🌸 BAB 28 🌸

26 2 0
                                    

"Malam ni kau betul tak nak tidur rumah aku?" Tanya Suraya sambil melepaskan tali keledar yang tersemat di badannya. Dia mematikan enjin kereta sambil memandang ke arah Aisha.

Aisha menggelengkan kepala. Sudah banyak hari Suraya menemaninya.

"Aku nak tidur sini malam ni." Balas Aisha sambil memandang rumah orang tuanya yang tersergam di depan matanya. Dia berpaling ke arah Suraya.

"Kau datang ambil aku esok, kita pergi kedai sama-sama." Sambung Aisha lagi.

"Okay, kalau kau dah cakap macam tu. Jomlah angkat barang-barang kau yang berat ni." Ucap Suraya sambil mengangkat kedua keningnya.

Aisha tersenyum mendengar kata-kata Suraya. Hari ini, dia ingin memindahkan sebahagian kotak yang dibawa dari rumah sewa Suraya ke rumahnya sendiri. Dia sudah tekad, tidak perlu dia menyimpan barang-barang itu di rumah Zayyan lagi. Lambat laun, barang itu pasti akan berpindah tempat juga.

"Lukisan dan set melukis kau, kau tak bawa ke?" Tanya Suraya sambil memerhatikan barang Aisha di dalam but keretanya.

"Tak, aku perlukan sesuatu untuk tenangkan diri aku. Kalau bosan aku boleh conteng-conteng." Balas Aisha, dan terus mengangkat salah satu kotak yang dibawa.

Suraya mengangguk, memahami tabiat sahabatnya itu.

Sejurus kemudian, kelihatan dua orang pembantu rumah datang berlari-lari anak ke arah mereka berdua. Mereka terus menolong mengangkat barangan Aisha itu dan membawanya terus ke bilik Aisha di tingkat atas.

Aisha mengeluh, pasti mamanya yang meminta pembantu mereka menolongnya. Setelah but kereta Suraya kosong, Suraya terus beredar setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Aisha.

Di muka pintu masuk, dia disambut oleh mamanya. Sebelum datang, dia sudah menerangkan kepada orang tuanya yang dia akan bermalam di situ. Dia juga berbohong mengatakan yang Zayyan terpaksa outstation pada malam itu dan tidak dapat datang bersama. Tidak perlu orang tuanya tahu tentang perselisihan yang berlaku antara mereka berdua.

**********

Setelah selesai makan malam bersama papa dan mamanya, Aisha terus menunaikan Solat Isyak. Dia kemudian mula mengemaskan barang-barangnya dan mengeluarkan satu-persatu barangnya dari kotak yang ada. Dia menyimpan barangan tersebut ke dalam almari dindingnya. Kebanyakan barangnya hanyalah baju-baju lama dan juga buku-buku lakaran yang sudah penuh. Tidak dia sangka begitu banyak buku lakaran yang digunakan olehnya selama sepuluh tahun ini.

Tangan Aisha kemudian terhenti apabila dia menarik sebuah buku majalah sekolah dari salah sebuah kotaknya.

"Kau masih simpan majalah sekolah ni, Aisha." Kata gadis itu perlahan kepada dirinya sendiri. Majalah itu masih kelihatan baru, menandakan yang ia telah tersimpan dengan baik dan kemas selama ini.

Helaian demi helaian dibuka oleh jemari Aisha satu-persatu. Dia tersenyum kecil apabila melihat wajah dia dan Suraya di dalam majalah sekolah itu. Naifnya muka, tudung pun pakai senget-senget lagi. Aisya tersenyum lebar. Waktu itu mereka dalam tingkatan tiga, masih muda dan mentah.

Aisha kemudian membelek lagi. Tangannya terhenti di salah satu halaman. Aisha terpandang satu wajah yang amat dikenalinya di halaman tersebut. Eiman Zayyan. Walaupun mereka bersekolah asrama penuh yang sama selama tiga tahun, tetapi jejaki ini tidak pernah menyedari kewujudannya.

Aisha menggigit bibir. Rasa geram mula menguasai hatinya. Eii muka je handsome tapi nak senyum pun susah. Dia menjentik-jentik kasar gambar wajah Zayyan di dalam majalah sekolah itu untuk melepaskan rasa geramnya. Lelaki inilah yang membuatkan hidupnya tunggang terbalik!

Aisha terus menutup majalah yang dipegangnya dan terus dimasukkan ke dalam almari. Buat apa dia perlu sedih kerana lelaki itu? Jika lelaki itu tidak sudi, dia sepuluh kali tidak sudi! Aisha menyelitkan majalah itu di bahagian paling belakang dan terus ditimbun dengan baju-baju yang ada.

