🌸 BAB 5 🌸

31 1 0
                                    

Majlis perkahwinannya pada hari itu Aisha merasakan sangat panjang. Dia masih lagi tidak percaya jejaka yang menjadi suaminya adalah Eiman Zayyan. Kenapa lelaki ini muncul semula dalam kehidupannya? Sejak bila?

Aisha menanggalkan mekap yang menempel di mukanya. Dipandang lama wajahnya di cermin.

"Apa yang sedang kau buat ni, Aisha?" Dia mengeluh panjang.

Sepanjang majlis tadi dia cuba bertingkah seperti biasa. Tapi kebanyakan masa dia hanya duduk di bangku pelamin. Mungkin kerana kekok, dia dan suaminya tidak banyak bicara. Dia menyedari tiada kemesraan antara mereka walaupun mereka adalah sepasang pengantin baru.

Zayyan.. apakah sebenarnya yang terjadi? Patutlah Suraya beberapa kali menyatakan yang dia mengenali suaminya itu.

Aisha betul-betul bingung. Bagaimana cara dia hendak meneruskan kehidupan barunya? Dan yang paling penting, bagaimana dia hendak mendapatkan memorinya semula.

Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan pantas. Semakin difikir semakin hendak gila Aisha dibuatnya. Agak sukar untuk dia terima yang dia sudah kehilangan sepuluh tahun masa lampaunya.

Ahh, mandilah dulu. Aisha mengurut tengkuknya. Fizikalnya juga sepenat mentalnya. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul hampir 11.30 malam, dia harus tetap membersihkan diri. Rimas dengan baju yang dipakainya dari pagi tadi.

Dia terus mencapai tuala.

Tiba-tiba dia terhenti. Macam mana kalau dia tengah mandi, nanti Zayyan masuk ke bilik? Selepas sampai di rumah tadi, Zayyan masih lagi di luar berbual dengan ahli keluarganya. Entah bila dia menjadi rapat dengan papa.

Aisha terus mengunci pintu bilik. Hmm, baru tenang nak mandi lama-lama. Walaupun dia mengenali Zayyan tetapi suaminya itu tetapi orang asing baginya.

Setelah selesai mandi, Aisha terus mengerjakan Solat Isyak. Dia bersungguh-sungguh berdoa supaya diberi kekuatan dan pengertian untuk memahami apa yang terjadi.

Aisha rasa amat buntu. Dia merasakan dia perlu meluahkan apa yang terjadi terhadap dirinya kepada Suraya. Hanya sahabatnya yang dapat menolongnya pada waktu ini.

Selesai berdoa, tiba-tiba perutnya berbunyi. Dia memang lapar, dari pagi tadi dia hanya makan sedikit sahaja. Nak makan masa makan beradab tengah hari tadi pun tidak ada selera. Ditambah lagi dengan eksperesi wajah suaminya yang dingin. Hilang mood jadinya.

Aisha menggigit bibir. Dia kena ke dapurlah ni mencari makanan.

Kalau diikutkan hati dia tidak ingin keluar bilik. Dia takut jika dia terjumpa sesiapa yang dia tidak kenal atau perlu berbual lama. Apa yang dia perlu bualkan, sedangkan memorinya selama sepuluh tahun tidak ada secebis pun yang tinggal dalam kepalanya.

Bunyi perutnya semakin kuat. Dia memejamkan mata. Aduh, perutnya tidak selari dengan hatinya. Dia kena makan juga, kalau tidak boleh pengsan ni.

Dia lantas mencapai tudung bawal berwarna pink di dalam almari dan menyarungnya pantas. Pasti masih ada lagi tetamu yang belum pulang. Harap-harap dia tidak bertembung dengan sesiapa.

Aisha membuka pintu dan dengan senyap keluar dari bilik. Dia menjenguk ke tangga bawah. Masih ada orang di ruang tamu. Dia melangkah perlahan-lahan menuruni anak tangga dan terus menuju ke dapur. Dia tidak ingin sesiapa melihatnya.

Dia menarik nafas lega apabila sampai di ruang dapur. Tiada sesiapa di situ. Dia langsung menuju ke meja dan mengangkat saji. Wahh, ada nasi dan ayam masak merah. Tapi kalau dia makan di dapur mesti ada orang yang perasan. Aisha pasrah. Dia hanya mencapai satu bungkusan roti coklat dan terus ingin beredar.

"Eh, Aisha. Aisha tak tidur lagi?" Mamanya tiba-tiba muncul di belakangnya. Aisha terkejut. Hampir saja roti di tangannya jatuh.

"Err mama." Aisha membalas sambil tersengih. " Belum, mama. Aisha dahaga. Turun kejap minum air." sambung gadis itu lagi.

Mamanya mengangguk sambil memandang roti di tangan Aisha. Dia kemudian menggelengkan kepala.

"Aisha lapar ke? Jom mama siapkan makanan, tadi Aisha makan sikit je kan?" mamanya mula mengangkat semula saji.

"Ehh, takpe mama. Aisha makan roti pun cukup. Betul ni, mama. Aisha naik atas dulu ya?" Aisha ingin segera beredar.

"Aisha, tunggu sekejap." Mamanya mula mendekati tubuhnya dan terus memeluk pinggang rampingnya erat. Beberapa saat tubuhnya tidak dilepaskan.

Aisha terkesima dengan perbuatan mamanya yang tiba-tiba itu.

"Sabar ya, sayang. Mama harap inilah keputusan yang terbaik buat Aisha." Suara mamanya yang lembut kedengaran jelas di telinganya.

"Zayyan sudah menjadi suami yang sah untuk Aisha. Ibu doakan supaya kamu berdua sentiasa bahagia." Aisha cuma terdiam. Dia cuba tersenyum sambil memandang wajah mamanya.

Dapat dilihat mamanya juga kelihatan agak kepenatan. Mungkin kerana sibuk menguruskan majlis perkahwinannya.

"Sudahlah, pergi masuk bilik. Malam ni malam pengantin, tak baik kalau biarkan suami tu tertunggu-tunggu." Ujar mamanya lagi.

Kali ini Aisha betul-betul tergamam. Dia terlupa yang malam ini adalah malam pertama dia dan Zayyan akan tidur bersama sebagai suami isteri.

Niatnya tadi yang ingin cepat-cepat masuk ke bilik terus terbantut.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now