BAB 33

1.3K 58 3
                                    

Mata Lydia ralit merenung Afiq yang sedang memandu. Bagaikan tidak percaya bahawa lelaki itu sudah menjadi suaminya. Masih terngiang-ngiang lafaz ijab kabul yang terucap dibibir lelaki itu.

Aku terima nikah Lydia Qairina binti Hisyam dengan mas kahwin 500 ringgit tunai,

“Kenapa awak tengok saya? Ada sesuatu ke dekat muka saya ni?” soal Afiq bila dia perasan Lydia tak lepas dari memandangnya.

"Tak ada apa pun. Saya tengok awak sebab saya tak sangka yang awak dah jadi suami saya," jawab Lydia.

"Saya minta maaf, Lydia. Sebab awak terpaksa memegang status sebagai isteri kedua. Tapi saya takkan sesekali menceraikan Fara. Saya cintakan dia. Saya tak janjikan kebahagiaan untuk perkahwinan kita. Saya mengaku, saya lebih mencintai Fara berbanding awak. Saya minta maaf. Tapi saya harap saya mampu jalankan tanggungjawab saya sebagai suami kepada isteri-isteri saya."

Entah kenapa kata-kata Afiq sedikit membuatnya terasa. Perlu ke Afiq mengaku yang Afiq lebih cintakan Fara berbanding dia? Dia sedar dia cuma isteri kedua. Tapi lebih baik Afiq rahsiakan saja perasaannya. Dia pun tak kisah. Asalkan itu dapat menjaga hatinya.

"Tak apa, saya faham. Saya tak paksa awak. Saya tahu, bukan mudah untuk awak jaga saya dan Kak Fara. Tapi saya yakin awak boleh. Saya minta maaf sebab dah menyusahkan awak," senyuman manis Lydia cuba ukirkan.

"Tak perlu minta maaf, Lydia. Awak bukannya buat salah apa-apa,"

Lydia hanya mengukir senyuman lagi sebelum menunduk dam bermain dengan jarinya. Dia sedikit pun tak merasa gembira dengan perkahwinannya ini.





BIBIR FARA mengukir senyuman lebar bila melihat Afiq dan Lydia berjalan beriringan masuk ke dalam rumah itu. Pantas dia bangun lalu memeluk erat tubuh Lydia.

Kaku tubuh Lydia bila Fara memeluk tubuhnya dengan begitu erat. Perlahan-lahan tangannya turut naik membalas pelukan itu.

"Terima kasih, Lydia. Sebab sudi terima Afiq sebagai suami Lydia," ujar Fara. Berkerut kening Lydia mendengar ucapan terima kasih dari Fara.

Afiq pula menggelengkan kepalanya. Sungguh dia tak faham dengan perangai Fara. Boleh pula Fara begitu gembira dengan semua ni. Sikit pun dia tak nampak kesedihan dalam diri Fara.

Fara meleraikan pelukan. Bibirnya masih mengukir senyuman buat Lydia.

"Umi, nanti Lydia tinggal dekat sini lagi tau. Afiq tak sempat lagi nak carikan rumah lain untuk Lydia," kata Afiq pada uminya.

"Boleh. Rumah ni pun tak ada orang juga. Nanti bolehlah Lydia teman umi," kata Puan Bella.

"Kenapa nak cari rumah lain? Lydia boleh je tinggal dengan kita. Rumah kita ada bilik kosong lagi." kata Fara pula.

Afiq bagaikan tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Fara. Tak cukup dengan menyuruh dia berkahwin dengan Lydia, sekarang nak Lydia tinggal serumah pula.

"Apa kau ni? Kau nak apa sebenarnya? Aku dah kahwin dengan Lydia. Sekarang kau nak Lydia tinggal serumah dengan kita pula?" Afiq menyoal tidak puas hati.

"Apa salahnya? Kita berdua je tinggal dekat rumah tu. Lagi pun aku selalu rasa bosan bila kau pergi kerja. Kalau ada Lydia, nanti dia boleh teman aku," kata Fara.

"Kak, Lydia tinggal dekat sini je. Kalau akak bosan, Lydia boleh pergi sana. Tak pun akak datang sini," kata Lydia pula.

"Tak sama, Lydia. Takkan hari-hari nak kena ulang-alik sebab nak borak je. Kalau tinggal serumah senang sikit," kata Fara lagi. Lydia garu hujung keningnya. Pelik-pelik sajalah permintaan Fara.

Takdir Yang IstimewaWhere stories live. Discover now