🌸 BAB 19 🌸

28 2 0
                                    

Hari ini merupakan hari pertama Hari Raya Puasa. Aisha sedikit kecewa kerana bulan Ramadhan pada tahun itu berlalu sekelip mata sahaja. Ini bermakna Zayyan akan semakin jarang di rumah.

Dia sedar sepanjang sebulan ini Zayyan seperti semakin jauh darinya, tapi Aisha tidak kisah. Baginya sudah memadai jika dia dan Zayyan dapat meluangkan masa bersama ketika sahur dan berbuka puasa, walaupun peluang itu bukan ada setiap hari. Hati kecilnya masih berharap ada harapan antara dia dan Zayyan.

Sepanjang bulan puasa itu juga tiada bayangan memori yang kembali padanya. Pelbagai cara dia lakukan dengan bantuan Suraya, tapi ingatannya yang lain langsung tidak hadir. Sudah hampir putus asa dia dibuatnya.

Aisha merenung dan menatap wajahnya di cermin. Dia sudah berpuas hati dengan bentuk tudungnya. Sekarang dia hanya perlu menunggu Zayyan untuk bergerak menuju ke rumah orang tuanya.

Aisha kemudiannya menjenguk ke luar pintu bilik. Zayyan masih belum keluar. Lebih baik dia menunggu di ruang tamu sahaja. Dia melangkah keluar dan terus meletakkan punggungnya di sofa.

Ini merupakan kali pertama dia dan Zayyan akan menyambut hari raya sebagai suami isteri. Hatinya berdebar-debar menunggu Zayyan. Semalam dia sudah memberikan sepasang baju melayu kepada Zayyan untuk dipakai pada hari ini. Sengaja dia memilih warna yang sedondon untuk mereka berdua agar tidak janggal apabila dilihat oleh kedua orang tuanya nanti.

Dia juga tidak sabar untuk melihat Zayyan memakai baju melayu berwarna hijau gelap yang dipilihnya. Masih terbayang di matanya betapa segaknya Zayyan semasa berpakaian pengantin. Aisha tersipu-sipu seorang diri. Angau pula rasanya.

Selepas seketika Aisha menunggu, Zayyan masih belum keluar dari bilik tidur. Ditilik jam tangannya berkali-kali. Lambat pula si Zayyan ni bersiap. Aisha menggigit bibir.

Dia bingkas bangun dan menuju ke bilik Zayyan. Pintu bilik jejaka tersebut diketuk beberapa kali. Tiada jawapan.

"Awak.." Aisha memanggil Zayyan.

Sejurus kemudian pintu bilik dibuka dan Zayyan terpacak berdiri di depannya. Bukan baju melayu berwarna hijau gelap yang dipakai jejaka tersebut.

Aisha tergamam. Zayyan memakai baju melayu bewarna merah dan hanya memakai seluar panjang bewarna hitam. Baju itu yang selalu dipakainya ketika ke masjid untuk solat Jumaat.

Wajah Aisha kali ini betul-betul berubah. Zayyan sengaja tidak memakai baju sedondon dengannya. Apa yang ingin disampaikan oleh lelaki itu? Adakah Zayyan ingin mengatakan bahawa Zayyan tidak peduli dengan perasaannya?

"Jomlah, dah lambat ni. Takut mama dan papa tunggu." Kedengaran sedikit gementar suara Aisha kali ini. Dia tidak akan bertanya lebih lanjut. Apa yang Zayyan ingin sampaikan sangat jelas di mata Aisha.

Dengan terpaksa, Aisha senyum juga di depan jejaka tersebut. Dia cuba menutup perasaan sedihnya. Apa yang dia harapkan? Dia seharusnya tahu yang Zayyan memang begitu. Hanya dia sahaja yang berangan di siang hari.

Gadis itu terus menuju ke luar rumah dan menyarung sandalnya. Dia hanya menunggu Zayyan di muka pintu untuk masuk ke kereta.

Sepanjang satu jam perjalanan mereka, Aisha hanya diam seribu bahasa. Niatnya tadi, dia ingin bersalaman dengan suaminya sempena hari raya. Tapi niat itu terus terbantut.

Zayyan di sebelah juga hanya diam, membiarkan sahaja Aisha dengan fikirannya sendiri. Dia tahu yang Aisha kecewa. Gadis itu sudah berkali-kali mengingatkannya untuk memakai baju Melayu yang dibeli. Semalam dia menerima baju melayu dari Aisha juga sudah siap bergosok.

Sekali sekala dia mengerling ke wajah isterinya yang sedang duduk di tepi. Aisha kelihatan cantik memakai baju raya berwarna hijau gelap tersebut, walaupun bibir gadis itu muncung seribu kerana merajuk.

Zayyan berharap tindakannya kali ini betul. Lagipun dia tidak perlu rasa bersalah. Bukankah gadis itu juga tidak mencintainya. Selagi dia tidak memberi harapan kepada Aisha, semuanya pasti akan-akan baik sahaja.

Dia juga harus keraskan hatinya dari jatuh hati kepada gadis tersebut. Dia mengingatkan hati kecilnya berkali-kali yang matlamat utamanya bukanlah Aisha.

**********

Aisha terus melangkah masuk ke dalam rumah sebaik sahaja dia keluar dari kereta. Kali ini dia tidak menunggu Zayyan untuk masuk bersama-sama. Hatinya masih merajuk.

Dia terus mencari papa dan mamanya, ingin bersalaman dengan mereka berdua. Mungkin mereka masih lagi di dalam bilik kerana tiada kelibat mereka kelihatan.

Aisha kemudian terus menuju ke meja makan di ruang tamu. Senyumannya melebar apabila melihat hidangan yang sudah tersedia di atas meja. Rambang mata pula. Perutnya terus berbunyi dan terasa lapar. Kedengaran pembantu rumahnya yang berasal dari seberang sibuk di dapur.

Dia terus duduk di atas kerusi. Masih belum ada sesiapa yang datang ke rumah orang tuanya. Sekejap lagi pasti ramai yang berkunjung. Lebih baik dia mengisi perutnya dulu. Untuk seketika dia terlupa tentang suaminya Zayyan.

Beg tangannya diletakkan ke tepi dan dia mula menuang air ke gelas minuman. Diteguknya air tersebut beberapa kali. Dari tadi tekaknya terasa amat dahaga. Mungkin kerana dia tidak bercakap langsung sepanjang perjalanan tadi.

"Assalamualaikum," Tiba-tiba kedengaran satu suara yang amat dikenalinya datang dari pintu masuk utama. Aisha menarik nafas panjang. Terus seleranya terbantut.

"Awal pulak keluarga ni datang beraya." Getus hati kecil Aisha.

Seketika kemudian kelihatan bapa saudaranya dan Maria, satu-satunya sepupu perempuan yang dia ada, melangkah masuk ke ruang tamu.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now