🌸 BAB 16 🌸

22 2 0
                                    

MASA KINI (22 MAC 2023)

Aisha mengambil beberapa helaian baju di dalam almarinya dan melipatnya kemas. Baju itu kemudiannya disusun di dalam beg pakaian di atas katil.

Setelah itu dia mula bersiap dengan memakai tudung. Kali ini dia memilih tudung berwarna biru muda dipadankan dengan blouse berbunga biru dan seluar panjang hitam.

Ditenung badannya di cermin. Setelah berpuas hati dia mengambil beg bajunya di atas katil dan melangkah keluar dari bilik tidurnya.

Esok merupakan hari pertama bulan Ramadhan untuk tahun ini. Seperti janjinya kepada papa, malam ini dia dan Zayyan akan bermalam di rumah orang tuanya.

Sebaik sahaja dia keluar bilik, kelihatan Zayyan sedang duduk di sofa di ruang tamu. Jejaka itu terus memandangnya. Aisha menjadi serba salah apabila pandangan lelaki itu tidak beralih, tetap memandangnya untuk seketika.

"Saya dah siap." Ucap Aisha tanpa memandang Zayyan. Dia pasti yang suaminya itu sedang menunggunya bersiap. Dia menggigit bibir dan pantas menuju ke pintu.

Dalam masa yang sama Zayyan juga bangun dan menuju ke tempat yang sama.

Aisha terus memulas tombol pintu dan menariknya untuk membuka pintu. Alamak, kenapa tak terbuka pula pintu ni. Tombol itu tidak berkunci. Sekali lagi, Aisha memulas dan mencuba menarik tombol itu beberapa kali. Tidak terbuka juga.

Entah kenapa dia menjadi panik, dia tahu yang Zayyan sedang menunggu di belakangnya. Dicubanya lagi berkali-kali.

Tanpa diduga, Zayyan mula mendekatinya dari belakang. Tangan kanan Zayyan terus memegang tangan Aisha di tombol pintu, menahan gadis tu dari terus mencuba.

Aisha tergamam. Dia dapat merasakan belakang kepalanya bersentuhan dengan dada jejaka itu.

"Awak ni tak pernah bukak pintu ke?" Suara kasar Zayyan terasa amat dekat di tepi telinganya. Ketika itu Aisha dapat merasakan darah yang mengalir ke jantung dan pipinya bergerak dengan cepat. Hanya sesaat, seluruh mukanya terasa panas dan merah.

Tangan kiri Zayyan mencapai kunci di bahagian atas pintu dan membukanya. Terkebil-kebil Aisha melihat perbuatan Zayyan. Aisha menjerit kecil di dalam hati. Sudah sebulan lebih dia tinggal di rumah ini, macam mana pula dia boleh terlupa untuk membuka kunci di bahagian atas pintu terlebih dahulu.

"Tunggu apa lagi tu. Bukalah pintu." Ucap Zayyan.

Aisha yang tersenyum kelat membuka pintu dan terus mencari sandalnya. Sengaja dilambatkan supaya Zayyan yang membuka pintu pagar. Kemudian dia langsung terus masuk ke dalam kereta menunggu Zayyan.

**********

Mereka sampai ke destinasi sekitar waktu tiga petang. Setelah bersalaman dengan kedua papa dan mamanya, Aisha dan Zayyan terus naik ke tingkat atas dan meletakkan beg pakaian masing-masing di bilik tidur.

Aisha tersenyum kecil sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik tidurnya. Terasa rindu pula.

"Awak takpe ke sebilik dengan saya ni? Kesian pulak kalau awak tidur di lantai lagi." Aisha bersuara sebaik sahaja dia meletakkan punggungnya di tepi katil. Jujur sahaja suaranya. Dia cuma kasihankan Zayyan jika jejaka itu perlu tidur di lantai semula.

Zayyan yang sedang menanggalkan jamnya di depan meja mekap tiba-tiba terhenti. Dia terus menjeling ke arah gadis yang sedang duduk di tepinya.

"Kenapa, awak nak saya tidur kat atas katil ke?" Tanya Zayyan bersahaja.

Aisha menelan air liur apabila Zayyan bertanya begitu. Bukan itu maksudnya. Seharusnya dia berfikir dahulu sebelum menyuarakannya kepada Zayyan tadi. Pandangan mata Zayyan tidak dibalas. Sekali lagi mukanya merona merah.