"Itu tempat kau, Zayyan!" Getus hati Aisya geram. Dia geram kerana lelaki itu liat sungguh untuk keluar dari fikirannya. Apa yang lebih menggeramkan, lelaki itu melekat di hatinya bagaikan digam dengan gam gajah. Ditolak lagi majalah itu jauh ke dalam almari supaya betul-betul hilang dari pandangan.

Hati Aisha bercampur aduk antara geram dan sedih. Hatinya masih terluka dengan kata-kata Zayyan. Sekarang dia mula menjadi ragu-ragu untuk pertahankan hubungan mereka. Aisha memejamkan mata dan menarik nafasnya panjang.

Seketika kemudian, pintu biliknya diketuk. Aisha berpaling dan terus menutup pintu almarinya. Dia kemudian melangkah menuju ke pintu dan membukanya.

Kelihatan papanya sedang berdiri di muka pintu.

"Boleh papa masuk?" Tanya papanya.

"Ok." Balas Aisha tersenyum kecil sambil mengangguk. Dia terlihat di dalam genggaman tangan papanya itu, tersemat sebuah bekas tiub lukisan berbentuk silinder panjang berwarna hitam. Aisha segera mengenali bekas tersebut dan tahu apa yang terisi di dalamnya.

Papa Aisha melangkah masuk. Dia langsung duduk di kerusi mekap dan menghadap ke arah Aisha. Aisha kemudian meletakkan punggungnya di tepi katil, betul-betul bersebelahan dengan papanya.

"Ada apa, papa?" Tanya Aisha ingin tahu.

Papanya menghulurkan tiub lukisan tersebut ke arah Aisha.

Aisha tergamam. Dia menyambut bekas tersebut dan terus membukanya. Selembar kertas kanvas yang rapi bergulung dikeluarkan dari dalam bekas itu. Dia memandang wajah papanya dengan penuh tanda tanya.

"Aisha simpanlah lukisan bunga sakura ni." Ucap papanya, memahami kekeliruan Aisha. "Sekarang Aisha sudah menikah dengan Zayyan, jadi Aisha juga layak untuk jadi pemiliknya." Kata papa Aisha sambil memandang tepat ke wajahnya.

Aisha menelan air liur. Matanya mula bergenang kerana rasa terharu bercampur gembira.

"Betul ke papa? Mama tak kisah?" Tanya Aisha, masih ragu-ragu. Sudah lama dia ingin memegang lukisan tersebut dengan tangannya sendiri.

Papanya mengangguk dan tersenyum.

"Mama kamu yang minta papa bagi lukisan ni. Dia kata Aisha pun dah kahwin, buat apa lagi nak kenangkan cerita lama. Dan papa bersetuju dengan mama kamu. Papa tahu dah lama Aisha rindukan lukisan ni." Jawab papanya.

"Kau simpanlah baik-baik. Aisha tahu kan, sekarang lukisan ni cuma tinggal satu? Papa percaya yang Aisha akan menjaganya sepenuh hati. Papa juga tahu lukisan ni amat berharga buat Aisha. Maafkan papa kerana hanya menyimpannya dan tidak membenarkan sesiapa pun melihatnya selama ini."

Aisha cuma tersenyum kecil. Lukisan itu digenggam kemas dan dia terus memeluk tubuh papanya. Hatinya amat gembira.

"Thanks, papa. i really appreciate it." Ucap Aisha yang kehilangan kata-kata. Papa Aisha mengangguk dan menepuk perlahan belakangnya.

"Oklah, papa nak tidur dulu. Kau pun jangan tidur lambat sangat." Papanya bingkas bangun dan menuju ke pintu. Papanya tiba-tiba berhenti sebentar dan berpaling semula ke arahnya.

"Aisha. Hmm.. papa nak Aisha tahu yang papa sangat sayangkan Aisha. Apa sahaja yang papa lakukan selama ini, walaupun ada tidak kena di mata Aisha, sebenarnya adalah untuk kebaikan Aisha." Sambung papanya dengan riak muka yang kembali serius. Kemudian papanya melangkah keluar sebelum sempat Aisha berkata apa-apa.

Aisha terdiam sebentar cuba menghadam ucapan papanya. Seketika kemudian, gadis itu menutup pintu bilik. Dia kembali duduk di tepi katil dan membuka lembaran kanvas di tangannya. Sekurang-kurangnya lukisan ini dapat mengembalikan senyuman di bibirnya.

Aisha merenung dan meneliti lukisan itu beberapa ketika. Wajah gadis itu berkerut kerana dia terasa agak aneh. Lukisan bunga sakura itu sedikit berlainan daripada apa yang ada dalam memorinya.

Arah sapuan berus cat dan juga campuran warna di salah satu kelopak bunga tersebut agak berbeza. Aisha melarikan jemarinya di permukaan lukisan kanvas di depannya. Sekali imbas, lukisan itu kelihatan hampir 99 peratus sama tapi sebenarnya tidak.

Aisha mula tertanya-tanya, adakah dia salah mengingatnya?

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now