🌸 BAB 62 🌸

16 1 0
                                    

--MASA KINI--

Zayyan kebingungan. Dia berdiri di balik pintu bilik Aisha tanpa bergerak. Dia terus memanggil nama Aisha dari tadi tetapi tidak bersahut.

Hatinya berkeceramuk dan amat gelisah. Kenapa pandangan mata Aisha tadi amat menyedihkan? Dia mengusap kepalanya perlahan. Reaksi Aisha kali ini membuatnya amat kaget.

Dia mula menghampiri sofa di ruang tamu dan duduk di situ.

Zayyan termenung jauh. Anak matanya hanya memandang ke dinding, menunggu Aisha membuka pintu. Masa berlalu begitu lambat dan Zayyan tidak menyedari yang dia mula menutup mata.

Dia kemudian tertidur di atas sofa dengan posisi duduk begitu.

"Awak.." Sayup suara lembut isteri kesayangannya kedengaran di hujung telinganya. Zayyan masih lagi dalam sedar tak sedar.

Mungkinkah dia bermimpi?

"Awak.." Suara Aisha kedengaran lagi.

Zayyan pantas membuka kelopak mata. Wajah Aisha tepat berada di depan wajahnya . Mata gadis itu merah dan bengkak tapi kelihatan kosong.

Zayyan secara spontan terus merangkul isterinya kemas. Aisha cuma kaku dan tidak bergerak dalam pelukan Zayyan. Saat itu, rasa takut menjalar dan menguasai hati jejaka tersebut. Entah kenapa, hati kecilnya merasakan dia akan kehilangan Aisha.

"Jom solat Subuh, dah masuk waktu." Ucap Aisha. Nada suara isterinya mendatar.

Zayyan melepaskan pelukannya dan mengangguk. Sudah lama rupanya dia tertidur di situ.

Aisha terus melangkah ke bilik air tanpa ucapan. Zayyan diam dan terus bersiap sedia untuk solat. Rapatnya mulut Aisha tanpa bicara menunjukkan ada sesuatu yang berat berada dalam fikiran isterinya. Dia harus memberi waktu kepada Aisha untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

Seketika kemudian, Zayyan mengimamkan Aisha seperti biasa. Setelah solat, Aisha menyalami dan mencium tangannya.

Tapi kali ini, Zayyan merasakan ciuman gadis itu di tangannya berbeza dari hari sebelumnya. Genggaman tangan Aisha lebih kemas dan ciumannya juga lebih lama.

Selepas solat, Aisha masih diam membisu dan terus masuk ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Zayyan hanya memerhatikan sahaja perubahan tingkah laku isterinya.

"Boleh saya tolong?" Tanya Zayyan sambil menghampiri isterinya.

Aisha cuma mengangguk. Zayyan menyedari yang Aisha sepertinya mengelak untuk menatap matanya. Wajah gadis itu juga tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

Pagi itu mereka menyediakan sarapan berdua seperti hari-hari sebelumnya. Cuma suasana dapur waktu itu suram, kerana celoteh dan senyuman isterinya hilang sama sekali.

"Zayyan, awak betul-betul sayangkan saya?" Akhirnya Aisha bersuara apabila mereka berdua duduk di meja. Tangannya menyuap kuew tiau dengan sudu di tangannya. Matanya tidak berpaling langsung ke arah suaminya.

"Ya, saya sayangkan awak." Pantas Zayyan menjawab. Wajah serius Aisha dipandangnya.

Aisha mengangguk dengan mata yang redup. Zayyan menelan air liur. Isterinya meneruskan suapannya tanpa berkata apa-apa lagi.

Setelah selesai bersarapan, Zayyan kemudian duduk di ruang tamu. Dia serba salah dengan gelagat Aisha pada pagi ini. Jejaka itu sudah bersedia untuk bertanya memandangkan bibir isterinya tetap membisu.

Beberapa ketika kemudian, Aisha keluar dari dapur dan menghampirinya. Di tangan isterinya terpegang segelas air dan dihulurkan tepat ke arah Zayyan.

Jejaka itu mengerutkan muka. Mereka baru sahaja selesai minum di dapur tadi. Tapi, Zayyan mencapainya juga tanpa sebarang persoalan.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now