🌸 BAB 38 🌸

24 2 0
                                    

Zayyan menyelitkan telefonnya di saku seluar. Matanya meliar mencari pintu utama untuk keluar dari dewan. Kaki Zayyan terus berlari. Panggilan yang dia terima dari Suraya membuatkan hatinya cemas.

Sebaik sahaja dia keluar dari bangunan galeri, dia terus terlihat Suraya. Gadis itu sedang duduk di atas bangku dan di pahanya sedang meriba kepala Aisha. Mata Aisha tertutup rapat dan badannya tidak bergerak.

Hati Zayyan berdegup kencang. Dunianya menjadi gelap sebentar. Kakinya terus menuju pantas ke arah mereka.

"Zayyan!" Suara gelisah Suraya memanggilnya kedengaran di telinga.

Zayyan terus merapati Aisha dan duduk di sebelahnya. Jejaka itu kemudian mengangkat kepala Aisha. Tubuh Aisha lemah dan layu di dalam pelukan Zayyan. Jari jejaka itu menggeletar sambil memegang nadi di pergelangan gadis itu.

Mata Zayyan terus berkaca apabila dia dapat merasakan nadi gadis itu berdenyut kuat di hujung jarinya. Untuk seketika, hatinya sedikit lega.

"Aisha! Aisha!" Zayyan menepuk lembut pipi Aisha.

"Hmmm.." Aisha membalas perlahan tetapi mata gadis itu masih tertutup. Seolah-olah gadis itu tertidur terlalu nyenyak. Tangan Aisha bergerak perlahan dan memegang lembut tangan Zayyan.

Zayyan menarik nafas panjang apabila melihat reaksi isterinya. Dia memandang Suraya.

" Apa yang jadi tadi?" Tanya Zayyan.

Suraya mengesat air matanya. Dadanya masih sebak. Da sudah memikirkan sesuatu yang buruk sudah terjadi kepada Aisha.

"Tadi.. dia kata dia sakit kepala." Suara Suraya tersekat-sekat.

Dalam masa yang sama kelibat Leman dan Amir sampai ke tempat mereka.

Zayyan memandang Suraya, memberi masa gadis tu berbicara. Dia tahu yang Suraya juga sebimbang dirinya.

"Kejap." Ucap Suraya sambil menelan air liur. Dia teringat sesuatu. Dia terus membuka beg tangan Aisha dan mencari sesuatu di dalamnya.

Tangannya mengeluarkan plastik ubat yang diambil Aisha tadi.

"Dia ambil pil ni tadi." Sambung Suraya.

Zayyan pantas mencapainya dan mengeluarkan pil putih dari plastik tersebut. Dia mengerling ke arah kedua sahabatnya. Wajah ketiga sahabat itu berubah. Mereka tahu yang pil itu bukan untuk sakit kepala.

"Dia ambil berapa biji?" Tanya Zayyan.

"Dua. Kemudian Aisha kata dia mengantuk. Lepas beberapa minit, saya cuba kejut. Tapi dia tak bangun-bangun." Ucap Suraya sambil merengus perlahan.

Zayyan mengangguk. Pil itu diselitkan dalam sakunya. Kini dia sudah tahu kenapa Aisha dalam keadaan begitu.

"Leman, kau tolong ambil kereta." Pinta Zayyan.

Leman mengangguk dan terus beredar dari situ.

"Amir, nanti kau tolong hantar Suraya. Aku bawa Aisha balik rumah." Sambung Zayyan.

"Awak tak nak bawa dia pergi hospital ke?" Tanya Suraya.

"Awak tak perlu risau. Aisha cuma terlalu mengantuk sebab ambil ubat ni. Dalam beberapa jam, kesan ubat ni akan hilang." Jelas Zayyan, meyakinkan Suraya.

Suraya mengangguk dan mengesat air mata yang tersisa dengan lengan bajunya. Hatinya menjadi lega mendengar penjelasan Zayyan.

Seketika kemudian, Leman sampai dengan kereta dan parkir di depan mereka.

Zayyan terus mengangkat tubuh Aisha dan masuk ke belakang kereta bersama-sama. Dia meletakkan kepala Aisha di atas ribanya.

"Suraya." Panggil Zayyan melalui cermin kereta. "Terima kasih sebab terus call saya tadi."

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now