Zayyan hanya memandang riak muka Aisha dan tidak bertanya lagi. Hati jejaka itu sebenarnya berbelah bagi. Separuh hatinya ragu-ragu untuk menerima Aisha, tapi separuh lagi hatinya semakin tertarik. Cuma, dia sukar untuk menduga hati gadis itu.

"Err saya nak pergi sembang dengan mama lah." Aisha terus bangun dan menuju ke pintu, cuba mengelak dari pertanyaan Zayyan.

"Kalau saya tidur atas katil, awak nak tidur dekat mana?" Tanya Zayyan lagi secara tiba-tiba.

Langkah Aisha terhenti. Entah kenapa dia merasakan lelaki ini sedang mengujinya. Dia tidak boleh terpedaya.

"Saya tidur atas lantailah." Jawab Aisha pantas, hanya mengatakan apa yang terlintas di fikirannya ketika itu. Suaranya cuba dikawal supaya tidak kedengaran yang dia gemuruh. Dia mula mencapai pemegang pintu untuk dibuka.

"Bagaimana kalau saya nak awak tidur di atas katil juga?" Kata-kata Zayyan membuatkan Aisha berpaling semula ke arah lelaki itu secara spontan.

"Huh?" Itu sahaja yang kedengaran dari bibir gadis itu, dia kehilangan kata-kata. Apa maksud Zayyan dengan pertanyaannya yang terakhir itu?

Zayyan tersenyum melihat gelagat Aisha. Wajah gadis itu yang kemerahan jelas kelihatan. Zayyan mula melangkah menghampiri Aisha dan berdiri dekat di depan gadis tersebut. Aisha memandang mata Zayyan tanpa berkedip. Jarak mereka berdua kini hanyalah sejengkal.

Zayyan menundukkan badannya dan mendekatkan wajahnya ke wajah Aisha. Jantung Aisha mula berdegup kencang. Apa yang Zayyan nak buat ni??

Hati Aisha mula tidak keruan. Ekspresi wajahnya cuba dikawal agar tidak ketara terlihat gementar di mata Zayyan. Aisha cuba mengundur ke belakang tetapi badannya terhalang oleh pintu.

Zayyan menyandarkan tangan kirinya di muka pintu, betul-betul bersebelahan dengan muka Aisha. Matanya yang dalam terus memandang tepat ke anak mata Aisha. Wajah keduanya semakin rapat sehingga hidung mereka hampir bersentuhan. Aisha terpaku. Jantungnya berdegup kencang seperti mahu tercabut dari dadanya.

Zayyan menggerakkan tangan kanannya perlahan mendekati pipi gadis di depannya. Anak mata gadis itu yang redup tidak lepas dipandangnya.

Aisha tersentak apabila jari-jemari jejaka itu mula mengusap lembut pipi kirinya.

Tiba-tiba, dalam masa yang sama, satu imbasan muncul di depan matanya. Di dalam imbasan itu terbayang susuk tubuh Zayyan sedang berdiri di depan satu tanah kubur. Di keliling Zayyan terdapat sekumpulan orang ramai yang tidak dikenali. Papa dan mamanya juga ada di situ.

Aisha yang terkejut dengan bayangan tersebut terus menepis tangan Zayyan yang sedang menyentuh pipinya.

Zayyan tergamam.

Dia agak terkilan dengan tindak balas spontan isterinya. Dia terus terpaku di situ sambil menelan air liur. Beberapa saat kemudian dia menurunkan kedua tangannya dan mula menjarakkan dirinya dari Aisha.

Aisha yang segera menyedari tindakannya memandang Zayyan dengan perasaan gemuruh dan bersalah.

"Sor..ry." Ucap Aisha tersekat-sekat.

Dia cuma mampu memandang Zayyan yang semakin menjauh darinya. Pasti Zayyan salah faham. Aisha menarik nafasnya berat dan terus berpaling menghadap ke arah pintu. Hatinya mula terasa sebak.

Zayyan cuma membiarkan sahaja Aisha yang melangkah keluar dari bilik. Bibir jejaka itu tersenyum sinis. Entah hatinya merasa kecewa ataupun lega dengan situasi yang baru terjadi itu.

Sekarang dia yakin yang Aisha tidak tertarik pada dirinya.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now