🌸 BAB 73 🌸

24 1 0
                                    

-- TUJUH BULAN KEMUDIAN : SEPTEMBER 2013--

Jari-jemari Aisha yang sedang memegang pensil warna, bergerak dengan lancar di dalam buku lakarannya. Dia duduk di atas bangku kerusi tanpa bergerak. Daunan rimbun dari pokok besar yang berada di belakangnya memberikan teduhan yang nyaman di atas kepalanya. Hembusan angin pagi terasa lembut menyapa pipi.

Padang luas di depannya dipenuhi dengan susuk tubuh yang sedang berlari dan bermain.

Tangan gadis yang berusia 20 tahun itu terus melukis sehinggalah gambaran di fikirannya siap diluahkan ke dalam buku lakarannya. Setelah siap, Aisha terus menutup buku dan memandang redup ke arah pemandangan di depannya.

Dia memejamkan kedua mata.

Wajah Zayyan terus terbayang di dalam fikirannya. Bibir mungil Aisha terus tersenyum. Walaupun fikirannya berkali-kali mengingatkan yang semuanya hanyalah mimpi, tapi hatinya tidak pernah bersetuju.

Tidak mungkin hanya mimpi. Setiap sentuhan dan ciuman Zayyan sangat nyata baginya. Setiap apa yang berlaku, dia masih boleh mengingatinya secara terperinci. Setiap kata-kata lelaki itu juga masih terpahat kukuh di hati kecilnya.

Aisha menarik nafas panjang. Walaupun dia tahu yang Zayyan sekarang tidak mengenalinya, dia sepenuhnya berserah pada takdir. Jika jodoh mereka kuat, mereka pasti akan berjumpa semula. Dia hanya harus bersabar menunggu hari itu datang.

Deringan telefonnnya membuatkan Aisha membuka mata. Telefon dicapai dan panggilan terus dijawab.

"Assalamualaikum, papa." Ucap Aisha.

"Waalaikumussalam, Aisha. Malam ni Aisha dan Suraya balik makan ke rumah, ya? Mama minta Aisha balik. Dia rindu sangat dah tu kat Aisha." Suara papanya kedengaran tenang di hujung telefon

Aisha tergelak kecil.

"Ok, papa. Nanti Aisha bagitahu Suraya. Nanti papa minta Encik Bahar jemput kami kat kolej, ya? Hari ini kelas habis dalam pukul empat petang." Balas Aisha.

Setelah mengucapkan selamat tinggal, Aisha mematikan panggilan.

Aisha menarik nafas panjang.

Dia sudah pun berhenti belajar dari universiti di New Zealand dan menetap dengan Suraya. Setelah apa yang terjadi, dia membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di Malaysia supaya lebih dekat dengan papa dan mamanya.

Kini, dia lebih menghargai masa-masanya bersama dengan kedua orang tuanya.

Apatah lagi, tidak mungkin dia sanggup melihat muka Haiqal lagi. Dia masih berkira-kira mahu menceritakan perkara yang terjadi dengan Haiqal kepada papanya. Mungkin papanya boleh menyiasat dengan lebih lanjut jika benar Haiqal yang menjadi dalang di sebalik kebakaran yang meragut nyawa arwah ibunya.

Aisha kemudian bingkas bangun dan membetulkan tudungnya. Buku lakarannya kemas dipegang dan bersedia untuk masuk ke kelas seterusnya.

Tiba-tiba matanya terpandang kelibat seseorang yang seperti dikenalinya di seberang padang. Kelibat lelaki itu hanya kelihatan beberapa saat dan terus menghilang di sebalik dinding.

Aisha menelan air liur dan menggeleng-gelengakan kepala. Entah berapa kali dia terasa seperti melihat kelibat Zayyan. Dia sentiasa membayangkan yang wajah Zayyan akan muncul di sebalik semua lelaki yang dipandangnya. Aisha cuma tersenyum sendirian.

Rasa rindunya kepada Zayyan sangat menebal. Tidak mungkin perasaan ini akan hilang walaupun bertahun-tahun.

**********

Aisha mencari-cari buku lakarannya di dalam beg sandangnya tetapi hampa. Dia cuba untuk mengingat kembali kali terakhir dia memegang buku itu. Jika tidak salah, buku itu mungkin tertinggal di bilik kelas tadi. Aisha menarik nafas panjang. Buku itu sangat penting untuknya.

Gadis itu berpatah balik dari langkahnya dan menuju semula ke kelas.

Sebaik sahaja sampai, kelas itu sudah hampir kosong. Aisha mula menuju ke meja yang diduduki tadi dan mencari buku lakarannya. Aisha mengerutkan muka.

Di situ juga tidak ada. Dia menggigit bibir dan kemudian menghembuskan nafas dengan mulutnya. Hatinya harus bertenang.

Aisha mula mencari ke setiap sudut kelas tanpa mempedulikan pelajar lain yang sudah mula keluar dari kelas tersebut. Hatinya agak keliru kerana dia yakin yang buku lakarannya tertinggal di kelas itu.

"Awak cari buku ni, ke?" Suara di belakangnya membuatkan Aisha terhenti.

Jantungnya terhenti seketika kerana suara itu amat dekat di hatinya.

Aisha berpaling. Dia merasakan masa terhenti untuk beberapa saat.

Eiman Zayyan berdiri tepat di depannya sambil memegang buku lakaran yang sedang dicari. Buku itu dihulurkan ke arahnya.

Mata Aisha terkedip-kedip memandang wajah lelaki yang tinggi lampai itu dan terus terpaku. Hatinya bagaikan tidak percaya yang jejaka itu sekarang berada tepat di depan matanya. Dia cuba menahan dirinya dari berlari memeluk Zayyan.

"Buku awak ke?" Tanya lelaki itu lagi sambil melangkah ke depan dan menghulurkan buku itu supaya lebih dekat.

Aisha tetap diam untuk beberapa ketika. Dia cuba membaca riak wajah Zayyan. Tapi wajah lelaki itu kelihatan dingin dan tiada senyuman langsung di bibirnya.

Aisha mengangguk perlahan dan mencapai buku lakaran itu dari tangan Zayyan.

Zayyan kemudian terus berpaling dan meninggalkan Aisha di situ tanpa sebarang kata.

Aisha langsung terduduk di kerusi. Dia cuba menenangkan diri dan menahan matanya dari berkaca. Perasaan rindunya di dalam hati meluap-luap tapi Zayyan langsung tidak mengenali dirinya.

Aisha menatap buku lakaran yang tergenggam di tangan. Dia membukanya dan meneliti setiap helaian lukisannya.

Setiap helai buku itu dipenuhi dengan lukisan dan potret wajah Zayyan.

Lukisan ketika mereka berdua memakai baju pengantin dan bersanding.. ketika mereka merayakan hari raya pertama kali.. ketika mereka bersama-sama memakai baju sedondon semasa pameran di galeri.. ketika mereka bercuti di rumah banglo Zayyan dan berjumpa Tok Ma..

...dan banyak lagi memorinya tentang Zayyan diabadikan di dalam buku lakaran tersebut.

Aisha mengeluh berat dan menyeka air matanya.

Kenapa Zayyan tiba-tiba berada di kolej itu? Nasib baik Zayyan tidak melihat lukisan yang berada di dalam buku lakaran tersebut. Jika tidak, pasti lelaki itu menganggap yang bukan-bukan tentang dirinya.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now