🌸 BAB 33 🌸

30 2 0
                                    

"Aisha, kita dah sampai." Suraya mematikan enjin kereta dan menegur Aisha yang sedang termenung. Aisha mengangguk. Gadis itu terpaku apabila melihat bangunan besar di depannya. Lampu-lampu besar yang bergemerlapan memenuhi bangunan tersebut. Suasana malam yang gelap menyerlahkan lagi keberadaannya yang gah.

Aisha lantas keluar dari kereta dan mengemaskan tudungnya. Malam itu dia memakai long dress berlengan panjang yang berwarna green mint. Tudung shawlnya yang berwarna coklat cair, berlitup kemas sehingga ke paras dadanya. Beg tangan yang juga berwarna coklat cair tergantung cantik di bahu kanan. Wajah gadis itu kelihatan begitu anggun dan elegan.

Mereka berdua melangkah menuju ke pintu utama dan menyerahkan kad jemputan kepada penjaga di situ. Kelihatan semua tetamu yang menuju ke situ berpakaian secara formal, menunjukkan yang pameran itu bukan pameran biasa. Aisha menelan air liur. Mereka melangkah masuk.

Sejurus sahaja mereka berada di tengah-tengah dewan yang luas itu, Aisha terkesima.

Ruangan itu sangat mewah dengan lampu-lampu chandelier yang tergantung di atas kepalanya. Tiang-tiang besar yang menyokong siling tinggi di depannya, berbaris dengan simetri. Corak yang unik terukir di setiap tiang membuatkan Aisha seperti berada di dunia yang berbeza.

Aisha tidak dapat menyembunyikan riak wajahnya yang kagum dengan suasana di galeri itu. Mata gadis itu semakin bersinar apabila melihat susunan lukisan yang bergantung di setiap sudut dinding. Hatinya sangat teruja. Beberapa koleksi lukisan yang dia hanya mampu lihat di dalam media dan buku, kini terpampang jelas di matanya.

Gadis itu menjadi tidak sabar untuk meneroka setiap ruangan di depannya.

***********

Zayyan melangkah masuk ke dalam galeri. Malam itu dia memakai kemeja lengan panjang berwarna coklat cair. Kedua belah lengan kemejanya berlipat kemas sehingga ke paras bawah siku. Kemeja itu Zayyan padankan dengan seluar slack panjang berwarna hitam dan kasut kulit yang berwarna sama. Wajahnya kelihatan segak dengan rambutnya yang tersikat rapi.

Amir dan Leman di kedua sisi Zayyan hanya mengikut sahaja langkah jejaka itu. Mereka sedang berdiri di bahagian depan dewan. Mata Zayyan memandang suasana galeri itu dengan teliti. Kedua tangannya tersemat kemas di saku seluarnya.

Tiba-tiba Amir menepuk belakangnya. Zayyan memandang ke arah Amir. Dengan isyarat mata, Amir menunjukkan ke arah tengah dewan.

Zayyan terus berpaling ke arah itu. Dan, degup jantung jejaka itu terhenti.

Aisha berdiri di tengah dewan bagaikan seorang bidadari. Gadis itu asyik memerhatikan sekelilingnya. Riak tenang di wajah Aisha sangat melalaikan Zayyan. Pandangan kedua mata isterinya redup dan dalam. Zayyan menelan air liur.

Untuk seketika, Zayyan seperti terlupa di mana dia berada.

Gadis itu perlahan-lahan melihat sekeliling, sehinggalah mata suami isteri itu saling bertemu. Zayyan tidak mengalihkan pandangannya. Wajah polos isterinya diperhatikan sepenuh hatinya.

Suasana dan alunan musik di dewan itu mengembalikan semula memorinya ketika hari majlis pernikahan mereka. Itulah perasaan yang dirasai jejaka itu ketika pertama kali dia melihat Aisha berpakaian pengantin. Dan perasaan itu mula merebak dan menguasai setiap inci di hatinya.

**********

Aisha tercengang apabila pandangan matanya bertemu dengan pandangan Zayyan. Tangannya digenggam erat. Semakin lama degup jantungnya semakin kuat dan laju. Pandangan mereka terkunci beberapa ketika. Setelah dua minggu, Aisha tidak menyangka yang dia akan bertemu Zayyan di sini.

Susuk tubuh suaminya mula melangkah menghampirinya. Aisha menggigit bibirnya. Dapat dirasakan hujung jarinya menjadi seram sejuk. Zayyan kelihatan amat segak di matanya. Sesegak ketika Zayyan mengenakan pakaian pengantin ketika majlis pernikahan mereka dulu.

Kaki Zayyan terhenti apabila jejaka itu betul-betul berhadapan dengannya. Pandangan mata Zayyan tidak lepas memandang matanya semula. Mereka berdua tenggelam dengan perasaan sendiri, sehingga tidak menyedari kehadiran tetamu lain yang sedang memenuhi galeri.

