🌸 BAB 64 🌸

16 1 0
                                    

Zayyan memandang ke arah cermin kereta di sebelahnya. Kelihatan Bahar berdiri di sebalik pintu. Zayyan terus menyeka air yang bertakung di mata.

Dia menurunkan cermin kereta.

"Maaf, Encik Zayyan. Boleh saya cakap sekejap?" Tanya lelaki itu.

Zayyan mengangguk tanpa bicara.

"Saya tak tahu kalau maklumat ini penting atau tidak, tapi lukisan yang ada di tangan Encik Zayyan sekarang ni.. Encik Haiqal yang bagi dekat Cik Aisha." Sambung Bahar.

"Haiqal? Bila dia bagi?" Tanya Zayyan sambil mengerutkan mula.

"Petang semalam. Driver Encik Haiqal yang datang hantar lukisan tu ke rumah ni."

Zayyan berfikir seketika. Mungkinkah itu tujuan Haiqal meminta Aisha untuk berjumpa di pejabatnya?

"Kenapa kau bagitahu aku?" Tanya Zayyan kembali.

Bahar diam. Lelaki itu seperti serba salah.

"Saya dan Datuk Muzaffar tahu yang Encik Zayyan ambil lukisan ni semasa hari Raya hari tu." Ucap Bahar sambil menelan air liur.

Zayyan membulatkan mata.

"Papa tahu?"

"Ya. Datuk Muzaffar sentiasa tahu tindakan Encik Zayyan. Jadi saya was-was kenapa Encik Haiqal yang memiliki lukisan ni, bukannya Encik Zayyan."

"Jika papa tahu, kenapa papa tak pernah tanya aku?" Tanya Zayyan tercengang.

"Maafkan saya, Encik Zayyan. Yang tu Encik kena tanya Datuk sendiri." Balas Bahar.

Zayyan terus terdiam. Kenapa Zayyan merasakan situsi ini semakin membingungkan?

Kemudian dia melihat Bahar berpaling dan bersedia untuk beredar.

Zayyan terus membuka pintu dan keluar dari kereta pantas.

"Encik Bahar." Panggil Zayyan.

Bahar terus berpaling semula. Dia kaget kerana untuk pertama kali Zayyan memanggilnya 'Encik'.

Zayyan menelan air liur.

"Saya nak tanya sesuatu." Zayyan diam seketika. "Encik Bahar kenal abah saya?"

Bahar terus menegakkan badannya dan agak tergamam dengan soalan Zayyan.

"Ya, Encik Zayyan. Saya kenal."

"Kenal macam mana?"

"Arwah Encik Zaidi adalah guru silat saya."

Jawapan Bahar membuatkan Zayyan terkesima.

"Arwah adalah guru silat saya dari saya sekolah menengah. Bila Encik Zayyan cuba pertahankan Cik Aisha masa malam kebakaran tu, saya tak terkejut. Encik Zayyan setangkas dan semahir Arwah masa muda." Sambung Bahar dengan penuh rasa hormat.

Zayyan menarik nafas.

"Jadi sepuluh tahun yang lalu, apa yang awak buat di rumah saya semasa arwah abah saya meninggal?" Zayyan terus bertanya. Akhirnya soalan yang sudah lama terpendam itu terluah juga dari mulut Zayyan.

Bahar membisu agak lama. Jadi betullah tekaannya. Pada malam itu, dia memang berselisih dengan anak cikgu silatnya.

"Arwah ajak saya berjumpa. Tapi saya tak sangka selepas itu, saya mendengar berita yang arwah meninggal." Ucap Bahar jujur.

"Kenapa pula malam tu abah nak jumpa awak? Malam kejadian tu arwah memang nampak gelisah, tak senang duduk. Apa sebenarnya yang berlaku antara awak dan arwah?" Tanya Zayyan lagi.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now