🌸 BAB 67 🌸

17 1 0
                                    

Sebaik sahaja Zayyan keluar dari balai polis dan memasuki kereta, dia terus mendail nombor Aisha. Hatinya menjadi sedikit gelisah apabila teringat dengan kata-kata pegawai polis tadi.

Zayyan menunggu seketika mendengar telefon di telinganya.

Seperti yang disangka, panggilan itu tidak diterima Aisha seperti mana semua panggilan yang pernah dibuat sebelumnya. Isterinya itu masih memblok nombor telefonnya.

Zayyan merengus kebimbangan.

Dia mendail nombor Bahar.

"Assalamualaikum, Encik Zayyan." Suara Bahar kedengaran di hujung telinganya.

"Waalaikumussalam. Encik Bahar, tolong bagitahu saya, Aisha berada di mana sekarang? Saya pasti memang ada orang yang ingin cederakan dia." Ucap Zayyan tanpa berbasa basi.

"Tapi, Encik Zayyan.."

"Tolong saya, Encik Bahar." Zayyan terus memotong ucapan lelaki itu. "Saya tahu yang Aisha mengarahkan awak untuk tidak memberitahu saya apa-apa. Tapi saya merayu, tolong bagitahu isteri saya dekat mana sekarang." Rayu Zayyan. Suara Zayyan kedengaran sangat terdesak.

Tiada balasan dari Bahar. Lelaki itu senyap tanpa suara.

"Encik Bahar, saya rayu awak atas nama arwah abah saya. Saya juga tahu yang Encik Bahar pentingkan perasaan dan keselamatan Aisha. Tapi tolong, saya juga ingin melindungi isteri saya." Zayyan bersungguh-sungguh merayu.

Terdengar keluhan berat Bahar di sebalik telefon.

"Baik, Encik Zayyan. Saya hantar location Cik Aisha. Galeri itu biasanya tutup pukul lapan malam. Saya tunggu encik."

"Terima kasih, Encik Bahar. Terima kasih." Ucap Zayyan dengan nada yang sedikit lega. Zayyan kemudian menamatkan panggilan.

Zayyan kemudian mendail nombor Leman. Telefon berdering dan diangkat.

"Leman, kau cuba siasat betul ke Haiqal dah pergi ke New Zealand? Aku percaya dia dalang yang serang aku dan Amir. Dia juga kemungkinan besar terlibat dalam kebakaran kedai Aisha. Aku nak pergi jumpa Aisha dulu."

Zayyan terus mematikan panggilan tanpa menunggu jawapan Leman.

Sebentar kemudian, satu mesej masuk. Lokasi Aisha sudah dia terima dari Bahar. Jarak perjalanan memerlukan lebih kurang satu jam untuk sampai ke destinasi.

Zayyan mengusap kepalanya kerisauan. Jam sudah menunjukkan hampir pukul tujuh petang. Galeri tutup pukul lapan malam, dia risau jika tidak sempat bertemu dengan Aisha.

Zayyan kemudian menyalakan enjin kereta dan terus memecut laju.

***********

"Awak buat apa kat sini? Awak tak jadi balik ke New Zealand?" Aisha mengerutkan muka. Dia hanya berdiri di sebelah sinki kerana kaget dengan kehadiran Haiqal.

Dia menjeling ke jam di dinding. Hampir tujuh petang. Dia tidak menyedari yang masa sudah berlalu begitu cepat.

Haiqal hanya tersenyum dan mula menutup pintu. Kakinya melangkah masuk. Soalan Aisha tadi dibiarkan tergantung.

Aisha tersenyum kelat, hatinya tidak menyenangi dengan kehadiran lelaki tersebut di situ. Matanya tidak lepas memandang gerak-geri Haiqal.

Sejak ingatan Aisha kembali, dia menyedari yang dia sentiasa merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan personaliti Haiqal sejak di New Zealand lagi. Perubahan itu lebih ketara apabila Haiqal mengetahui yang dia memiliki lukisan sakura milik Zayyan.

Haiqal terus melangkah menuju ke arah Aisha. Langkah lelaki itu tiba-tiba terhenti apabila dia berdiri di depan lukisan yang baru dihasilkan oleh Aisha. Lukisan itu terbentang cantik di atas penyangga kayu di depannya.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now