Bab 11

145 14 1
                                    



Akhirnya, dia turut duduk di hadapan lelaki itu walaupun hati masih terkenan curiga. Dia tak rasa orang kanan Ariq ini tulus. Dari air muka sahaja, Damia dapat baca yang lelaki ini punya motif tersembunyi.

"Order?" Damia menggeleng. Tak mahu. Buatnya pengurus peribadi Den Mikhael ini masukkan sesuatu dalam minumannya tanpa pengetahuannya, mati Damia.

"Saya tahu wajah saya tak sejambu dan sekacak Den Mikhael. Walaupun muka saya macam gangster dusun tapi saya juga bukan jantan keparat yang terdesak. Saya tak akan spike minuman Cik Damia. Restoran ini bukan saya punya untuk saya sesuka hati arahkan pembancuh air masukkan sesuatu. Nak pula di siang hari yang terang benderang begini."

Macam mana lelaki ini boleh baca fikiran Damia? Tepat pula tu.

"Den Mikhael tu tak jambu okey." Betul, wajahnya segak macam lelaki maskulin. Mana ada jambu.

Rengsa pula telinga Damia mendengar gelak puas lelaki itu. Apa? Dia ada salah cakap ke?

"Shoot. Saya tak mahu buang masa. Encik cakap, encik ada perkara yang mahu dibincangkan dengan saya," tegas dia melaung kata. Bukan niatnya nak bersantai beramah mesra dengan lelaki asing ini. Sebolehnya dia tak mahu langsung punya sebarang perkaitan lagi dengan sebarang unsur yang berkait dengan Den Mikhael.

Cukuplah apa jua tautan yang mengikat mereka sebelum ini.

Tapi lelaki itu bijak meyakinkan dia untuk bertemu. Ketika dia hadir ke balai polis tadi, Damia tak sangka yang dia bertemu dengan Erhan. Mereka sama-sama hadir untuk bertemu pemilik kedai bunga di mana mawar hitam yang pernah Damia terima dibeli.

Menurut pemilik kedai bunga itu, tempahan itu dibuat seorang lelaki tetapi dia tak begitu nampak wajah lelaki itu. Nama semestinya sudah dirahsiakan. Erhan sedikit kaget dengan penemuan itu.

Selama ini, mereka yakin stalker Den adalah wanita melihatkan gambar-gambar dan video-video yang pernah Den terima.

Tapi penemuan baru itu hanya membuka kebarangkalian baharu. Sama ada pelaku mempunyai rakan sejenayah, atau pelaku memang lelaki. Video-video yang dihantar sebelum ini mungkin bukan miliknya pun.

Atau juga kes Damia langsung tak terkait dengan kes Den.

"Saya ada cara untuk kita tangkap pelaku." Bulat mata Damia mendengar pengakuan Erhan.

Nafas ditarik sekali sebelum lekas Erhan menyambung. "Kita akan jadikan Cik Damia sebagai bait untuk kita tarik stalker Den supaya dia buat kesilapan. Kita tahu stalker Den memang obseskan Den. Dan sekarang, dia cemburukan Cik Damia. Dia anggap Cik Damia dah berjaya dapatkan perhatian Den."

Terkebil-kebil mata Damia cuba memahami percakapan Erhan. Lelaki ini meminta dia untuk mengumpan stalker Den melalui diri sendiri. Gilakah?

"Saya fikir ini satu-satunya cara yang tinggal, Cik Damia. Cik Damia tak dengarkah saranan ASP Awal tadi?" Benar, ASP Awal ada mengemukakan cara itu walaupun secara berkias. Siasatan menemui jalan buntu.

Damia diam.

Erhan tahu dia harus yakinkan dia bagaimanapun caranya. Takkan mereka mahu menunggu tak berkutik seribu tahun lamanya. Selama mana mereka mahu biarkan derita ini tergantung tanpa penyelesaian?

"Cik Damia. Saya minta maaf. Saya tahu permintaan saya kedengaran pentingkan diri. Selfish. Tapi saya memang dah terdesak. Saya tak sanggup nak tengok Den terseksa lagi. Tidur dia tak pernah lena, Cik Damia. Setiap hari dia diganggu dengan pesanan-pesanan lucah dari stalker itu. Cik Damia boleh bayangkan ada orang yang rakam pergerakan Cik Damia setiap hari ketika Cik Damia dalam waktu peribadi Cik Damia?"

Pencinta Nombor Satu | OngoingWhere stories live. Discover now