Sejak kejadian itu, lenanya bagaikan direnggut. Terasa dihantui, terjaga tengah malam, melihat jika ada mata-mata yang memerhati itu sudah sebati. Terbayang wajah stalkernya yang tersengih melihat gerak-gerinya. Berpeluh tiba-tiba. Setiap mesej dari individu itu menerawang kembali dalam fikirannya.Awak hak saya Den, selamanya.
You're handsome. Dangerously captivating.
Oh god, I really wanna touch your face.
Sebelum itu, dia anggap mungkin ada yang ingin bergurau dengannya. Mesej dari akaun itu tak pernah diendah. Ariq menganggap mesej sedemikian hanyalah gurauan 'manja' versi gersang. Telahnya, inilah harga bergelar public figure. Mahu tak mahu, ada sesuatu yang dia perlu korbankan.
Sebatas itu, Ariq masih sanggup. Selagi kehidupan peribadinya tak terpapar.
Tak pernah sekalipun Ariq mengimpikan kehidupan yang dia miliki sekarang. Dia mula menyanyi atas dasar suka-suka, cuma mahu merehatkan minda ketika terlalu lelah saat berperang untuk segenggam ijazah di universiti. Ada pula Raees yang sekepala. Makin menjadi-jadilah mereka. Dia mula menggunakan persona Den Mikhael, jauh dari nama sebenarnya Ariq Solihin.
Video pertama dimuatnaik, dia hanya menyanyi cover untuk lagu-lagu terkenal. Kamera akan diletakkan pada sudut yang hanya menampakkan bahagian badannya sehingga paras leher. Dia menyanyi dan Raees bermain gitar. Pernah juga Raees cuba menyanyi, tapi ada pengikut yang kata suara Raees macam katak. Terus Raees merajuk pencen menyanyi.
Semakin lama, nyanyian covernya semakin mendapat perhatian. Follower dan subscriber media sosialnya naik mendadak. Rata-rata pengikutnya di ruangan komen akan memuji suaranya dan teringin sangat nak melihat wajahnya.
Peluang mula terhidang di depan mata. Dia dilamar oleh sebuah syarikat rakaman untuk bernaung di bawah mereka dan menyanyikan runut bunyi buat drama tayangan televisyen. Dia bersetuju hanya jika identiti sebenarnya masih dirahsiakan.
Syarikat rakaman itu turut berminat dengan premis yang ditawarkan. Menerbitkan album untuk penyanyi misteri yang pastinya buat orang tertanya-tanya siapakah yang bersembunyi di sebalik topeng itu. Sengaja mencipta ilusi untuk peminatnya.
Akhirnya kata sepakat dicapai. Beberapa syarat dibuat dan dipersetujui. Pertamanya, Ariq menolak sebarang gig atau persembahan yang memerlukan dia hadir secara nyata. Kedua, dia tidak mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya utama.
Bermulalah titik tolak baharu dalam hidupnya, dia merakamkan single. Ariq mula bernaung di bawah syarikat rakaman sebagai artis rakaman. Dari situ, bilangan singlenya semakin bertambah. Lagu-lagunya mula dimainkan di corong radio. Dia mendapat pujian dan sokongan ramai. Hanya berselindung di sebalik identiti Den Mikhael.
Mengambil Ariq sebagai salah seorang bakat dalam Levil's Music adalah percaturan yang tepat. Buktinya, lagu-lagu nyanyiannya sering mendominasi carta muzik dan radio. Diulangsiar di pelbagai platform media sosial.
Wujudkah orang yang menghargai kita tanpa menilai rupa paras kita? Ya, Ariq mampu nyatakan dengan bangga, wujud. Buktinya pengikut-pengikutnya yang dia anggap kawan.
Biar semeletup mana pun namanya Ariq masih berpegang pada suatu prinsip. Dia tidak akan mendedahkan wajahnya. Pada akhirnya, dia tak selamanya mahu menyanyi. Dia miliki kerjaya yang stabil dan kehidupan yang serba cukup. Yang bukan Den Mikhael.
Dia mahu identiti Den Mikhael hanya wujud di media sosial. Hanya Raees, keluarganya dan beberapa wakil dari syarikat rakaman yang tahu tentang identiti sebenarnya.
Tapi dia gagal fahami suatu perkara. Rasa ingin tahu yang terlalu mendalam sehingga menyebabkan munculnya obsesi. Obsesi terhadap dia. Ariq tak pernah terfikir yang tindakannya menyembunyikan identiti diri yang sebenar hanya menambah rasa ingin tahu yang tak terbagi dalam diri seseorang.
YOU ARE READING
Pencinta Nombor Satu | Ongoing
Romance"Saya pencinta nombor satu awak, Den!" - Damia Qaisara. Peluang sekali seumur hidup itu digunakan sebaik mungkin. Entah bila lagi dia dapat bertemu mata dengan penyanyi misteri pujaan hati ini. Penuh berani Damia meluah cinta tanpa memikir baik buru...