🌸 BAB 56 🌸

19 1 0
                                    

Aisha terjaga dari tidurnya. Dia melihat Suraya yang sedang nyenyak di sebelah. Dia melihat jam di dinding. Hampir pukul satu pagi. Dia bingkas bangun dan duduk di tepi katil. Telefon di atas meja dicapainya. Tiada mesej yang diterima.

Aisha bangun dan melangkah keluar dari bilik. Ruang tamu dan dapur sunyi. Hanya lampu yang terpasang. Dia menghampiri pintu bilik Zayyan dan membuka pintu bilik itu perlahan.

Aisha tergamam melihat bilik Zayyan masih gelap dan kosong. Zayyan masih belum pulang, getusnya. Hatinya mula berdebar-debar. Zayyan tidak pernah tidak ada di rumah selewat ini.

Aisha mula mendail nombor telefon Zayyan. Tidak dijawab. Dia mencuba beberapa kali tapi masih sama. Tangannya mula menggeletar.

Dia mengetik mesej. Mesej itu kemudian dihantar. Mesej whatsapp itu tidak diterima oleh Zayyan. Hanya satu tick kelihatan.

Hati Aisha menjadi gelisah dan mula tertanya-tanya tentang keberadaan suaminya.

Dia melangkah semula masuk ke biliknya.

"Suraya.." Aisha menepuk bahu sahabatnya perlahan. Suraya bangun dengan muka mengantuk dan menggosok matanya perlahan.

"Amir ada mesej kau tak?" Tanya Aisha tanpa menunggu Suraya sedar sepenuhnya.

Suraya mencapai telefonnya dan memandang skrin telefon. Dia menggelengkan kepala.

"Zayyan belum balik." Nada suara Aisha cemas.

Mata Suraya menjadi bulat. Bermakna, Amir juga masih belum pulang?

"Hmm mungkin dia tertidur dekat rumah Amir kot?" Balas Suraya.

Aisha diam sambil mengerutkan dahi. Kata-kata Suraya tidak dapat mengurangkan kerisauannya.

Tiba-tiba telefonnya berdering. Nombor Leman terpampang jelas di skrin.

"Hello?" Jawab Aisha pantas.

"Aisha. Awak mana?"

"Kat rumah. Zayyan ada dengan awak ke?"

Tiada jawapan dari Leman.

"Hello?" Ucap Aisha lagi.

"Aisha, saya harap awak bertenang. Zayyan dan Amir ada kat hospital sekarang."

Jantung Aisha terus terhenti. Matanya terus menatap Suraya.

**********

Aisha dan Suraya berlari pantas menuju ke bahagian kecemasan. Dari jauh Aisha dapat melihat kelibat Leman sedang menunggu di pintu kecemasan Zon Merah.

"Leman!" Aisha sedikit menjerit.

Leman berpaling.

"Kita tak boleh masuk. Zayyan tengah scan kepala." Ucap Leman pantas.

Kemudian Leman berpaling ke arah Suraya.

"Suraya, Amir tengah bersedia masuk dewan bedah. Dia tak sedarkan diri." Ucap Leman sambil menelan air liur.

Kedua wajah gadis itu tergamam.

"Apa.. apa yang dah jadi?" Tanya Aisha. Matanya mula berkaca.

Leman diam. "Mereka kena pukul. Polis kata mungkin kena rompak." Ucap Leman perlahan.

Suraya menekup mulut. Air mata terus mengalir di pipi gadis itu. Aisha terus memeluk sahabatnya erat. Di pipinya juga air mata mengalir tidak berhenti.

Mata Leman mula berkaca melihat reaksi mereka berdua. Dari tadi dia cuba menahan, tapi kini dia juga tidak dapat menyembunyikan kesedihannya.

Mereka bertiga hanya mampu menunggu berita di sebalik pintu kecemasan. Hati masing-masing berdebar dan cemas. Sekali sekala ada staff perubatan yang keluar dan memaklumi perkembangan Amir dan Zayyan, tapi mereka bertiga tidak dibenarkan masuk.