"Ehem! Ehem!" Suara Amir yang agak kuat dari sisi mengejutkan pasangan suami isteri itu. Mereka berdua lantas memandang ke arah Amir.

"Say cheese!" Ucap Amir, disusuli dengan bunyi kamera dari telefon bimbit. Aisha dan Zayyan terpaku apabila Amir menangkap gambar mereka berdua.

Leman yang sedang memandang skrin telefon Amir tersenyum lebar.

"Bagaikan pinang dibelah dua!" Ucap Leman spontan.

Aisha dan Zayyan terdiam dan terkebil-kebil memandang sama sendiri.

"Betul-betul, macam berjanji pula nak pakai warna sedondon." Tiba-tiba Suraya menyampuk dari belakang.

Aisha cuba mengawal riak mukanya. Aisha memandang mata Zayyan kembali. Dia ingatkan jika dia bertemu Zayyan semula, hatinya akan teruja. Tetapi setiap kata-kata dari bibir Zayyan dua minggu yang lalu, kembali tergiang-ngiang di telinganya.

Aisha mengalihkan pandangannya. Mata gadis itu kelihatan kosong.

"Jom, Suraya." Ucap Aisha dengan suara yang mendatar. Kakinya mula melangkah untuk meninggalkan jejaka itu.

"Aisha." Bibir Zayyan memanggil namanya.

Zayyan menggenggam pergelangan tangan kanan Aisha dengan pantas.

Langkah gadis itu terhenti.

Tidak semena-mena satu bayangan muncul di depan mata Aisha. Aisha mengerutkan keningnya. Bayangannya kali ini melibatkan dirinya dan Zayyan, dan memori itu datang satu demi satu ke dalam fikirannya.

Dia memejamkan kedua kelopak matanya rapat. Aisha mengerutkan dahi apabila menyedari memori itu sangat mengejutkan hati kecilnya.

Mata Aisha kemudian dibuka dengan ekpresi terkesima. Kedua anak matanya terus memandang tajam ke arah Zayyan dengan mata yang mula berkaca.

Dengan perlahan, tangan kiri Aisha memegang tangan Zayyan yang berada di pergelangannya, dan mengalihkan tangan jejaka itu. Tanpa berkata apa-apa, gadis itu melangkah pergi bersama Suraya.

Zayyan tercengang dengan reaksi Aisha. Pandangan mata Aisha yang tajam tadi tidak menunjukkan gadis itu marah atau sedih. Adakah gadis itu mula membencinya? Hati Zayyan terasa seperti dihiris sembilu. Dia terkebil-kebil ditinggalkan Aisha di situ.

Satu tepukan di bahu menyedarkan Zayyan. Amir di sebelahnya menepuk-nepuk lembut belakangnya.

"Kau pergilah pujuk dia. Biar aku dan Leman cuba cari lukisan tu." Ucap Amir seperti memahami perasaan Zayyan ketika itu.

Leman mengangguk.

"Aku setuju, Zayyan. Kami tahu yang dalam dua minggu ni kau asyik fikirkan dia je. Elok kau pergi kejar dia, kalau tak nanti kau yang akan menyesal." Sambung Leman pula.

Zayyan memandang Amir dan Leman bersilih ganti. Zayyan mengetap bibirnya.

Malam ini dia tekad untuk memujuk Aisha kembali kepadanya. Kali ini, dia akan mengikut kata hatinya dan mengabaikan fikiran warasnya. Hatinya mula berdegup pantas. Kakinya melangkah pantas ke arah Aisha tuju tadi.

Mata Zayyan liar mencari kelibat isterinya di sebalik tubuh-tubuh yang berada di dewan itu. Tidak mungkin Aisha sudah berada jauh. Zayyan melilau, berharap dapat bertemu semula dengan Aisha di ruangan yang luas itu.

Selepas beberapa ketika, dia dapat melihat kelibat Aisha. Gadis itu sedang berdiri di hadapan sebuah lukisan yang tergantung di salah satu dinding. Zayyan tersenyum. Dia cuba mengawal pernafasannya supaya lebih tenang. Zayyan mempercepatkan langkahnya untuk menghampiri gadis itu.

Tiba-tiba, satu susuk tubuh lelaki muncul di sisi isterinya. Kelihatan Aisha berpaling ke arah lelaki itu dan tersenyum.

Langkah Zayyan langsung terhenti. Senyuman yang terukir di bibir Aisha membuatkannya sedikit kaget. Baru sahaja tadi Aisha memandangnya dengan pandangan yang dingin.

Dia hanya memerhatikan gelagat Aisha dan lelaki tersebut. Entah kenapa, kakinya terasa berat seperti diikat. Zayyan tidak mampu melakukan apa-apa apabila melihat Aisha dan lelaki yang tidak dikenalinya itu, beriringan masuk ke satu pintu yang berada di sebelah lukisan tersebut.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now