkan pukul 7.45 malam.

"Awak.. awak dah tidur ke?" Suara Aisha kedengaran jelas di balik pintu. Ketukan di pintu berbunyi lagi.

Zayyan menarik nafas dan lantas bangun dari kerusi. Pintu biliknya dibuka. Aisha terpacak di depan biliknya, rapi bertelekung solat.

"Jom solat maghrib sama-sama." Gadis itu tersenyum sambil memandang tepat ke arah jejaka yang tinggi lampai di hadapannya. Waktu ini memang amat ditunggunya sejak sampai di rumah teres itu petang tadi.

Selama seminggu di rumah papanya, dia dan Zayyan sentiasa solat Subuh dan Maghrib berjemaah. Jadi fikirnya rutin itu akan diteruskan mereka berdua walaupun sudah berpindah.

Bagi Aisha, hanya kedua waktu solat itu sahaja dia dan Zayyan betul-betul meluangkan waktu bersama-sama.

"Saya dah solat." Pantas Zayyan menjawab.

Riak muka Aisha terus berubah apabila mendengar jawapan Zayyan.

Lidahnya kelu seketika.

"Kalau takde apa-apa saya nak sambung kerja dulu." Ucap Zayyan lagi apabila dia melihat Aisha diam seribu bahasa.

Lantas pintu bilik terus ditutup. Aisha tetap terdiam di depan muka pintu. Tiba-tiba air matanya sedikit bergenang.

"Bodohla kau, Aisha. Sebelum ni Zayyan setuju solat berjemaah mungkin hanya untuk bermanis muka di depan orang tua kau! Dia sebenarnya bukan ikhlas pun." Getus hati Aisha.

Dia terasa amat bodoh kerana baru petang tadi dia percaya mungkin ada secebis harapan untuk dia dan Zayyan.

"Ahh, apa yang kau harapkan? Kau dan Zayyan bernikah pun pasti bukan atas dasar cinta." Aisha memperingatkan hatinya. Sepatutnya dia tidak lupa tentang itu.

Aisha terus melangkah masuk ke biliknya semula. Buat apa dia terhegeh-hegeh. Seharusnya dia tidak perlu membuang tenaga memikirkan tentang perkara tersebut. Lebih baik dia solat sahaja. Pastu boleh makan.. dan tidur.

Di sebalik pintu biliknya, Zayyan terpaku di depan pintu seketika.

Dingin sangatkah layanan dia terhadap Aisha? Dia sedar yang selama seminggu ini Aisha hanya menuruti kata dan tidak membawakan apa-apa masalah kepadanya.

Silap pula dia tidak menunggu gadis itu untuk solat bersama-sama. Perubahan muka Aisha tadi agak ketara.

Mungkinkah pernikahan ini salah percaturan dari pihaknya?

Dia mengakui sikap Aisha amat berlainan sekali dengan khabar yang didengarinya tentang gadis itu selama ini. Hmm tapi baru seminggu, masih awal untuk menilai.

"Zayyan, hati kau jangan terlalu lembut," Zayyan memberi amaran kepada dirinya sendiri. "Aisha bukannya keutamaan kau sekarang ni."

**********

Zayyan membuka pintu biliknya. Dia melihat ke ruang tamu. Aisha tiada di situ. Subuh tadi dia menunggu juga Aisha mengetuk pintu biliknya tetapi hampa. Hmm mungkin gadis itu sudah merajuk dengannya.

Dia sudah bersiap untuk ke tempat kerja. Dia sudah berjanji dengan Amir yang dia akan datang hari ini. Dengan hanya berseluar khakis dan tshirt bewarna biru dia melangkah ke dapur untuk melapik perut.

Kakinya berhenti sebentar apabila melihat Aisha sedang berada di sisi meja di dapur, berdiri sambil memegang roti di tangannya. Gadis itu kemas bertudung. Mungkin juga sudah bersedia untuk ke kedai bunganya.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now