Beberapa jam kemudian, seorang doktor keluar dari pintu kecemasan tersebut.

"Waris kepada Eiman Zayyan bin Zaidi?" Suara doktor itu menyebabkan ketiga-ketiga mereka bangun dan menghampiri doktor tersebut.

"Saya.." Balas Aisha. "Saya isterinya." Jawab Aisha sambil berdengup pantas.

"Puan, Encik Eiman Zayyan dah bersedia untuk dimasukkan ke wad. Kami dah lakukan scan kepala, suami puan bernasib baik kerana tidak ada perdarahan di dalam kepala."

"Suami puan menerima beberapa jahitan di kepala dan bahunya. Kami masih perlu memantaunya kerana dia tidak sedarkan diri di tempat kejadian. Nanti staf saya akan maklumkan kepada puan nama wad. Puan boleh berjumpa dia di sana." Ucap doktor tersebut.

Aisha menganggukkan kepala.

"Amir? Pesakit Muhammad Amir macam mana?" Tanya Aisha bagi pihak Suraya.

"Encik Amir sekarang sudah di dalam dewan bedah. Dia mengalami kecederaan di muka. Tulang rahangnya patah dan tulang di sekitar matanya retak. Pembedahan diperlukan untuk memastikan tulang rahangnya tercantum dengan baik." Balas doktor itu dengan tenang.

Aisha memegang tangan Suraya dengan erat. Air mata Suraya tidak berhenti mengalir.

"Kami akan memaklumkan jika pembedahan sudah selesai. Selepas dibedah, Encik Amir akan berada di wad unit rawatan rapi buat sementara waktu. Saya harap tuan dan puan sentiasa alert dengan panggilan telefon." Ucap doktor lagi sebelum melangkah semula ke masuk ke pintu kecemasan.

Aisha terus memeluk semula Suraya erat.

"Kita sama-sama sabar ya, Suraya? Kita doakan pembedahan Amir berjalan lancar." Ucap Aisha perlahan. Suraya mengangguk perlahan sambil teresak di bahu Aisha.

**********

Aisha dan Leman memasuki wad dan menuju ke nombor katil yang ditempati Zayyan. Suraya pula sedang menunggu di bilik bedah bersama keluarga Amir yang baru sampai.

Aisha menelan air liur melihat Zayyan sedang tidur di atas katil sambil berselimut. Matanya berkaca sekali lagi melihat balutan di kepala suaminya. Tangan suaminya terpasang dengan tiub halus yang bersambung dengan
botol perubatan. Botol itu tergantung di tiang di sebelah katil suaminya.

Dalam masa yang sama, seorang jururawat datang dan meletakkan sesuatu di atas meja.

"Waris Encik Eiman Zayyan?" Tanya jururawat itu.

Aisha dan Leman mengangguk.

"Pesakit perlu berpuasa dulu. Kalau ada apa-apa masalah boleh tanya kami di kaunter."

"Sekarang bukan waktu melawat, saya harap cuma seorang waris sahaja yang akan menemani pesakit." Terang jururawat itu.

"Baik, nurse. Terima kasih, ya." Jawab Aisha perlahan. Kemudian jururawat itu beredar.

"Biarlah Zayyan tidur. Awak boleh balik dulu, Leman. Saya nak temankan Zayyan kat sini." Ucap Aisha kepada Leman.

"Ok, saya nak jumpa Suraya sekejap. Kalau Zayyan dah bangun, tolong call saya." Balas Leman.

Aisha mengangguk.

"Terima kasih, Leman." Ucap Aisha sambil melihat Leman berlalu pergi.

Aisha menarik kerusi dan duduk rapat di sebelah katil. Dia menggenggam tangan Zayyan erat. Dia mencium tangan Zayyan berkali-kali. Dia terpandang kesan dari bekas ikatan di sekeliling pergelangan tangan suaminya. Bekas itu menyebabkan luka di kulit Zayyan.

Aisha terus menitikkan air mata. Dia tidak dapat membayangkan apa yang sebenarnya dilalui oleh suaminya pada malam itu.

CINTA SAKURAWhere stories live. Discover now